Tuesday, 18 October 2016

PROJEK RUMAH SAKIT YANG “SAKIT”!



BETAPA girangnya hati warga Kuching khususnya kawasan Petra Jaya apabila dijanjikan dengan sebuah hospital baru menjelang pertengahan tahun 2016.  Hospital Petra Jaya yang akan menjadi antara satu lagi kemudahan buat rakyat Petra Jaya yang sesungguhnya selama ini terpaksa ke hospital umum Sarawak untuk mendapat rawatan. 
Namun sayang seribu kali sayang yang ditunggu-tunggu hanya tetap menjadi mimpi lagi apabila dikatakan projek hospital ini hanya 64% siapnya.  Rakyat perlu menunggu lagi sehingga ke Jun 2017.  Itulah janji daripada pemaju yang memberikan alasan kekurangan tenaga kerja untuk menyiapkan pembinaannya.  Entah dimana silapnya sehingga tiada yang benar-benar membuat pemantauan akan hal ini dan kenapa hanya ditimbulkan apabila tarikh ianya sepatutnya siap baharu hendak diwar-warkan. 
Itu ceritanya Hospital Petra Jaya dan bagaimana pula dengan Hospital Sri Aman yang sehingga sekarang masih lagi seumpama tidak bergerak pembinaannya.  Menurut apa yang dinyatakan ianya akan siap menjelang tahun 2018 namun dapat dirasakan berdasarkan kepada pergerakkan projek yang dari dahulu sehingga sekarang hanya meliputi kerja-kerja tanah entah kapan siapnya pula.  Maka terpaksa rakyat di Sri Aman menelan air liur lagi dengan janji-janji yang ditabur.   
Hakikatnya projek pembinaan kemudahan untuk rakyat seperti hospital ini tidak harus dibuat umpama melepas batuk di tangga.  Ini janji yang harus dikotakan kerana disinilah terletaknya kepercayaan rakyat kepada kerajaan yang sedia ada. 
Biarpun hospital itu dipanggil rumah sakit kerana disinilah berhimpunnya segala penyakit untuk mendapat rawatan TETAPI janganlah jadikannya “PROJEK YANG SAKIT” pula. 

No comments:

Post a Comment