Tuesday, 4 October 2016

BUAYA BUKAN LAGI HAIWAN DILINDUNGI DI SARAWAK


BUAYA atau sang bedal atau di dalam bahasa Sarawak dipanggil boyak bukanlah binatang yang asing bagi masyarakat Sarawak.  Malah ratusan tahun telah ada di dalam penghidupan masyarakat Sarawak yang kediamannya banyak terdapat di hiliran sungai-sungai di segenap ceruk rantau Sarawak itu sendiri. 

Selang 2 hari yang lepas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia yang juga Ahli Parlimen Santubong iaitu Datuk Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar mengumumkan bahawa sang bedal yang terkenal dengan Legenda Bujang Senang seantero Malaysia ini bukanlah lagi haiwan yang dilindungi apabila Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES) melucutkan ianya daripada menjadi haiwan yang dilindungi.  Walau bagaimanapun perlucutan ini hanya berkuatkuasa untuk Sarawak sahaja manakala tidak untuk buaya-buaya yang menghuni sungai-sungai di Sabah dan Semenanjung Malaysia. 

Di Sarawak, buaya adalah antara senarai haiwan yang dilindungi seperti yang termaktub di dalam Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998.  Jadi Jabatan Perhutanan Sarawak adalah jabatan kerajaan yang bertanggungjawab atas setiap usaha pemuliharaan mahupun urusan pemburuannya sekiranya berlaku sesuatu.  Jadi dengan terma baru ini bermakna segala prosedur harus dirombak kerana sekarang buaya sudah boleh dikomersialkan.
 
Jika kita berkata mengenai pengkomersialan buaya itu sendiri sudah tentu tinggi permintaannya kerana setiap perincian buaya itu sememangnya amat bernilai. Daripada kulit, gigi malah isinya serta bahagian alat sulitnya juga sering dicari untuk tujuan perubatan tradisional di seluruh dunia.  Di dalam pada itu adalah diminta agar harus ada satu mekanisma kukuh di dalam memberikan pemberian lesen kerana kita tidak mahu jika buaya diburu secara besar-besaran sudah tentu ianya akan boleh pupus jua suatu hari kelak. 

Untuk rekod berdasarkan kepada perangkaan yang dijalan sejak beberapa tahun yang lalu, dikatakan ada lebih kurang 14,000 ekor buaya yang populasinya tertumpu di lebih 40 sungai utama di Sarawak.  Dengan arus kemodenan yang melanda Sarawak yang mana ramai yang sudah tidak menggunakan perhubungan air sebagai perhubungan utama dijangka populasinya lebih daripada itu.  

Dan kerana itulah banyak konflik yang terjadi antara buaya dengan manusia sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan banyak tragedi serangan buaya terjadi di Sarawak sehingga meragut nyawa penduduk yang menjadikan sungai sebagai mata pencarian mereka. 

No comments:

Post a Comment