Friday 25 March 2016

DUN N75 SENADIN PANAS!!


DENGAN satu demi persatu calon-calon yang akan mewakili parti politik menjelang PRN Sarawak baik dari pihak Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan diwar-warkan kepada umum, bahang PRN Sarawak semakin mula terasa. 

Di DUN N75 Senadin dengan jumlah pengundi sebanyak 26,237 pengundi berdaftar juga turut terkesan dengan bahang pilihanraya yang boleh diadakan bila-bila masa.  Manakan tidaknya ditengah-tengah parti pembangkang yang terhumban dengan tiada kesepakatan untuk meletakkan calon mereka, di Senadin itu sendiri dikatakan akar umbi penyokong pembangkang tidak mahu diwakili oleh PKR. 

Bagi pihak BN Sarawak telah mengumumkan bahawa “Winnable Candidate” untuk Senadin kekal diwakili oleh penyandangnya Datuk Lee Khim Shin daripada SUPP.  Untuk rekod ketika PRN 2011 menyaksikan Datuk Lee menang tipis dengan kelebihan 58 undi dari lawannya iaitu Dr Michael Teo Yu Yeng (PKR). 

Sungguh besar harapan pihak pembangkang untuk menawan Senadin bagi menambah jumlah kerusi pembangkang di DUN Sarawak sekarang.  Mungkinkah kecelaruan di pihak penyokong parti pembangkang akan menzahirkan niat mereka dengan meletakkan calon Bebas bagi menandingi calon PKR iaitu Dr Michael Teo Yu Yeng?

Atau mungkin di saat-saat akhir DAP akan menjadi “superhero” dengan meletakkan calonnya seperti yang biasa mereka lakukan tanpa memperdulikan kesepakatan kelompok Pakatan Harapan mereka?

Walau bagaimanapun, DUN N75 Senadin ini merupakan antara yang akan menjadi “kayu pengukur” adakah SUPP masih mempunyai harapan di dalam kancah lanskap politik Sarawak kelak.  

No comments:

Post a Comment