Monday 31 October 2016

3 IPG SARAWAK AKAN DITUTUP!


KETIKA kita rakyat Sarawak merasa gembira kerana tidak lama lagi borneonisasi jawatan guru dengan nisbah 90/10 bagi anak Sarawak akan tercapai, kita dikejutkan dengan berita yang kurang enak didengar. Bersandarkan untuk memberikan ruang bagi pelajar-pelajar teknikal maka dinyatakan bahawa Kementerian Pendidikan akan menutup 3 daripada 4 buah institut perguruan di Sarawak bagi mentransformasikannya menjadi sebuah politeknik.

Apa yang diwar-warkan ini merupakan satu tindakan yang melampau kerana 3 IPG ini iaitu IPG Miri, IPG Rejang dan IPG Samarahan merupakan antara sandaran bagi melahirkan bakal pendidik di kalangan anak Sarawak. Sekiranya ianya benar akan ditransformasikan adakah kita akan hanya bersandarkan kepada 1 IPG yang ada bagi merealitikan impian kita untuk nisbah 90/10 anak Sarawak bekerja di Sarawak kelak.

Sewajarnya pihak Kerajaan Negeri Sarawak tidak bertoleransi di dalam hal ini kerana ianya boleh mengganggu apa yang dirancangkan selama ini. Autonomi Pendidikan adalah salah satu daripada permintaan autonomi yang dirancang oleh Sarawak untuk dikembalikan semula kepada yang berhak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Kita sudah lelah dengan polisi pendidikan ala Putrajaya yang menyebabkan sistem pendidikan kita terumbang-ambing selama ini. 

GASKELL MASIH HILANG DI MULU



Andrew Gaskell, pelancong warga Australia 


Operasi SAR masuk hari ke-3 


SEORANG pelancong warga Australia iaitu Andrew Gaskell masih lagi hilang di Mulu.  Beliau dikhabarkan telahpun berada di Taman Negara Mulu pada tanggal 20 Oktober yang lalu dan sehingga sekarang masih lagi tiada khabar berita mengenai beliau.

Bertindak daripada laporan kehilangannya, satu operasi SAR telahpun dijalankan oleh Bomba Marudi dan semalam sudah memasuki fasa hari ke-3.  Dengan jumlah kekuatan hampir 63 orang anggota, radius pencarian juga sudah diperbesarkan malah unit SAR telah dibahagikan kepada 3 unit semuanya.  Namun sehingga jam 5.00 petang semalam, tiada lagi tanda-tanda positif ataupun jejak pelancong Australia ini dikesan.

Semoga segala perjalanan pencarian Gaskell dipermudahkan.  Kita mengetahui bahawa Mulu merupakan antara hutan tropika yang tertua di Negara kita. Sudah tentu banyak cerita mengenainya yang harus kita jadikan iktibar sebelum memulakan satu-satu ekspedisi di sana. 



Sunday 30 October 2016

CABAR KESAHIHAN PINDAAN TERRITORIAL SEA ACT 2012

         The crucial Article 1(3) and 2 of the Federal Constitution (as at 1.11.2010)

MENGIMBAU ceritanya Territorial Sea Acta 2012 bermula pada 18 April,2012 apabila ianya diusulkan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan disokong oleh Dato’ Yong Khoon Seng di Parlimen Malaysia pada masa itu.  Dan usulan ini tidak memakan masa langsung apabila pada hari yang sama ianya diluluskan dengan tiada perdebatan yang berlaku baik daripada Ahli Parlimen Sabah mahupun Sarawak. 
Dan sejak itulah Sarawak mahupun Sabah sudah kehilangan “kemerdekaan” untuk wilayah laut mereka apabila hanya mampu menerima segala ruang ekonomi pada hanya 3 batu nautika sedangkan hakikatnya ianya boleh mencapai sehingga 300 batu nautika.  Bayangkan berapa banyak sudah Sabah dan Sarawak kehilangan sumbernya sejak ianya berkuatkuasa.  Petronas terus-terusan menggorek hasil bumi tanpa belas ihsan untuk memberikan lebih royalty untuk setiap penghasilan mereka. 
Di dalam corat-coret inilah, Sabah dan Sarawak dikatakan akan bersatu untuk mencabar kesahihan akta ini dipinda kerana sudah tertulis di dalam Perjanjian Malaysia bukan sewenang-wenangnya ianya boleh dibuat sedemikian.  Dengan tiada budi bicara dan kelulusan daripada DUN dari kedua-dua rakan sejajar pembentuk Gagasan Malaysia ini maka ianya dikatakan sudah terbatal. 
Sekarang, segala mata dan telinga rakyat Sarawak dan Sabah akan fokus pada isu ini dan semoga ianya berjalan dengan baik.  Terpulang kepada “niat” Putrajaya sekarang untuk membetulkannya serta menghormati Sabah Sarawak sebagai rakan sejajar.  Dahulu kita kekurangan orang bijak pandai tetapi sekarang bukan sedikit yang sudah tahu apa itu perundangan yang sebenar. 
Setiap Ahli Parlimen dari Sarawak mahupun Sabah juga diminta untuk lebih aktif di dalam soal autonomi kita selama ini dan bukan hanya “pemanas” bangku Parlimen Malaysia. 

Tuesday 25 October 2016

USUL STATUS SEBENAR SARAWAK DIKEMBALIKAN


TIADA lagi kompromi dan ianya sudah tentu bukan untuk meraih popularity sebaliknya ianya adalah hak Sarawak seperti apa yang ditandatangani 53 tahun dahulu.  Kesungguhan Datuk Adenan sebagai pemimpin no. 1 Sarawak sudah mencapai ke kemuncaknya di dalam memperjelaskan permintaan autonomi dikembalikan kepada Sarawak. 

Bertindak daripada itu apabila menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang akan membuka tirainya dari 21 hingga 30 November 2016 nanti, satu usulan akan diketengahkan untuk mendapat restu barisan Yang Berhormat Sarawak.  Usulan yang mungkin akan menempa satu lagi sejarah iaitu status sebenar Sarawak sebagai 1/3 daripada pembentuk Gagasan Malaysia akan diperdebatkan. 

Sekiranya tiada aral yang melintang, sudah tentu usulan ini akan dibawa ke Parlimen Malaysia pula bagi mengembalikan apa yang sudah tercalar pada tahun 1976.  Tidak terlambat untuk membuat pembetulan kerana segalanya sudah tertulis di dalam perjanjian.  Sekarang yang ditunggu apakah nawaitu pihak Persekutuan “ikhlas” di dalam memastikan Perjanjian Malaysia 1963 dijunjung seperti seadanya. 

Yang pasti, Sarawak bukan 13 negeri di dalam Malaysia tetapi Sarawak adalah 3 entiti pembentuk Malaysia selepas Singapura “menarik diri” pada tahun 1965.  Malaya, Sarawak dan Sabah adalah rakan sejajar. 

Monday 24 October 2016

KOTORNYA UPTOWN KUCHING!




IDEA untuk menjadikan kawasan sekitar Kuching Civic Centre sebagai tapak untuk perniagaan bagi warga Kuching sememangnya sesuatu yang dipuji.  Dan ianya telah banyak membantu rakyat yang gemar untuk berniaga mencari rezeki lebih buat sumber pendapatan keluarga juga telah mencapai matlamatnya. 

Namun sayang di dalam corat coret perniagaan pasar malam seperti di Uptown Kuching ini terselit cerita yang tidak kita gemari.  Usai operasi perniagaan selesai lain pula yang muncul.  Keadaan kotor dengan sampah sarap disana sini sungguh menyakitkan mata pengunjung-pengunjung di kawasan sekitarnya. 

Dan seperti biasa sudah tentu ramai yang berkata ke manakah perginya majlis berkuasa tempatan yang akan mula menjalan tugas pembersihan.  Seringkali pihak berkuasa tempatan yang akan menanggung beban permasalahan ini semua sedangkan hakikatnya peniaga mahupun pengunjung Uptown juga harus sama-sama menjaga kebersihannya.

Kuching pernah dinobatkan sebagai bandaraya yang bersih di Malaysia dan mengapa Uptown Kuching tidak senada? Kebersihan itu adalah tanggungjawab bersama. 

Sunday 23 October 2016

TITIAN SK BRUIT RUNTUH


BANGUNAN sekolah terhumban ke dalam sungai, laluan pelajar runtuh serta banyak lagi ceritera kedaifan sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak sudah menjadi lumrah yang tiada penyelesaiannya walaupun sudah 53 tahun merdeka.  Seringkali ianya menjadi kelelahan kita untuk membicarakan untung nasib kita.
Agak bernasib baik kerana setakat ini biarpun banyak masalah ke atas struktur-struktur sekolah di Sarawak masih belum ada lagi yang terkorban nyawa.  Dan cerita ngeri sekali lagi berulang apabila 2 hari yang lepas pula menyaksikan 15 orang awam terjatuh apabila titian di SK Bruit runtuh ketika ada satu majlis Program Transformasi Komunit Bergerak (Mobile CTC) sedang berlangsung. 
Dengan belanjawan 2017 yang ternyata tidak begitu memihak kepada Sarawak maka masalah sekolah-sekolah daif dan usang di Sarawak akan terus menjadi igauan ngeri bagi warga Sarawak khususnya pelajar dan para pendidiknya. 
Gambar ehsan Borneo Post

PEMBINAAN PARKIR KERETA BERTINGKAT DI MEDAN NIAGA SATOK


KURANGNYA kawasan tempat untuk meletak kereta di Medan Niaga Satok sering menjadi masalah yang sering diperkatakan oleh warga  Kuching sejak di tahun 2013 lagi.  Medan Niaga Satok adalah salah satu daripada pusat setempat untuk warganya membeli barangan keperluan harian lebih-lebih lagi pada hujung minggu. 
Dan hanya pada tahun hadapan iaitu 2017 barulah masalah ini boleh dirungkaikan apabila Kerajaan Negeri Sarawak telah bersetuju dan meluluskan pembinaan parkir kereta 3 tingkat yang boleh memuatkan hampir 227 ruang letak kereta untuk kemudahan warga yang membeli belah di Medan Niaga ini kelak. 
Dengan kos sebanyak RM6 juta, projek pembinaan parkir bertingkat ini dikatakan akan mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan.  

Tuesday 18 October 2016

PROJEK RUMAH SAKIT YANG “SAKIT”!



BETAPA girangnya hati warga Kuching khususnya kawasan Petra Jaya apabila dijanjikan dengan sebuah hospital baru menjelang pertengahan tahun 2016.  Hospital Petra Jaya yang akan menjadi antara satu lagi kemudahan buat rakyat Petra Jaya yang sesungguhnya selama ini terpaksa ke hospital umum Sarawak untuk mendapat rawatan. 
Namun sayang seribu kali sayang yang ditunggu-tunggu hanya tetap menjadi mimpi lagi apabila dikatakan projek hospital ini hanya 64% siapnya.  Rakyat perlu menunggu lagi sehingga ke Jun 2017.  Itulah janji daripada pemaju yang memberikan alasan kekurangan tenaga kerja untuk menyiapkan pembinaannya.  Entah dimana silapnya sehingga tiada yang benar-benar membuat pemantauan akan hal ini dan kenapa hanya ditimbulkan apabila tarikh ianya sepatutnya siap baharu hendak diwar-warkan. 
Itu ceritanya Hospital Petra Jaya dan bagaimana pula dengan Hospital Sri Aman yang sehingga sekarang masih lagi seumpama tidak bergerak pembinaannya.  Menurut apa yang dinyatakan ianya akan siap menjelang tahun 2018 namun dapat dirasakan berdasarkan kepada pergerakkan projek yang dari dahulu sehingga sekarang hanya meliputi kerja-kerja tanah entah kapan siapnya pula.  Maka terpaksa rakyat di Sri Aman menelan air liur lagi dengan janji-janji yang ditabur.   
Hakikatnya projek pembinaan kemudahan untuk rakyat seperti hospital ini tidak harus dibuat umpama melepas batuk di tangga.  Ini janji yang harus dikotakan kerana disinilah terletaknya kepercayaan rakyat kepada kerajaan yang sedia ada. 
Biarpun hospital itu dipanggil rumah sakit kerana disinilah berhimpunnya segala penyakit untuk mendapat rawatan TETAPI janganlah jadikannya “PROJEK YANG SAKIT” pula. 

MASWINGS HARAMKAN SAMSUNG GALAXY NOTE 7


BERKUATKUASA dari 18 Oktober 2016,  Maswing Sdn Bhd iaitu salah satu anak syarikat Sistem Penerbangan Malaysia yang beroperasi untuk penerbangan domestic ke seluruh kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak mahupun Indonesia dan Brunei telah mengharamkan penumpangnya untuk membawa telefon mudahalih samada di dalam bagasi atau sebagai. 
Pengharaman ini dilakukan bagi memastikan keselamatan penumpang dan krew di dalam setiap penerbangan terjamin memandangkan telefon mudahalih ini telahpun mempunyai rekod “buruk” iaitu dikatakan mampu meletup dengan sendirinya.  Tindakan Maswings juga bertepatan dengan tindakan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa yang lain di dunia iaitu turut mengharamkan jenis telefon yang sama dibawa di dalam kapalterbangan.

Diharap mana-mana penumpang domestic di Sarawak sedar dengan pengharaman ini.  Segalanya dibuat bukan untuk menyusahkan sesiapa tetapi untuk menjamin keselamatan sewaktu di dalam penerbangan. 

SEBUAH RUMAH TERES UNTUK WATSON NYAMBEK


PERNAH beliau hampir jatuh kerana akan diistiharkan muflis dan Kerajaan Sarawak melalui Ketua Menteri Datuk Adenan menghulurkan tangan dengan tidak sesekali membiarkan beliau bersendirian.  Penyelesaian tunggakan pinjaman bank sebanyak RM80,000 telah dilangsaikan sehingga membenarkan beliau tidak lagi menghadapi masalah kebangkarapan.  Inilah salah satu cara untuk membalas kembali jasa anak Sarawak yang terkenal namanya sebagai jagoan pecut Malaysia yang sekarang masih lagi berdiri utuh membantu anak Sarawak untuk menjadi jaguh pecut sepertinya.   
Dan semalam menyaksikan Watson Nyambek “The Flying Dayak” menerima kejutan besar daripada Ketua Menteri Sarawak sendiri apabila dihadiahkan pula dengan sebuah rumah teres satu tingkat yang bernilai RM350,000.  Ianya adalah hasil pemuafakatan 2 syarikat perumahan iaitu Naim Holdings dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad yang bergandingbahu memberikan hadiah yang begitu bermakna kepada Watson dan keluarganya. Rumah ini terletak di dalam kawasan perumahan Vista Perdana, Miri yang juga merupakan daerah kelahiran Watson sendiri. 

Terima kasih Datuk Adenan dan pihak korporat yang prihatin dan bersatu hati menghargai jasa anak Sarawak ini.  Tahniah saudara Watson Nyambek dan semoga hadiah ini akan terus membakar semangat untuk terus memajukan sukan pecut di kalangan anak Sarawak.   

JAMBATAN BATANG SADONG DIRASMIKAN




TERUKIR lagi satu sejarah di Sarawak Bumi Kenyalang apabila semalam, kita menyaksikan Jambatan Batang Sadong dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya iaitu Datuk Seri Fadillah Yusuf.
Perasmian ini juga menunjukkan bahawa jambatan ini sudah siaga sepenuhnya untuk kegunaan rakyat di Sarawak. Inilah antara janji kejayaan BN Sarawak yang bukannya satu mimpi sahaja sebaliknya direalitikan buat rakyat semua.

KEMBALIKAN STATUS ASAL SARAWAK


“We are a party to the Malaysia Agreement signed in 1963. When you are party to the agreement, you are equal in status" - Adenan Satem -
SUDAH acapkali kita mendengar Ketua Menteri Sarawak berucap dengan nada yang sama apabila berkata tentang status asal Sarawak. Ini kerana 53 tahun dahulu yang terpatri di dalam Perjanjian Malaysia sudah tidak sama lagi dengan status sekarang.
Kekhilafan membenarkan pindaan dilakukan pada tahun 1976 yang menyaksikan ahli parlimen Sarawak tidak mencukupi pada masa itu membawa kepada pertukaran status. Namun hal ini jika benar-benar diperhalusi harus dibincangkan dengan terperinci oleh semua pihak.
Adalah tidak adil jika suara untuk memohon status ini dikembalikan hanya gah di ruangan DUN sahaja sedangkan suara Ahli Parlimen dari Sarawak juga harus senada di Parlimen Malaysia. Tiada apa yang hendak dirisaukan tuntutan autonomi bukan bermakna hendak keluar Malaysia. Sarawak hanya menuntut haknya.
Rakyat memilih Ahli Parlimen juga untuk suara dan kehendak mereka dilaungkan di Parlimen. ADUN sudah bersatu hati sekarang MP yang harus memulakan "motion" di Parlimen Malaysia.

Wednesday 12 October 2016

“BORNEONISASI” JAWATAN GURU SARAWAK MENJELANG 2018


DI dalam 53 Prinsip dan Tindakan Ketua Menteri Sarawak sebelum PRN ke-11 yang lalu ada menyatakan bahawa beliau mahukan “Borneonisasi” jawatan guru di Sarawak adalah untuk orang Sarawak sahaja. Misinya ini diperjelaskan dengan meletakkan nisbah 90:10 iaitu 90% hendaklah terdiri dari tenaga pengajar anak Sarawak manakala 10% lagi barulah untuk mereka dari negeri yang lain di dalam Malaysia menjelang tahun 2018.

Berdasarkan kepada laporan terkini yang menunjukkan bahawa nisbah tenaga pengajar anak Sarawak di Sarawak adalah hampir 88.7%. Ini membuktikan bahawa apa yang direncanakan oleh Kerajaan Sarawak adalah mengikut pelannya malah boleh dikatakan ianya “ahead of time”. Menurut Datuk Fatimah Abdullah yang juga Menteri yang bertanggungjawab untuk hal ehwal pendidikan di Sarawak menyatakan bahawa kebanyakan daripada guru dari Semenanjung Malaysia yang masih berkhidmat di Sarawak adalah berasal dari negeri Kelantan.

Untuk rekod, isu mengenai “borneonisasi” jawatan guru di Sarawak ini adalah antara perkara yang menjadi misi dan visi Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Adenan semenjak beliau mengambilalih jawatan Ketua Menteri lagi. Ini kerana bagi pendapat beliau yang juga turut disokong oleh rakyat Sarawak, perbezaan budaya, tradisi malah bahasa sebenarnya banyak menyebabkan ramai tenaga pengajar yang bukan berasal dari Sarawak merasa kekok untuk bertugas di Sarawak sehingga memaksa ada diantara mereka tidak begitu bersungguh-sungguh untuk berbakti di Sarawak.

Dan sudah tentu kita menyambut baik usaha ini kerana jika diikutkan adalah lebih baik orang Sarawak sendiri yang berbakti di tanah tumpahnya. Ini kerana apabila berada di negeri sendiri serta berbakti untuk anak bangsa sendiri itu jiwanya lebih sikit berbanding mengajar di negeri orang lain. Lagipun hanya orang Sarawak yang mengenal apa itu Sarawak.
 

Monday 10 October 2016

PERANGI RASUAH : PEMUDA SOSIALIS DAP SARAWAK DITEMPELAK PEMUDA BN SARAWAK

MASIH panas lagi cerita mengenai rampasan rasuah SPRM yang merupakan nilai rampasan yang terbesar di dalam sejarah SPRM menjadi tajuk utama perbualan rakyat Malaysia, muncul pula seorang “Hero” anak didik pengerusi DAP Sarawak membuat kenyataan media mengenai isu perangi rasuah yang akan mereka (DAP) lakukan usai sahaja mengambilalih Putrajaya.
Disebalik “kecerdikan” Abdul Aziz Isa mengatur bicara di dalam kenyataan medianya mengenai isu perangi rasuah ini seperti ada sesuatu yang tidak kena apabila berbicara mengenai isu rasuah yang melibatkan ahli politik DAP sendiri.   Sebagai barisan hadapan Barisan Nasional Sarawak, Pemuda BN Sarawak telah memberi maklumbalas mereka ke atas kenyataan media yang dibuat oleh Pemuda Sosialis DAP Sarawak. 

======================
KENYATAAN MEDIA PEMUDA BN SARAWAK, SEBAGAI RESPON KEPADA KENYATAAN MEDIA PEMUDA SOSIALIS DAP SARAWAK
Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak mencabar Pemuda Sosialis DAP supaya memulakan usaha memerangi rasuah di Pulau Pinang jika mereka benar-benar serius mahu memerangi gejala rasuah seperti yang mereka dakwa.
Tidak perlu untuk Pemuda Sosialis DAP menunggu kononnya sehingga berjaya menawan Putrajaya untuk memerangi rasuah, sebaliknya mereka seharusnya memulakanya di negeri yang kini dalam pentadbiran pembangkang khususnya Pulau Pinang.
Di Pulau Pinang, Ketua Menterinya sendiri kini berdepan perbicaraan di Mahkamah atas pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran, dengan perbicaraan masih lagi berjalan.
Manakala Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) negeri Pulau Pinang untuk Projek Terowong Dasar Laut bernilai RM6.34 bilion yang penuh dengan kontroversi juga sudah dua kali gagal dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan kini sudah terlewat selama setahun.
Malahan, kos yang dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang untuk kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut yang mencecah RM305 juta itu juga masih menjadi persoalan besar bagi rakyat Pulau Pinang sendiri.
Ini jelas membuktikan Kenyataan media yang dibuat oleh Abdul Aziz Isa, Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak yang juga Setiausaha Publisiti Pemuda Sosialis DAP Petra Jaya, kononnya mereka akan memerangi rasuah besar-besaran jika berjaya menawan Putrajaya, sebagai gimik dan sandiwara politik semata-mata serta ibarat 'cakap tidak serupa bikin'.
Memerangi dan menghapuskan rasuah sememangnya menjadi salah satu keutamaan Kerajaan BN selama ini dan usaha berterusan dilakukan untuk memperkukuh dan memartabatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). DAP pula hanya pandai mempolitikkan isu dan hanya pandai bermain 'blaming game'.
SPRM bertindak tanpa mengira latar belakang parti dengan banyak tangkapan sudah dibuat termasuk yang terbesar di Sabah baru-baru ini. Itulah komitmen Kerajaan BN dalam membenteras rasuah dengan kebebasan diberikan kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan memerangi rasuah.
Malah di Sarawak, YAB Ketua Menteri amat lantang bersuara membanteras rasuah dan memberi amaran akan menyokong tindakan tegas terhadap pelaku rasuah. Ini dapat disaksikan dengan pembekuan permit pembalakan dan perladangan serta usaha memerangi pembalakan haram secara berterusan. Pada masa sama juga agensi penguatkuasaan negeri semakin diperkasakan.
Merujuk kepada kenyataan Bank Dunia pada 2008 bahawa rasuah jika tidak dibendung boleh menyebabkan negara kerugian RM10 billion setahun dari segi pertumbuhan domestik, ia hanyalah merupakan kenyataan secara umum. Bank Dunia menyebut secara am bahawa rasuah boleh menyebabkan kadar pertumbuhan ekonomi sesebuah negara boleh berkurangan antara 2% hingga 4%. Bank Dunia tidak mengatakan bahawa Malaysia mengalami kehilangan RM10 billion kerana gejala rasuah.
Kenyataan Pemuda Sosialis DAP yang kononnya Ketua Audit Negara melaporkan bahawa RM28 billion telah dibazirkan dalam pemerolehan kerajaan juga tidak tepat. Ketua Audit Negara tidak pernah mengeluarkan laporan sebegini dan besar kemungkinan, angka RM28 billion ini dipetik dari propaganda media sosial pembangkang sendiri.
Justeru Pemuda BN Sarawak berharap supaya Pemuda Sosialis DAP lebih bertanggung jawab diatas kenyataan rasmi mereka dan tidak lagi memetik angka dan fakta salah dari sumber yang tidak sahih untuk mengelirukan rakyat.
Hakikatnya Kerajaan BN sudah lama memerangi rasuah dan penyelewengan, sedangkan Pemuda Sosialis DAP 'baru sedar dari tidur'.
Setiausaha Pemuda BN Sarawak,
Leonard anak Jambu.

9.10.2016

Sunday 9 October 2016

LIF BARU HUS APRIL 2018


BEBERAPA hari yang lepas dunia netizen dikejutkan dengan cerita bagaimana seorang bakal ibu dari Sadong Jaya yang terperangkap di dalam lif ketika menuju ke wad bersalin.  Hal yang berlaku ini mendapat pelbagai maklumbalas dari rakyat walaupun untuk kes ibu dari Sadong Jaya itu diakhiri dengan beliau selamat melahirkan anaknya di dalam lif. 
Bila berkata mengenai lif di Hospital Umum Sarawak dinyatakan bahawa kesemua lif ini digunakan sejak dari tahun 1995 lagi dan ini bermakna sudah 21 tahun ianya memberi perkhidmatannya kepada warga pekerja, pesakit dan pelawat HUS itu sendiri.  Jadi dengan tempoh perkhidmatan yang sebegitu lama maka sekiranya adakala tidak berfungsi dengan baik pada waktu yang tertentu sudah menjadi cerita biasa.  
Menurut Dr Jamilah Hashim yang juga merupakan Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, perkhidmatan lif di HUS hanya akan ditukar menjelang April 2018.  Menurut beliau segala urusan tender telahpun di dalam proses sejak Ogos 2016 lagi setelah ianya diluluskan oleh pihak Persekutuan dibawah Rancangan Malaysia tahun ini. 
April 2018 adalah satu jangkamasa yang lama jika dibandingkan lif yang ada sekarang sudah tentu akan berterusan digunakan.  Jadi adalah perlu untuk pentadbir HUS menyediakan segala “preventive action” lebih-lebih lagi wad bersalin di HUS berada di Aras 4.  Segala hal harus diperhalusi di dalam jangkamasa ini bagi mengelak kisah yang sama berulang.  
Hakikatnya bukan selalu kita ini bernasib baik dan ini melibatkan nyawa manusia bukan seorang tetapi juga bayi yang akan dilahirkan.  

SUPERHERO “BATMAN” DI HOSPITAL MIRI


YANG kita ketahui superhero “Batman” ini hanya ada di USA lebih-lebih lagi apabila berkata mengenai filemnya yang menjadi idola bagi yang kanak-kanak sehinggalah ke golongan dewasa.  Semalam menyaksikan Hospital Miri kecoh dengan kehadiran superhero “Batman” yang datang mengejut ke wad bersalin hospital tersebut. 
Kelibat “batman” yang berpakaian serba lengkap sudah tentu menarik perhatian pelawat mahupun pesakit di Hospital Miri. Dan jangan pula ada yang berkata kedatangannya untuk menyelamatkan orang sebaliknya beliau ke wad bersalin untuk menemui isterinya.  Dengan berbuahtangan sebakul buah-buahan yang segar itulah caranya “batman” mengucapkan terima kasih atas pengorbanan isterinya yang dimasukkan ke wad untuk melahirkan anak. 
Sungguh romantik cerita “batman” ini yang sudah tentu berjaya memikat hati isterinya.  Kadang-kadang terfikir berapa ramai suami yang sanggup untuk menceriakan suasana untuk isterinya tercinta yang mungkin sedang sakit untuk melahirkan anak.  Rata-rata yang kita sering dengar hendak buat pemeriksaan kesihatan pun kadang-kala ada para isteri pergi keseorangan ke klinik.

Gambar ihsan Borneo Post  

Friday 7 October 2016

SONGKET SARAWAK KE PENTAS DUNIA


Peralatan menyulam songket Sarawak berlatar belakangkan bangunan Colloseum, Rom. 
Menjadi antara tarikan mengetengahkan songket Sarawak ke mata dunia. 

Antara foto peragaan busana songket Sarawak yang berjaya diketengahkan 
dan menghiasi dunia makalah fesyen di Perancis.

Pemain sape kelahiran Sarawak Alena Murang bermain sape di ketika peragaan 
songket Sarawak dipentaskan.

JIKA tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya… Itulah pepatah lama di dalam kita memperkatakan tentang kekentalan jiwa untuk membuat sesuatu. Tiada pernah berputus asa dan sudah tentu apabila ianya sudah diketahui dunia mesti ada yang menghargainya. Pujian ini dikhaskan untuk sebuah NGO Sarawak yang diberi nama Tanoti House yang telah cukup gah membawa songket Sarawak, tekstil warisan Melayu Sarawak ke pentas dunia.

Mungkin ramai rakyat Sarawak sendiri tidak mengetahui kejayaan Tanoti House  ini kerana pada tanggal 26hb September 2016, siapa pernah menyangka bahawa Songket Sarawak telah digayakan di pentas “runaway” di Kota Paris yang sinonim untuk memasarkan apa sahaja busana terkini di dunia.   Pada ketika inilah juga para pelanggan dunia fesyen terkemuka turut ada bagi melihat busana yang akan popular untuk koleksi musim panas 2017 nanti. 

Nama pereka fesyen seperti Bon Zainal, Jo Disaya, Bill Keith, Keith Kee, Fizi Woo, Sakura Malaysia, Ruzz Gahara Porosus dan Zang Toi turut berada di pentas yang sama dan sekarang sudah terpahat satu lagi nama dari Sarawak iaitu  Tanoti House pula jalan beriringan bagi menjayakan Malaysia Fashion Week Global Launch event yang diadakan di sebuah kapal mewah di Escale de Grenelle menyusuri Sungai Seine, Paris, Perancis.  Dan Tanoti House menampilkan segalanya mengenai songket Sarawak yang telah dijadikan busana kontemporari yang sesuai digayakan oleh sesiapa sahaja yang ingin menggayakan busana yang unik ini. 

Siapa menyangka songket Sarawak yang merupakan warisan turun temurun komuniti Melayu Sarawak yang hanya menghiasi upacara cukur jambul, perkahwinan dan sebagainya suatu waktu dahulu sudah berjaya mengetuk pintu dunia fesyen peringkat global.  Dan lebih manis lagi di ketika busana kontemporari berasaskan Songket Sarawak digayakan oleh barisan model-model terkenal antarabangsa ada seorang anak Sarawak iaitu Alena Murang pula menjadi pemuzik latar memperdengarkan alunan sape, satu lagi alat muzik tradisional Sarawak yang berjaya menjadikan suasana di Sungai Seine, Paris seperti “A little Sarawak”.   

Sarawak sudah mempunyai Datuk Tom Abang Saufi yang gah namanya di dalam dunia fesyen bermotifkan pua kumbu dan batik Sarawak dan sekarang kita juga mempunyai Tanoti House yang berjaya “menjual” songket Sarawak ke pentas dunia.  Satu kejayaan yang harus kita banggakan kerana tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar tulus ikhlas memperjuangkan warisan kita.  Dari hanya sebuah NGO yang mengangkat warisan seni songket Sarawak menjadi antara pemain busana tradisional Sarawak peringkat global.

Tahniah Tanoti House.


Wednesday 5 October 2016

NILAI RAMPASAN RASUAH TERBESAR DI DALAM SEJARAH SPRM




JIKA di negara China, mengikut undang-undangnya mana-mana mereka yang sudah disabitkan kesalahan dengan rasuah akan dikenakan hukuman mati iaitu bagi kes yang melebihi 100,000 yuan (RM52,251). Selain itu jika dibuat penangguhan hukuman mati kebiasaannya ianya diringankan menjadi penjara seumur hidup. Itulah caranya Negara China mengajar rakyatnya untuk menghindari “budaya” rasuah dengan mengenakan hukuman yang seberat-beratnya.

Semalam di Malaysia viral dengan satu kes rampasan rasuah yang mana pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah cawangan Sabah telah membuat satu rampasan ke atas seorang Pengarah dan Timbalan Pengarah sebuah agensi awam. Kedua-duanya didakwa menyalahgunakan kuasa mereka untuk beberapa projek infrastruktur yang bernilai hampir RM3.3 billion di Sabah. Susulan penahanan itu juga melibatkan dua orang awam iaitu seorang yang berpangkat “Datuk” dan seorang akauntan yang dikatakan mempunyai perkaitan dengan kedua-dua yang didakwa untuk membantu siasatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Sabah, iaitu Datuk Azam Baki, nilai rampasan untuk kes rasuah di Sabah ini adalah seperti berikut:

1. Wang tunai di dalam ringgit Malaysia sebanyak RM52 juta. RM45 juta diambil dari simpanan peribadi Pengarah manakala RM7.5 juta dari simpanan peribadi Timbalan Pengarah. Juga wang tunai berjumlah hampir 8 juta di dalam bentuk matawang asing iaitu Yuan, Riyal, Dollar Hong Kong, Yen, Dollar Singapore dan banyak lagi. Kesemua wang tunai ini disembunyikan samada di pejabat mahupun di rumah keluarga mereka.

2. Wang berbentuk simpanan akaun bank samada semasa dan tetap yang berjumlah hampir RM23 juta.

3. Wang tunai RM2.5 juta yang diletakkan di dalam 6 peti simpanan bank (Safe Deposit Box) dan terdapat 5 lagi peti simpanan bank yang masih belum dibuka kerana menunggu kelulusan pihak bank.

4. Barang kemas dan jam tangan berjenama mewah serta 127 keping geran tanah.

5. Rampasan dari 2 orang awam yang bergelar Datuk dan Akauntan pula adalah sebanyak RM37 juta yang dimasukkan di dalam akaun bank mereka.

Apa yang dicatitkan hanyalah bukti kes yang telah disahihkan buat masa sekarang sementara turut dikatakan bahawa ada banyak lagi nilai rampasan yang akan dibuat kerana ianya juga melibatkan akaun-akaun bank di luar Negara yang memerlukan sedikit masa untuk dilakukan. Dijangka nilai rampasan sebenar boleh mencecah sehingga RM300 juta yang juga menjadikan rampasan rasuah di Sabah merupakan rampasan paling terbesar di dalam sejarah SPRM.

Melihat kepada senario ini sesungguhnya pihak SPRM telah menjalankan tugas mereka dengan cukup berkesan dan wajar menerima pujian daripada rakyat Malaysia. Ianya menjadi satu pengajaran kepada mana-mana mereka yang diamanahkan agar benar-benar ikhlas dan berintegriti tinggi di dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Rakyat Malaysia sudah tentu menunggu apakah pengakhiran kepada episod rasuah ini dan seharusnya jika disabitkan kesalahan, biarlah mereka dihukum dengan seberat-beratnya mengikut perundangan Malaysia.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.