Monday, 3 October 2016

KANSER BUKAN TIKET UNTUK MATI




INI bukan cerita biasa tetapi cerita mengenai kecekalan dan betapa kuatnya keazaman seorang anak muda yang walau sudah di hujung nyawa masih lagi mampu memberikan aspirasi kepada kita semua. Dengan membawa plakad “Cancer Fighter Malaysia” dari utara hingga ke selatan Semenanjung Malaysia kemudian menyeberangi Laut China Selatan untuk ke Sabah dan baru semalam tiba di bumi Sarawak iaitu di Miri.

Zaki Mohd Yamani begitulah namanya seorang anak muda Malaysia yang sudah disahkan menghidapi Stage 3 Hodkin Lymphoma, sejenis kanser yang agak “rare” yang mana ianya ada kena mengena dengan sistem imunisasi badan. Setakat ini belum ada lagi ubat-ubatan yang mampu mencegah kanser ini menular di dalam badannya namun begitu itu semua baginya bukanlah satu tiket untuk bermuram durja.

Jika ramai antara kita jika sudah disahkan dengan penyakit seperti itu mungkin kita hanya akan menyesali dan bermuram selagi masih hidup. Namun ini tidak pada Zaki kerana beliau masih lagi mempunyai impian untuk mengembara di seluruh bumi Malaysia. Semangat ini memang sesuatu yang menakjubkan di sebalik derita yang beliau hidapi selama ini.

Memulakan pengembaraan beliau apada 27 Ogos 2016 di daerah kelahirannya Pulau Tawar, Pahang, Zaki mengembara dengan hanya berbekalkan wang tunai RM13 dan dengan satu beg pakaiannya. Kerana kekurangan wang adakalanya perjalanannya hanya dengan menumpang kereta persendirian mahupun lori ke satu destinasi.

Usahlah ditanya tentang dimana dia bermalam mahupun makan minum kerana segalanya beliau serahkan kepada Allah untuk memberinya belas kasihan. Ternyata doanya di sepanjang perjalanan sentiasa dirahmati Allah apabila ada sahaja yang membantu beliau serta bermurah hati memberikannya tempat berlindung daripada panas dan hujan. Untuk mengalas perut juga sentiasa ada rezekinya ihsan daripada orang awam yang sentiasa memberikannya sokongan.

Sekarang, Zaki Mohd Yamani seorang pesakit kanser stage 3 sudah memijak kakinya di tanah tumpah kita Sarawak Bumi Kenyalang. Sekiranya ada yang berjumpa dengannya di jalanan janganlah segan untuk menyapa beliau dan kalau boleh berikanlah beliau menumpang kenderaan anda jika sama-sama ke satu destinasi. Dan sekiranya beliau memerlukan bantuan hulurkanlah tangan kita dan buktikanlah bahawa orang Sarawak adalah satu masyarakat yang berbudi pekerti mulia dengan tetamu yang datang ke negerinya.

Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh anak muda ini adalah satu aspirasi kepada setiap pesakit kanser di dunia bahawa jangan pernah takut, jangan pernah putus asa dan sentiasa cekal gagah melawan sakit yang dihidapi. KANSER BUKAN TIKET UNTUK MATI!

Semoga sentiasa dilindungi Allah di dalam perjalananmu Zaki Mohd. Yamani. Selamat datang ke Sarawak Bumi Kenyalang.
 

No comments:

Post a Comment