Wednesday 5 October 2016

NILAI RAMPASAN RASUAH TERBESAR DI DALAM SEJARAH SPRM




JIKA di negara China, mengikut undang-undangnya mana-mana mereka yang sudah disabitkan kesalahan dengan rasuah akan dikenakan hukuman mati iaitu bagi kes yang melebihi 100,000 yuan (RM52,251). Selain itu jika dibuat penangguhan hukuman mati kebiasaannya ianya diringankan menjadi penjara seumur hidup. Itulah caranya Negara China mengajar rakyatnya untuk menghindari “budaya” rasuah dengan mengenakan hukuman yang seberat-beratnya.

Semalam di Malaysia viral dengan satu kes rampasan rasuah yang mana pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah cawangan Sabah telah membuat satu rampasan ke atas seorang Pengarah dan Timbalan Pengarah sebuah agensi awam. Kedua-duanya didakwa menyalahgunakan kuasa mereka untuk beberapa projek infrastruktur yang bernilai hampir RM3.3 billion di Sabah. Susulan penahanan itu juga melibatkan dua orang awam iaitu seorang yang berpangkat “Datuk” dan seorang akauntan yang dikatakan mempunyai perkaitan dengan kedua-dua yang didakwa untuk membantu siasatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Sabah, iaitu Datuk Azam Baki, nilai rampasan untuk kes rasuah di Sabah ini adalah seperti berikut:

1. Wang tunai di dalam ringgit Malaysia sebanyak RM52 juta. RM45 juta diambil dari simpanan peribadi Pengarah manakala RM7.5 juta dari simpanan peribadi Timbalan Pengarah. Juga wang tunai berjumlah hampir 8 juta di dalam bentuk matawang asing iaitu Yuan, Riyal, Dollar Hong Kong, Yen, Dollar Singapore dan banyak lagi. Kesemua wang tunai ini disembunyikan samada di pejabat mahupun di rumah keluarga mereka.

2. Wang berbentuk simpanan akaun bank samada semasa dan tetap yang berjumlah hampir RM23 juta.

3. Wang tunai RM2.5 juta yang diletakkan di dalam 6 peti simpanan bank (Safe Deposit Box) dan terdapat 5 lagi peti simpanan bank yang masih belum dibuka kerana menunggu kelulusan pihak bank.

4. Barang kemas dan jam tangan berjenama mewah serta 127 keping geran tanah.

5. Rampasan dari 2 orang awam yang bergelar Datuk dan Akauntan pula adalah sebanyak RM37 juta yang dimasukkan di dalam akaun bank mereka.

Apa yang dicatitkan hanyalah bukti kes yang telah disahihkan buat masa sekarang sementara turut dikatakan bahawa ada banyak lagi nilai rampasan yang akan dibuat kerana ianya juga melibatkan akaun-akaun bank di luar Negara yang memerlukan sedikit masa untuk dilakukan. Dijangka nilai rampasan sebenar boleh mencecah sehingga RM300 juta yang juga menjadikan rampasan rasuah di Sabah merupakan rampasan paling terbesar di dalam sejarah SPRM.

Melihat kepada senario ini sesungguhnya pihak SPRM telah menjalankan tugas mereka dengan cukup berkesan dan wajar menerima pujian daripada rakyat Malaysia. Ianya menjadi satu pengajaran kepada mana-mana mereka yang diamanahkan agar benar-benar ikhlas dan berintegriti tinggi di dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Rakyat Malaysia sudah tentu menunggu apakah pengakhiran kepada episod rasuah ini dan seharusnya jika disabitkan kesalahan, biarlah mereka dihukum dengan seberat-beratnya mengikut perundangan Malaysia.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. 

No comments:

Post a Comment