Friday, 7 October 2016

SONGKET SARAWAK KE PENTAS DUNIA


Peralatan menyulam songket Sarawak berlatar belakangkan bangunan Colloseum, Rom. 
Menjadi antara tarikan mengetengahkan songket Sarawak ke mata dunia. 

Antara foto peragaan busana songket Sarawak yang berjaya diketengahkan 
dan menghiasi dunia makalah fesyen di Perancis.

Pemain sape kelahiran Sarawak Alena Murang bermain sape di ketika peragaan 
songket Sarawak dipentaskan.

JIKA tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya… Itulah pepatah lama di dalam kita memperkatakan tentang kekentalan jiwa untuk membuat sesuatu. Tiada pernah berputus asa dan sudah tentu apabila ianya sudah diketahui dunia mesti ada yang menghargainya. Pujian ini dikhaskan untuk sebuah NGO Sarawak yang diberi nama Tanoti House yang telah cukup gah membawa songket Sarawak, tekstil warisan Melayu Sarawak ke pentas dunia.

Mungkin ramai rakyat Sarawak sendiri tidak mengetahui kejayaan Tanoti House  ini kerana pada tanggal 26hb September 2016, siapa pernah menyangka bahawa Songket Sarawak telah digayakan di pentas “runaway” di Kota Paris yang sinonim untuk memasarkan apa sahaja busana terkini di dunia.   Pada ketika inilah juga para pelanggan dunia fesyen terkemuka turut ada bagi melihat busana yang akan popular untuk koleksi musim panas 2017 nanti. 

Nama pereka fesyen seperti Bon Zainal, Jo Disaya, Bill Keith, Keith Kee, Fizi Woo, Sakura Malaysia, Ruzz Gahara Porosus dan Zang Toi turut berada di pentas yang sama dan sekarang sudah terpahat satu lagi nama dari Sarawak iaitu  Tanoti House pula jalan beriringan bagi menjayakan Malaysia Fashion Week Global Launch event yang diadakan di sebuah kapal mewah di Escale de Grenelle menyusuri Sungai Seine, Paris, Perancis.  Dan Tanoti House menampilkan segalanya mengenai songket Sarawak yang telah dijadikan busana kontemporari yang sesuai digayakan oleh sesiapa sahaja yang ingin menggayakan busana yang unik ini. 

Siapa menyangka songket Sarawak yang merupakan warisan turun temurun komuniti Melayu Sarawak yang hanya menghiasi upacara cukur jambul, perkahwinan dan sebagainya suatu waktu dahulu sudah berjaya mengetuk pintu dunia fesyen peringkat global.  Dan lebih manis lagi di ketika busana kontemporari berasaskan Songket Sarawak digayakan oleh barisan model-model terkenal antarabangsa ada seorang anak Sarawak iaitu Alena Murang pula menjadi pemuzik latar memperdengarkan alunan sape, satu lagi alat muzik tradisional Sarawak yang berjaya menjadikan suasana di Sungai Seine, Paris seperti “A little Sarawak”.   

Sarawak sudah mempunyai Datuk Tom Abang Saufi yang gah namanya di dalam dunia fesyen bermotifkan pua kumbu dan batik Sarawak dan sekarang kita juga mempunyai Tanoti House yang berjaya “menjual” songket Sarawak ke pentas dunia.  Satu kejayaan yang harus kita banggakan kerana tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar tulus ikhlas memperjuangkan warisan kita.  Dari hanya sebuah NGO yang mengangkat warisan seni songket Sarawak menjadi antara pemain busana tradisional Sarawak peringkat global.

Tahniah Tanoti House.


No comments:

Post a Comment