Monday, 3 October 2016

CADANGAN LRT UNTUK SAMARAHAN!


SUATU waktu dahulu bukan senang untuk ke Samarahan kerana yang hanya ada pada masa itu menggunakan perhubungan air. Namun sejajar dengan waktu, sesuai dengan limpahan perhubungan darat untuk ke Samarahan hanya mengambil masa sekitar 30 minit sahaja daripada ibukota Kuching, Sarawak.

Transformasi dari hanya sebuah perkampungan Melayu akhirnya menjadi Kota Ilmu bagi negeri Sarawak apabila di Samarahan inilah berkumpulnya pusat-pusat pengajian tinggi seperti UITM, UNIMAS, Kolej Industri serta beberapa buah pusat latihan professional seperti INTAN, IPG Tun Razak. Dan disinilah juga terletaknya Hospital Jantung Sarawak serta beberapa buah pejabat kerajaan negeri dan persekutuan beroperasi.

Sesuai dengan perkembangan itu juga, Samarahan juga antara kawasan tumpuan penduduk dengan banyaknya projek-projek perumahan serta gedung pasaraya bagi memenuhi permintaan rakyat Kuching mahupun Samarahan sendiri yang ingin mempunyai rumah sendiri. Sehingga sekarang penduduk Samarahan sudahpun bertambah dengan lebih daripada 200,000 orang dan antara pertambahan penduduk yang drastik iaitu sekitar 6% setahun.

Untuk itu sebagai memenuhi tuntutan tanggungjawab yang dipikul oleh Majlis Daerah Samarahan sebagai wakil kerajaan tempatan yang mengurustadbir Samarahan, maka pada 11 November ini ianya akan dinaiktaraf sebagai Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS). Ini dilakukan bagi memberikan ruang kepada MDS untuk mendapat peruntukan yang lebih di dalam meningkatkan perkhidmatannya seperti pengumpulan sampah, memotong rumput, penyeliaan lampu jalan, parit dan longkang, kerja lanskap serta banyak lagi.

Kepesatan di Samarahan sekarang sememangnya amat mengkagumkan namun disebaliknya juga terdapat beberapa kelemahan lebih-lebih lagi apabila berkata mengenai kesesakan jalanraya yang terpaksa diharungi oleh warga Samarahan itu sendiri. Ditambahlagi sistem pengangkutan awam contohnya perkhidmatan bas bagi kemudahan pelajar-pelajar di Samarahan masih lagi menjadi persoalan pokok yang sehingga kini masih lagi tiada jalan penyelesaiannya.

Atas hal itu terdapat ura-ura mengatakan bahawa Kerajaan Sarawak melalui Menteri yang bertanggungjawab mengendali Kementerian Kerajaan Tempatan Sarawak iaitu Dr Sim Kui Hian yang mendedahkan berkemungkinan besar perlaksanaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) pertama di Sarawak akan diwujudkan di Samarahan. Walaupun cadangan itu kelihatan “mengasyikkan” bagi kita semua tetapi kadangkala adalah baik sekiranya kita mengukur baju di badan sendiri.

Sememangnya ianya tidak mustahil untuk direalisasikan tetapi sekiranya kita menyelidiki dengan lebih mendalam perbelanjaan untuk membina LRT memerlukan dana yang besar serta kepakaran yang amat teliti. Peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat sahaja sudah tidak mencukupi untuk seluruh Sarawak jadi seharusnya hal-hal yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat iaitu hubungan jalanraya yang elok, bekalan air bersih serta tenaga elektrik 24 jam mampu menjengah penduduk di luar Bandar menjadi keutamaan dahulu.

Maka adalah lebih baik jika ingin membudayakan orang awam untuk menggunakan pengangkutan awam seharusnya untuk konteks di Samarahan yang harus diselesaikan adalah sistem perkhidmatan pengangkutan awamnya iaitu bas awam. Ianya sudah tentu tidak melibatkan dana yang besar selain daripada memastikan bahawa pengendali-pengendali bas bertanggungjawab dan memperbanyakkan laluan-laluan bas sehingga mencakupi seluruh Samarahan.

Mungkin sudah tiba masanya kita mengambil contoh bagaimana cara RapidKL membantu urus kesesakan di Kuala Lumpur sebagai model pengangkutan awam digunapakai di Samarahan adalah lebih baik. Dengan keadaan bas yang lebih baik serta mesra pengguna sudah tentu ianya akan menaikkan imej Samarahan itu sendiri.

Adakalanya lebih baik kita bersederhana dahulu kerana hakikatnya Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang banyak di ibukota Kuala Lumpur hanya dibuat apabila sistem jalanraya sudah banyak dan maju sedangkan di dalam konteks Sarawak amnya dan Samarahan khususnya, sistem perhubungan jalanrayanya masih kurang malah masih jauh ketinggalan.  

Usahlah mendodoikan rakyat dengan mimpi-mimpi indah kerana kita sendiri maklum dimana keupayaan kita sekarang.  Bukan bermaksud untuk merendah-rendahkan cadangan tersebut tetapi Cuma mahu bersikap lebih realistik. 

No comments:

Post a Comment