Tuesday 28 February 2017

HARGA RUNCIT DIESEL NAIK 5 SEN


BERKUATKUASA pada hari ini iaitu 1 Mac 2017, harga runcit petrol diesel untuk seluruh Malaysia sudahpun dinaikkan sebanyak 5 sen seliter.  Ini bermakna harga runcit baharu bagi Diesel adalah RM2.20 seliter manakala Diesel Euro-5 pula RM2.30 seliter. 

Manakala untuk harga runcit bagi RON95 dan RON97 tiada kenaikan dan kekal dengan harga RM2.30 dan RM2.60 bagi seliter. 


PERSONALITI TV KELAHIRAN SARAWAK MENINGGAL DUNIA


NURITA Maliha Aryanee Malik itulah nama sebenar seorang pelakon dan personaliti TV yang terkenal dengan panggilan Ary Malik.  Pemergiannya semalam telah menggembarkan dunia seni tanahair lebih-lebih lagi ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah memviralkan berita pemergian beliau sebelum waktunya. 

Ary Malik di pentas dunia seni tanahair tidaklah terlalu asing lebih-lebih lagi di dalam bidang pengacaraan.  Dan yang terakhir personaliti ini tampil di kaca tv apabila beliau turut menyertai satu program masakan yang tersohor iaitu Master Chef Celebriti 2013 yang menyaksikan beliau mara ke peringkat akhir.  Dikatakan selepas itu beliau banyak menyepikan diri kerana berperang dengan kanser ovary yang dihidapinya.  Sekitar jam 7.20 malam semalam, akhirnya beliau menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Ampang di Kuala Lumpur dengan seluruh keluarganya ada disisi beliau ketika itu. 

Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang besar kepada industri seni tanahair.  Salam takziah untuk seluruh keluarga Allahyarhamah Ary Malik yang berada di Sarawak dan Kuala Lumpur.  Semoga rohnya ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.

Al-Fatihah. Amin.

STPM SARAWAK CATAT PNGK 2.59






SETELAH lama menanti akhirnya keputusan Sijil Tinggi Persekolah Malaysia (STPM) untuk tahun peperiksaan 2016 diumumkan pada hari ini.  Lensa terarah di SMB St Thomas di Kuching yang mana menyaksikan terpancar sinar keceriaan pada raut wajah pelajar-pelajarnya yang mengambil keputusan mereka tadi. 
Untuk di Sarawak, secara totalnya keputusan menunjukkan peningkatan dengan mencatat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.59 berbanding dengan 2.48 pada tahun 2015.  Bolehlah diperkira ianya merupakan satu keputusan yang memuaskan dari jumlah keseluruhan yang mendudukinya iaitu 5,290 calon di seluruh Sarawak.  Seramai 13 calon lulus penuh dalam 5 mata pelajaran manakala 3,075 calon lulus penuh dalam 4 mata pelajaran. 817 calon pula lulus dalam 3 mata pelajaran dan yang selebihnya iaitu 455 calon lulus dalam 2 mata pelajaran dan bakinya iaitu 320 calon lulus penuh dalam 1 mata pelajaran. 
Tahniah diucapkan kepada mereka yang berjaya dan semoga keputusan STPM ini akan memacu mereka untuk mula menjejak menara gading.  Kita memerlukan ramai lagi bijak pandai anak Sarawak untuk menggalas tanggungjawab sebagai rakyat yang produktif dan seterusnya menjadikan Sarawak negeri yang terbilang. 

Monday 27 February 2017

PERAHU TERBALIK TERLANGGAR BALAK HANYUT


MALANG itu tidak berbau begitulah kata bidalan lama yang sering kita dengar.  Pada Ahad lepas kira-kira jam 5.30 petang satu tragedi menimpa satu keluarga ketika dalam perjalanan pulang dari menziarahi keluarga yang meninggal dunia di Belaga.  Ketika kejadian mangsa iaitu seorang guru di SK Nangan Telawan, Michael Usat Emang bersama isterinya sedang memudiki Sungai Rejang untuk pulang ke kuarters kediaman mereka.
Arus yang deras di Sungai Rejang bukanlah tandingan bagi sebuah perahu yang kecil yang mana diberitakan pada ketika itu juga banyak balak-balak yang hanyut di sungai.  Akibat terlanggar balak hanyut itulah maka perahu yang dinaiki turut terbalik.  Isteri mangsa diceritakan sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tepian manakala suaminya Michael Usat Emang, 56 tahun hilang dihanyutkan arus deras. 

Serentak dengan itu juga satu pasukan Operasi dan Menyelamat (SAR) telahpun digerakkan oleh agensi yang terlibat.  Difahamkan sehingga sekarang masih belum ada tanda-tanda mangsa ditemui. 

Sunday 26 February 2017

RAJA ARAB SAUDI MELAWAT MALAYSIA


SATU lagi detik bersejarah tercipta semalam apabila Negara Malaysia menerima kunjungan seorang penjaga 2 kota suci umat Islam iaitu Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dari Arab Saudi.  Malaysia merupakan destinasi pertama yang dipilih beliau di dalam rangka lawatannya ke Negara-negara di Asia Tenggara. 
Rombongan Raja Salman turut disertai seramai 600 orang delegasi yang juga terdiri daripada menteri-menteri kabinet Kerajaan Arab Saudi itu sendiri. Kedatangan delegasi dari Arab Saudi ini menerima penghormatan Negara dengan Yang Dipertuan Agung Malaysia iaitu Sultan Muhammad V turut bersama-sama menyambut ketibaan mereka disamping Perdana Menteri Malaysia berserta def-def kehormat Malaysia yang lain. 
Untuk rekod sebelum ini Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud pernah melawat Malaysia pada tahun 2006. Sementara yang terdahulu daripada itu hanya berlaku pada tahun 1970 iaitu di ketika Almarhum Raja Faisal bin Abdulaziz Al Saud menjadi pemerintahnya. 
Lawatan ini sudah tentu akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi dan semoga banyaklah memorandum persefahaman yang mampu dimeterai bersama demi kelangsungan Negara Malaysia.

BERITA PALSU CUBA PENGARUHI PROSES AUTONOMI


SEMENJAK dari Allahyarham Tok Nan masih hidup sehinggalah Sarawak dibawah kepimpinan Datuk Amar Abang Jo, segala misi dan visi Tok Nan tetap diperjuangkan lebih-lebih lagi melibatkan perbincangan autonomi yang rakyat Sarawak mahukan.  Di dalam pada itu di sepanjang proses ini juga satu demi satu berita palsu yang dikeluarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. 
Beberapa hari yang lepas juga menyaksikan satu lagi laporan polis terpaksa dibuat oleh Kerajaan Negeri Sarawak memandangkan ianya merupakan satu lagi berita yang palsu.  Yang pasti seperti ada “tangan-tangan hitam” yang cuba untuk menggagalkan segala usaha ini dengan memainkan isu persepsi rakyat seolah-olah Kerajaan Negeri Sarawak berada di pihak yang ekstrimis. 
Seperti yang telah diwar-warkan dahulu Kerajaan Negeri Sarawak mengambil sikap diplomasi di dalam memperjuangkan kuasa autonomi dikembalikan dan ianya selari dengan apa yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini bahawa apa jua yang dipinta akan dikembalikan.  Buat masa sekarang perbincangan kuasa autonomi Sarawak sudahpun di peringkat fasa yang kedua. 
Jadi sama-samalah kita tunggu penghasilannya dan jangan sewenang-wenangnya mempercayai segala berita yang boleh menimbulkan keraguan kita semua.  Bijak-bijaklah berkongsi maklumat apa yang disajikan di dalam applikasi media sosial sekarang. 

Friday 24 February 2017

FACEBOOK POSTING ON PETITION TO QUEEN NOT TRUE


PRESS RELEASE
FACEBOOK POSTING ON PETITION TO QUEEN NOT TRUE
Kuching, Fri: The press secretary to the Chief Minister, Ambrose Cheng today made a police report at the Gita Police Station here to deny that the Chief Minister's has ever divulged information to anyone that a petition had been presented to Queen Elizabeth to petition for a review of Malaysia Act 1963 as claimed by a Facebook posting under the account name Aman Shah.
In the posting it was claimed that Sarawak DUN had unanimously agreed to the review and supported by 630,000 petitions.
"The posting is not true and we leave it to the Police and MCMC to investigate," Ambrose said.
Ambrose was accompanied to the police station by Political Secretaries Buang Hj Bolhassan and Petrus Igat Mathias.
Ends.

DIKEJAR SAMPAI DAPAT


DIKEJAR sampai dapat sehingga kenderaan berhenti di lampu isyarat. Tahan suspek sehingga polis sampai dengan gari.
Itu insiden berlaku kira~kira 12.26 tengah malam semalam berhampiran lampu isyarat JKR, Bintulu.
Tindakan berani seorang lelaki dengan dibantu dua lagi rakannya mengejar kenderaan suspek terbabit dilakukan setelah menyedari kelibat dua lelaki tidak dikenali mencuri dan memunggah lantai jubin yang diletakkan di perkarangan sebuah rumah di Taman Putra, Bintulu.
Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu Superitendan Zailanni Amit, pemeriksaan awal polis ke atas kenderaan jenis Kancil mendapati sebilah pedang samurai dan 15 kotak jubin yang dicuri.
Kedua suspek berusia 21 dan 23 thn diperintahkan tahanan reman bermula hari ini bagi membantu melengkapkan siasatan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Wednesday 22 February 2017

ANAK DISAMBAR BUAYA DI DEPAN MATA IBUNYA


AMUKAN sang bedal menjelma lagi dengan mangsa terbarunya seorang gadis sunti berumur 18 tahun di Sungai Tapang, Peking, Baram .
  Tiada yang lebih menyedihkan apabila tragedy yang menimpa Agnes Luang disaksikan sendiri oleh ibunya di ketika kedua-duanya sedang mandi sungai tersebut sekitar jam 6.30 petang hari Selasa.  Apalah daya seorang ibu pada ketika itu yang hanya mampu menjerit memohon pertolongan daripada penduduk kampung atas apa yang menimpa anak yang disayanginya. 

Sejurus berita menyedihkan ini diterima penduduk kampung dan juga agensi yang terlibat telah menggerakkan operasi bagi mencari mangsa.  Sekitar jam 11.10 pagi semalam, mayat mangsa ditemui terjerat di dalam jala penduduk kampung tidak jauh dari tempat kejadiannya.  Keadaan mayat mangsa dikatakan sempurna cuma terdapat gigitan buaya di bahagian belakang badannya. 

Pertembungan buaya dengan manusia di Sarawak sudah menjadi satu konflik yang rumit sekarang sehingga membenarkan buaya bukan lagi disenaraikan binatang yang terlindung.  Populasi buaya juga meningkat ditambahlagi banyak kawasan sungai sudah tidak menjadi habitat yang selamat untuknya dek kerana pembangunan, Mungkin ini juga yang memaksa sang buaya menjadikan manusia sasaran mudah bagi mengalas perutnya yang lapar.

Peringatan kepada penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan sungai untuk berwaspada selalu apabila melakukan sebarang aktiviti di sungai. Hakikatnya sentiasa ada yang memerhati tanpa kita sedar. 

Salam takziah untuk keluarga Mendiang Agnes Luang. RIP. 

Tuesday 21 February 2017

IPD SERIAN TEMUI SENJATA API TIRUAN DAN DADAH SYABU


SEBEGITU banyak gejala jenayah sekarang yang semakin menular di Sarawak tidak mengira di Bandar mahupun pedalaman sekalipun begitu membimbangkan kita semua.  Manakala di pihak PDRM dan agensi yang berkaitan juga tidak pernah menang tangan cuba membasminya sebaik mungkin.
Semalam menyaksikan satu aksi kejar mengejar berlaku di antara pihak polis dari IPD Serian dengan sebuah kenderaan dari Jalan Tebakang Melayu sehingga CIQ Tebedu.  Agaknya penjenayah cuba untuk melepaskan diri sehingga ke kawasan sempadan namun pihak polis lebih bijak untuk mengawal segalanya. 

Melalui perkhabaran awal difahamkan pihak polis telah menahan 4 suspek warga tempatan yang mana ketika diperiksa turut dijumpai beberapa senjata api tiruan dan kelopak peluru (Air Soft) yang disembunyikan di dalam kereta mereka. Selain itu pihak polis turut menemui 4 paket plastik lutsinar yang dipercayai dadah jenis syabu.  Kesemua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Syabas dan terima kasih IPD Serian atas usaha yang tidak pernah mengenal penat lelah ini. 

Monday 20 February 2017

KES SABUNG AYAM MANTAN AHLI PARLIMEN JULAU ANTARA DIDENDA


PADA tanggal 5 Februari lepas menyaksikan pihak polis berjaya menumpaskan satu sindiket sabung ayam terbesar di Sarawak.  Serbuan di Taman Belian, Kota Samarahan telah berjaya mencekup seramai 326 kaki judi diberkas ketika asyik menyabung ayam di kawasan tersebut. 

Semalam 20 Februari 2017, 25 orang daripada mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Samarahan secara berperingkat dan antaranya adalah seorang VIP berpangkat Datuk yang juga seorang ahli perniagaan serta mantan Ahli Parlimen Julau iaitu Datuk Sng Chee Hua, 70 tahun.  Ketika di mahkamah hanya Datuk Sing yang diwakili peguam manakala yang lain tidak diwakili.

Kesemuanya mengaku bersalah dan dihadapan Majistret Marutin Pagan setelah pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Mencegah Penganiayaan Terhadap Haiwan 1973.  Atas kesalahan itu juga mereka didenda sebanyak RM500 seorang.  Jika gagal membayar denda di dalam tempoh seminggu maka hukuman penjara 3 bulan dikenakan. 
  
Undang-undang tidak pernah mengenal siapa diri kita. Jika bersalah sudah tentu ada hukumannya.  Walaupun di Sarawak, aktiviti sabung ayam itu dibenarkan namun ianya harus mendapat lesen dari Pejabat Residen di ketika waktu-waktu tertentu sahaja contohnya di Perayaan Gawai Dayak. 

Saturday 18 February 2017

JAMILAH MENANG BERGAYA DI TANJUNG DATU


USAI sudah PRK Tanjung Datu yang melabuhkan tirainya menjelang jam 5.00 petang hari ini, 18 Februari 2017.  Dan keputusannya sudahpun dimuktamadkan sebentar tadi apabila Pengerusi SPRM menobatkan calon BN/PBB menang bergaya mengungguli DUN Tanjung Datu pada kali ini. 

Pertembungan 3 penjuru ini sedikitpun tidak menggoyahkan apabila DPDA Hajjah Jamilah mendapat 6573 undi berbanding dengan 2 lawannya iaitu sebanyak 130 undi (PBDS) dan 108 (Star).  Ini bermakna beliau mendapat 6443 undi majoriti yang menyaksikan kedua-dua parti lawan hilang wang deposit pada kali ini. 

Tahniah kepada ADUN Tanjung Datu yang baharu iaitu Datin Patinggi Datuk Amar Hajjah Jamilah binti Haji Anu.  Syabas diucapkan kepada jentera BN yang tidak mengenal lelah sepanjang 2 minggu tempoh berkempen demi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional Sarawak.


Friday 17 February 2017

TANJUNG DATU MEMILIH HARI INI




SEKITAR hari pengundian PRK N 03 Tanjung Datu di Sk Sebat, SK Bumiputra dan SJKC Sematan pagi ini.
Semoga segalanya dipermudahkan. Amin.

Wednesday 15 February 2017

TERJEMAHKAN SOKONGAN DENGAN KELUAR MENGUNDI


SEISI berkempen untuk PRK N03 Tanjung Datu akan menemui noktahnya menjelang 12.00 malam sabtu ini. Dan sejak dari hari penamaan calon lagi menyaksikan calon BN/PBB iaitu Datin Patinggi Datuk Amar Hajjah Jamilah binti Haji Anu mengungguli carta di atas pilihan rakyat bukan sahaja di Tanjung Datu malah juga seluruh Sarawak. Aura Tok Nan yang disayangi oleh rakyat turut sama menempias ke atas balunya.

Boleh dikatakan walau kemana ceruk sekalipun di Tanjung Datu, sokongan rakyat terhadap DPDA Hajjah Jamilah tetap megah dilaungkan walaupun beliau sendiri tidak turun berkempen. Namun berkat kesatuan hati keluarga malah juga jentera BN yang bersepadu turun berkempen untuknya tidak menjadi batasan untuk menyampaikan amanat beliau sekiranya dipilih menjadi ADUN sekaligus menjadi penyambung legasi kepimpinan Allahyarham Tok Nan di bumi Tanjung Datu sekiranya diberi peluang.

Disamping itu perlulah diingatkan walau bagaimana hebat laungan tersebut ianya tidak akan menjadi apa-apa sekiranya rakyat Tanjung Datu tidak turun mengundi beramai-ramai pada 18 Februari 2017. Janganlah dibuai dengan pelbagai teori dan hujah mainan pembangkang ataupun yang sewaktu dengannya yang mengatakan BN akan menang besar. Itu hanya mainan lidah mereka yang tidak bertulang.

Jika pada tanggal 12 Februari 2017 yang lalu menyaksikan undi pos telah menunjukkan peratusan yang tinggi iaitu 86.2% yang keluar mengundi mengapa tidak pada hari undian sebenar kelak. Terjemahkanlah kasih sayang kepada Tok Nan dengan menyokong dan seterusnya mengundi Kak Milah itu yang penting.

#PRKN03TanjungDatu
#JamilahBoleh

#TeamAbgJo 

SEMBUNYI SYABU DI DALAM COLI


SEMALAM di Miri, seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun ditahan polis selepas dikesan menyembunyikan syabu di dalam colinya ketika menerima rawatan di Hospital Miri.
Perkara itu terbongkar selepas suspek menanggalkan pakaiannya untuk menjalani pembedahan akibat kandungan luar rahim pada jam 10.44 malam. Di ketika menjalani rawatan itulah pihak hospital menemui lapan paket syabu seberat 30.6 gram di dalam coli suspek dan tanpa berlengah kejadian ini dilaporkan kepada polis.
Wanita warga Indonesia itu masih lagi di dalam jagaan pihak hospital namun dibawah perhatian pihak polis. Siasatan akan dijalankan dengan lebih terperinci lagi kelak.
Dadah Musuh Negara.

Tuesday 14 February 2017

NASIB GURU INTERIM MENDAPAT PERHATIAN KM ABG JO


DI DALAM beberapa hari ini, warga Sarawak dikejutkan dengan keputusan untuk menamatkan kontrak guru-guru interim yang bertugas secara kontrak untuk sekolah-sekolah di Sarawak. Mereka adalah di kalangan rakyat Sarawak sendiri yang mempunyai kelulusan khas di dalam pendidikan.

Namun begitu banyak kekeliruan yang tidak difahami oleh rakyat Sarawak sehingga ada yang cuba menangguk di air yang keruh seolah-olah Kerajaan tidak prihatin langsung. Keluhan rakyat akan hal ini mendapat perhatian daripada KM Abang Jo yang berjanji tidak akan mengabaikan segala kebajikan mereka.

Terima kasih atas keprihatinan.


Nota: Dilampirkan kenyataan sidang akhbar khas dari Pejabat Ketua Menteri 

Monday 13 February 2017

STATUS TERKINI LEBUHRAYA PAN BORNEO - JAJARAN TELOK MELANO




"MUN aku pembulak, kitak urang nekok palak aku tapi mun ada dak mesin di sia tengah bekerja, aku nekok palak kitak urang" -Allahyarham Tok Nan-
Itulah antara bait-bait kata ucapan Allahyarham Tok Nan sewaktu perasmian jajaran Pan Borneo Highway di Telok Melano, Sematan tahun lalu. Dalam nada berjenaka tetapi sebenarnya mempunyai  makna yang cukup mendalam lebih-lebih ramai yang berkata BN hanya pandai membuat janji.
Hakikatnya tiada projek segera menjelang pilihanraya kerana banyak yang sedang rancak dibangunkan dan ini termasuklah status terkini jajaran Telok Melano.  Betapa tidak sabar kita menanti ianya siap namun kita akur pembinaan seperti ini perlu waktu untuk bagi mengawal mutu status perhubungan darat yang digelar lebuhraya ini.
Siapnya projek pembangunan ini sudah tentu akan memberikan impak yang positif untuk pembangunan dan ekonomi Tanjung Datu. Rakyat Tanjung Datu sudah tentu tidak mahu projek ini tergendala hanya kerana tersalah pilih pemimpinnya.  Legasi pemerintahan Tok Nan akan diteruskan oleh DPDA Hajjah Jamilah binti Haji Anu jika ingin menyaksikan apa yang dimulakan oleh Allahyarham suaminya ini nanti ditunaikan dengan jayanya. 


TRIVIA GUGURNYA BUNGA BANGSA DI LAHAD DATU


HARI ini genaplah 4 tahun peristiwa Tanduo di Lahad Datu. Yang menyaksikan pahlawan kita berjuang demi kedaulatan negara kita. Kami sebagai rakyatnya tidak akan pernah melupakan apa yang dilakukan oleh si Kiram dengan kuncu2 nya ke atas pahlawan kami.
Alfatihah dan RIP pahlawan bunga bangsa.
Lest We Forget

Sunday 12 February 2017

4 YB DAP MELAKA KELUAR PARTI


DENGAN PRU yang mungkin menjengah tidak lama lagi maka banyak parti politik di seluruh Negara sedang bersiap siaga untuk menghadapinya.  Gerak gempur daripada pembangkang sudahpun bermula kerana katanya ingin menukar pemerintahan Negara sekarang. 
Namun disebalik dengan pelbagai pakatan itu dan ini tiba-tiba dikejutkan dengan ceritanya 4 wakil rakyat DAP iaitu Sim Tong Him (Ahli Parlimen Kota Melaka), Goh Leong San (ADUN Duyong), Lim Jak Wong (ADUN Bachang) dan Chin Choong Seong (ADUN Kesidang) bertindak keluar parti.  Setakat ini tidaklah diketahui samada keempat-empat wakil rakyat ini akan melompat parti tau memilih untuk bebas buat sementara.   
Melalui kenyataan media yang dikeluarkan menyatakan bahawa tindakan keluar parti daripada mereka adalah atas ketidakpuasan hati mereka terhadap kepimpinan DAP Pusat yang membuat pakatan dengan Tun Mahathir.  Tindakan ketua mereka iaitu Lim Kit Siang mahupun Lim Guan Eng itu diceritakan tidak dibincangkan dan persetujuan peringkat akar umbi DAP sendiri. 

Persoalannya apakah ada lagi episod keluar parti selepas ini kerana kebiasaannya mesti ada yang jadi “palak daun” sebelum yang lain mengiringinya. Sama-samalah kita nantikan apakah benar ada percakaran besar di dalam DAP atau hanya wayang semata-mata. 

Friday 10 February 2017

WATSON BERKEMPEN UNTUK IBU JAMILAH


PERJUANGAN ini demi meneruskan legasi Allahyarham Tok Nan yang tercinta. Kata-kata inilah yang disematkan di hati seorang ahli sukan yang dikenali ramai iaitu Watson Nyambek 'The flying dayak'. Semangat yang membawa beliau suami isteri turun dari Miri dan berkampung di Tanjung Datu mulai dari hari ini.
Tiada siapa boleh menafikan betapa di ketika Watson di dalam kesulitan dahulu, tangan Allahyarham Tok Nan yang menghulurkan bantuan kepadanya. Malah isterinya DPDA Hajjah Jamilah Anu pula sentiasa memberikannya kata-kata semangat untuk lebih cekal mengharungi hari-hari yang mendatang. Begitulah istimewanya kedua-duanya di hati Watson umpama ayah dan ibu baginya. Kasih sayang yang tiada batasan langsung.
Kerana kasih sayang itulah juga DPDA Hajjah Jamilah menghadiahkan baju yang sering dipakaikan oleh Allahyarham Tok Nan ketika bertugas semasa hidupnya kepada beliau. Satu simbolik agar semangat dan jiwa perjuangan 'apai besai' sentiasa bersama Watson untuk membantu DPDA Hajjah Jamilah memenangi kerusi N03 Tanjung Datu.
Istimewanya ibu Jamilah di hati seorang ahli sukan sehingga sanggup berkempen untuknya. Dari trek dan balapan ke kempen Barisan Nasional Tanjung Datu.

Thursday 9 February 2017

TANJUNG DATU DESTINASI PERCUTIAN KELUARGA


LOKASINYA nun dihujung Sarawak namun begitu Tanjung Datu bukanlah calang-calang tempatnya kerana ianya juga kaya dengan sejarah tempatannya baik dari segi masyarakat yang mendiaminya mahupun keindahan panorama alam serta flora faunanya.  Sejak dari dahulu lagi Tanjung Datu sentiasa menjadi pilihan ramai pelancong tempatan untuk merehatkan diri iaitu lari dari hiruk pikuk kota yang membingitkan.

Menyelusuri kekayaan keindahan ciptaan Tuhan ini di Tanjung Datu misalnya terkenal dengan beberapa pusat peranginan yang boleh memberikan impak yang positif apabila kita berbicara mengenai industri pelancongan di Sarawak Bumi Kenyalang.  Di sinilah berhimpunnya beberapa taman Negara seperti Taman Negara Gunung Gading di Lundu, Taman Negara Tanjung Datu dan Taman Negara Hidupan Liar Semunsam di Sematan.  Dan apabila berkata mengenai taman Negara sudah tentu di dalamnya mempunyai air terjun yang mengasyikkan yang meruntun jiwa bagi mana-mana pelancong yang gemar dengan aktiviti lasak seperti hiking dan sebagainya. 

Tidak cukup dengan itu, keindahan pantai yang memutih dengan lautan biru yang meredupkan serta luas mata memandang juga tidak pernah mengecewakan pengunjung-pengunjungnya.  Gah nama beberapa pantai peranginan seperti Pandan, Siar, Sematan, Telok Melati, Telok Serabang, Telok Melano serta banyak lagi yang sentiasa menerima pelancong dari dalam mahupun luar negeri untuk singgah kepadanya.

Jika sudah lelah bermain pasir di pantai, pengunjung di Tanjung Datu juga boleh melawat beberapa tempat yang boleh memberikan pengalaman yang berbeza seperti kawasan penternakan ketam, Ulat sutera di Silk Farm, serta Deer Farm and Bird Nest di Kampung Siru. Kesemua tempat ini boleh dikunjungi dengan mudah kerana berada di Sematan. Dan jika kena pada masanya mungkin pelancong yang bercuti di Tanjung Datu berkesempatan untuk menyaksikan bunga terbesar di dunia iaitu bunga rafflesia mekar di Gunung Gading kerana disinilah sahaja ianya ada di Sarawak selain daripada di Sabah. 

Usahlah bimbang dengan tempat untuk bermalam kerana di Tanjung Datu sudah siaga semuanya mengenai hal penginapan pelancong.  Di sini sahaja mempunyai banyak chalet-chalet, resort mahupun enap desa yang mempunyai keunikannya tersendiri baik dari segi arkitektur seperti program homestay di Telok Melano, Telok Serabang dan Rumah Panjang Pueh di Sematan. 
Bila sudah beransur untuk pulang ke destinasi masing-masing janganlah lupa untuk membeli ole-ole dari Tanjung Datu yang terkenal dengan penghasilan makanan lautnya.  Di bazaar Lundu misalnya sudah terjual beberapa produk desa yang diusahakan oleh penduduk tempatannya seperti keropok ikan, keropok udang, keropok ubi, kuih tradisional, kraftangan dan sebagainya yang dijual dengan harga berpatutan. 
Selepas ini dengan adanya jajaran Pan Borneo Highway yang sedang rancak dibina iaitu bermula di Telok Melano, Sematan sudah tentu akan memberikan seribu satu rahmat kepada penduduk di Tanjung Datu untuk berhubung dengan dunia luar.  Para pelancong juga begitu mudah untuk ke sana walaupun sekarang sudah ada pengangkutan darat dari Kuching mahupun jika ingin merasai sendiri pengalaman menggunakan feri maka bolehlah mencuba untuk menggunakan perkhidmatan feri di Rambongan. 
Inilah kemakmuran yang dikecapi oleh penduduk Tanjung Datu yang sudah tentu berbeza di awal penubuhan Malaysia berbanding sekarang.  Limpah rahmat hasil daripada rakyatnya yang memilih pemimpin yang tepat untuk mewakili Tanjung Datu selama ini.  Kemakmuran inilah yang menjadikan Tanjung Datu destinasi percutian keluarga di Sarawak.

Wednesday 8 February 2017

SARAWAK SENARAIHITAM SELVA KUMAR


KEPULANGANNYA dikatakan disambut oleh para wartawan yang menantinya di KLIA semalam iaitu melalui penerbangan daripada Doha, Qatar tepat jam 7.30 pagi.  Dan cerita bagi perogol bersiri ini menghiasi banyak media massa di seluruh Malaysia sehingga ke hari ini. 

Bertindak daripada itu juga Sabah yang juga mempunyai kuasa autonomi imigresen seperti Sarawak telah  awal-awal bertindak menyenaraihitamkan namanya daripada memasuki Sabah sejak 6hb Februari 2017 lagi.  Dan setelah banyak kebimbangan yang diluahkan oleh rakyat Sarawak akhirnya Kerajaan Negeri Sarawak turut melakukan hal yang sama iaitu larangan untuk beliau memasuki Sarawak yang berkuatkuasa pada 8hb Februari 2017 serta merta. 

Sementara di Semenanjung Malaysia pula menurut PDRM, Selva telah bersetuju untuk dipantau aktivitinya oleh pihak berkuasa.  Ini kerana sebenarnya walau apapun Selva sudahpun bebas dari hukuman dan tiada undang-undang yang boleh disabitkan dengannya lagi melainkan beliau sendiri membenarkan.  Jadi kerjasama daripada Selva itu amat dihargai oleh semua pihak. 


Apa yang penting sekarang tindakan pantas daripada Kerajaan Sarawak itu sebenarnya telah melegakan hati ramai rakyat Sarawak yang kurang senang tiada tindakan untuk menyenaraihitamkan namanya daripada memasuki Sarawak.  Selva sebagai rakyat Malaysia dan bebas merdeka sekarang bolehlah meneruskan usia tuanya dengan lebih aman damai di negerinya sendiri.  

Tuesday 7 February 2017

JAMILAH BOLEH!


UMUM mengetahui bahawa Datin Patinggi Datuk Amar Hajjah Jamilah binti Haji Anu iaitu calon BN/PBB N03 Tanjung Datu masih lagi di dalam edah.  Ini bermakna untuk PRK kali ini, kelibat beliau tidak akan ada untuk berdamping dengan rakyat buat seketika.  Namun itu bukanlah satu hal yang utama kerana pada PRK Kuala Kangsar yang lepas, calonnya (sekarang ADUN) iaitu Datin Mastura telah membuktikan jika disitu ada kemahuan disitulah ada jalannya.

Disebalik segala komen sinis daripada mereka yang tidak boleh menerima pencalonan DPDA Hajjah Jamilah sehingga mempersoalkan kebolehannya sebenarnya mereka lupa bahawa disebalik kejayaan seorang suami adalah seorang isteri yang sentiasa berdiri teguh di belakang suaminya selama ini.  Tiada rahsia bahawa DPDA Hajjah Jamilahlah turut bersama-sama dengan suaminya iaitu Allahyarham Tok Nan menerajui Tanjung Datu selama ini.  Beliau sudah tentu tahu apakah yang diusahakan oleh penyandangnya sebelum ini dan keberadaan beliau menjadi calon di Tanjung Datu adalah semata-mata untuk meneruskan apa yang belum lagi diselesaikan oleh Allahyarham suaminya. 

Usah dipersoal kebolehannya kerana balu Allahyarham Tok Nan ini sudah biasa dengan memegang kepimpinan badan bukan kerajaan di Sarawak.  Bukan satu yang dinaunginya malah banyak dan bukan calang-calang yang mampu berbuat demikian disamping menjalankan tugas sebagai isteri kepada ADUN dan seterusnya Ketua Menteri Sarawak.  Dengan dokongan sepenuhnya daripada anak-anak baik daripada anak kandungnya sendiri malah juga anak-anak tirinya (dari perkahwinan Tok Nan dengan isteri pertama) yang sama-sama mengikuti gerak gempur kempen BN di Tanjung Datu sudah membuktikan bahawa DPDA Hajjah Jamilah ini adalah ibu yang istimewa. 

Keperibadian beliau yang sederhana malah sentiasa merendah diri selama ini amat disenangi oleh seluruh rakyat di Sarawak apatah lagi bagi rakyat di Tanjung Datu yang sentiasa di hati beliau sejak dahulu lagi.  Jerih perih rakyat di Tanjung Datu sudah tentu banyak diketahuinya dan rasanya tiada masalah untuk beliau terus memartabatkan rakyat di Tanjung Datu secara langsung berbanding sebelum ini menjadi pendokong di sebalik tabir misi dan visi Allahyarham Tok Nan. 

Jangan pandang sipi-sipi keupayaan Ikon Kaum Ibu Sarawak ini kerana percayalah tangan yang menghayun buaian itu mampu menggegarkan dunia. 

Jamilah Boleh!

#TeamAbgJo
#HidupPBBHidupBN

#PRKN03TanjungDatu

Monday 6 February 2017

PENYERANG & PEROGOL 1,000 WANITA WAJAR DIHALANG MASUK KE SARAWAK

SELVA KUMAR SUBBIAH begitulah namanya seorang rakyat Malaysia yang telah membuat onar di Kanada dengan melakukan serangan seks dan seterusnya merogol hampir 1,000 wanita di Negara tersebut dari tahun 1980 hingga 1994.  Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua menyaksikan Selva telah dijatuhkan hukuman penjara hampir 20 tahun dan Kanada sudahpun bertindak mengusir beliau daripada bumi Kanada untuk dihantar pulang ke Malaysia.  Menurut berita yang dikhabarkan pada 6hb Februari 2017 inilah beliau akan sampai ke tanahairnya. 
Walaupun pihak PDRM telah memberi jaminan bahawa segala pergerakkan Selva akan dipantau usai beliau menjejakkan kaki di bumi Malaysia namun masih ada rasa kurang keyakinan dengan apakah tindakan si penyerang dan perogol 1,000 wanita ini yang sekarang sudahpun berusia 54 tahun.  Tidaklah diketahui sejauhmana keinsafan yang ada pada beliau selesai menjalani tempoh hukuman di Kanada.  Perlulah diketahui bahawa menurut statistic yang dicatatkan baru-baru ini dikatakan bahawa pesalah seperti ini kebarangkalian untuknya mengulangi tabiatnya adalah cerah sama sekali. 
Jadi untuk Sarawak misalnya dengan adanya autonomi kita di dalam kawalan Imigresen rasanya tidaklah salah untuk kita menghalang orang seperti ini untuk masuk ke negeri kita yang dicintai.  Janganlah kita hanya menghalang mereka yang boleh membawa kepada keadaan kurang aman contohnya halangan sementara untuk para politik sahaja.  Pesalah seperti Selva ini juga patut dilakukan hal yang sama.  Kita tidak mahu dengan keluasan Sarawak yang begitu luas, andaikata Selva boleh melarikan diri sehingga ke kawasan pedalaman akhirnya membawa malapetaka kepada anak gadis dan wanita di Sarawak. 
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Sunday 5 February 2017

3 PERSONALITI CALON ADUN N03 TANJUNG DATU


SUDAH terjawab semuanya apabila pada Sabtu lepas sahih menyaksikan pertembungan 3 penjuru akan berlaku pada PRK N03 Tanjung Datu.  Seawal hari penamaan calon sebenarnya menyaksikan 4 individu yang membuat pencalonan namun hanya 3 yang melepasi saringan apabila calon bebas iaitu Encik Asbor Abdullah seorang bekas tentera yang dahulunya bergiat aktif di dalam DAP dibatalkan pencalonannya kerana masalah bankrupsi.
Dengan SPR sudah menetapkan tarikh pengundian awal adalah pada 12 Februari manakala hari pengundian sebenar pada tanggal 18 Februari 2017 ini bermakna setiap calon mempunyai masa 14 hari untuk berkempen.  DUN Tanjung Datu mempunyai daftar pemilih yang mengandungi 9,959 pengundi berdaftar dengan pemilih biasanya adalah seramai 9,771 orang manakala 188 pengundi di kategorikan sebagai pengundi awal.  Dan N03 Tanjung Datu seperti yang dimaklumi adalah kubu kuat BN/PBB dan sejak di PRN 2006 lagi, Allahyarham Tok Nan mengungguli rekod sebagai pemimpin Tanjung Datu yang cukup lama tanpa kalah dalam setiap musim pilihanraya. 
Dan seperti yang sedia maklum, pertembungan 3 penjuru di PRK N03 Tanjung Datu ini melibatkan 3 parti politik dengan calon-calonnya pula adalah Datin Patinggi Datuk Amar Hajjah Jamilah binti Haji Anu (PBB/BN), Johnny Bob ak Aput (STAR) dan Rapelson Richard Hamit (PBDS Baru). 

Datin Patinggi Datuk Amar Hajjah Jamilah binti Haji Anu (PBB/BN)
Barisan Nasional Sarawak menampilkan seorang calon yang cukup tidak asing lagi di dunia Tanjung Datu kerana beliaulah balu kepada penyandang sebelumnya iaitu Allahyarham Tok Nan yang dicintai oleh rakyat Sarawak.  Berusia 62 tahun dan lahir pada 14 Ogos 1955 di Kampung Buso, Bau, Sarawak.  Ibu kepada 2 anak ini merupakan tiang sandaran Tok Nan sepanjang Allahyarham mengemudi kepimpinan Sarawak dan Tanjung Datu selama ini. 
Lulusan Diploma Sains Kesetiausahaan dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah ini begitu terkenal dengan sifatnya yang dermawan.  Beliau unggul menerajui beberapa pertubuhan bukan kerajaan di Sarawak seperti Yayasan Jaznan (Milik keluarganya), Matron untuk PPIM, PERKATA, Persatuan Pengasuh & Pendidikan Awal Kanak-kanak, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sarawak serta Pengerusi SABATI. 
Boleh dikatakan pemilihan DPDA Hajjah Jamilah sebenarnya adalah bertepatan memandangkan beliau sudah sebati dengan Tanjung Datu dan dikenali oleh rakyatnya sejak dahulu lagi.  Walaupun untuk kali ini, beliau tidak turun berkempen kerana masih di dalam eddah namun visi dan misinya akan disampaikan kepada rakyat Tanjung Datu melalui anak-anak dan keluarga serta jentera BN Sarawak yang akan turun berkempen menemui rakyat untuknya. 

Johnny Bob ak Aput (STAR)
STAR sebagai parti tempatan Sarawak pula mempertaruhkan Johnny Bob ak Aput yang berusia 54 tahun.  Seorang anak Bidayuh yang berasal dari Paon Rimu, Serian.  Di dalam dunia politik STAR, beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Parti. 
Setakat ini yang diketahui, Johnny Bob tidaklah begitu dikenali oleh rakyat di Tanjung Datu dan nampak gayanya beliau harus berkempen untuk mengwar-warkan dirinya dengan lebih berkesan.  Namun begitu misi dan visi yang dibawa oleh Johnny Bob begitu dekat di hati rakyat iaitu Autonomi seperti yang dicatitkan di dalam Perjanjian Malaysia 1963.  Ianya hampir sama dengan apa yang diperjuangkan oleh Allahyarham Tok Nan selama ini sehingga setiap apa yang dilakukannya sememangnya menjadikan aspirasi bagi setiap anak Sarawak. 

Rapelson Richard Hamit (PBDS Baru)
Berasal dari Siburan dan ayah kepada seorang anak ini masih muda iaitu 31 tahun usianya.  Seorang aktivis sosial yang sememangnya agak terkenal di dalam menyuarakan hak Dayak di dalam Native Customary Rights (NCR Land).  Pemegang Ijazah Sains Politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ini bukanlah asing di dalam dunia politik Sarawak memandangkan pada PRK Ke-11 lepas, beliau mewakili Parti Amanah Nasional (PAN) di N26 Gedong. Pada PRK itu, beliau hanya mendapat 699 undi sementara calon bebas Uja Bansi mendapat 396 undi.  BN/PBB pula pada waktu itu yang diwakili oleh Datuk Mohd Naroden Majais menang majoriti dengan 4,064 undi. 
Kali ini bertanding bukan dibawah panji PAN sebaliknya sebuah parti tempatan iaitu Parti Baru Dayak Sarawak sememangnya sesuatu yang agak songsang dengan perjuangannya sebelum ini.  Namun begitu sebagai aktivis sosial, Rapelson tetap dengan misi dan visinya memperjuangkan tanah NCR lebih-lebih lagi isu “Pemakai Menoa” dan “Pulau Galau” sememangnya satu isu yang mendapat tempat di hati pengundi Dayak.  Namun sekali lagi adakah beliau dikenali oleh rakyat Tanjung Datu yang pelbagai kaum dan budaya turut akan memainkan peranan yang penting sepanjang berkempen kelak. 

Bolehlah dirangkumkan bahawa ketiga-tiga personaliti ini mempunyai kekuatan masing-masing dari segi visi dan misi yang dibawa untuk tatapan dan perjuangan rakyat di Tanjung Datu.  Cuma kekuatan DPDA Hajjah Jamilah agak terserlah kerana beliau sudah cukup dikenali di Tanjung Datu malah dikatakan mendapat mandate sendiri dari penyokong PBB di akar umbi sementara kedua-dua calon dari PBDS dan STAR masih lagi cuba untuk berjingkit-jingkit menguak pintu hati pengundi di Tanjung Datu. 
Negara Malaysia sebuah Negara demokrasi dan kita semua menghormati setiap calon yang bertanding di N03 Tanjung Datu.  Rakyat Tanjung Datu sudah semestinya tahu apa yang mereka mahukan kerana legasi pemerintahan Tok Nan yang cemerlang itu terletak di tangan mereka. 
Gendang bertandak sudah dipalu
Rentak tari janganlah sumbang
Bertingkahlah di dalam semangat bersatu
Sarawak akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang.