Monday, 10 October 2016

PERANGI RASUAH : PEMUDA SOSIALIS DAP SARAWAK DITEMPELAK PEMUDA BN SARAWAK

MASIH panas lagi cerita mengenai rampasan rasuah SPRM yang merupakan nilai rampasan yang terbesar di dalam sejarah SPRM menjadi tajuk utama perbualan rakyat Malaysia, muncul pula seorang “Hero” anak didik pengerusi DAP Sarawak membuat kenyataan media mengenai isu perangi rasuah yang akan mereka (DAP) lakukan usai sahaja mengambilalih Putrajaya.
Disebalik “kecerdikan” Abdul Aziz Isa mengatur bicara di dalam kenyataan medianya mengenai isu perangi rasuah ini seperti ada sesuatu yang tidak kena apabila berbicara mengenai isu rasuah yang melibatkan ahli politik DAP sendiri.   Sebagai barisan hadapan Barisan Nasional Sarawak, Pemuda BN Sarawak telah memberi maklumbalas mereka ke atas kenyataan media yang dibuat oleh Pemuda Sosialis DAP Sarawak. 

======================
KENYATAAN MEDIA PEMUDA BN SARAWAK, SEBAGAI RESPON KEPADA KENYATAAN MEDIA PEMUDA SOSIALIS DAP SARAWAK
Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak mencabar Pemuda Sosialis DAP supaya memulakan usaha memerangi rasuah di Pulau Pinang jika mereka benar-benar serius mahu memerangi gejala rasuah seperti yang mereka dakwa.
Tidak perlu untuk Pemuda Sosialis DAP menunggu kononnya sehingga berjaya menawan Putrajaya untuk memerangi rasuah, sebaliknya mereka seharusnya memulakanya di negeri yang kini dalam pentadbiran pembangkang khususnya Pulau Pinang.
Di Pulau Pinang, Ketua Menterinya sendiri kini berdepan perbicaraan di Mahkamah atas pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran, dengan perbicaraan masih lagi berjalan.
Manakala Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) negeri Pulau Pinang untuk Projek Terowong Dasar Laut bernilai RM6.34 bilion yang penuh dengan kontroversi juga sudah dua kali gagal dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan kini sudah terlewat selama setahun.
Malahan, kos yang dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang untuk kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut yang mencecah RM305 juta itu juga masih menjadi persoalan besar bagi rakyat Pulau Pinang sendiri.
Ini jelas membuktikan Kenyataan media yang dibuat oleh Abdul Aziz Isa, Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak yang juga Setiausaha Publisiti Pemuda Sosialis DAP Petra Jaya, kononnya mereka akan memerangi rasuah besar-besaran jika berjaya menawan Putrajaya, sebagai gimik dan sandiwara politik semata-mata serta ibarat 'cakap tidak serupa bikin'.
Memerangi dan menghapuskan rasuah sememangnya menjadi salah satu keutamaan Kerajaan BN selama ini dan usaha berterusan dilakukan untuk memperkukuh dan memartabatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). DAP pula hanya pandai mempolitikkan isu dan hanya pandai bermain 'blaming game'.
SPRM bertindak tanpa mengira latar belakang parti dengan banyak tangkapan sudah dibuat termasuk yang terbesar di Sabah baru-baru ini. Itulah komitmen Kerajaan BN dalam membenteras rasuah dengan kebebasan diberikan kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan memerangi rasuah.
Malah di Sarawak, YAB Ketua Menteri amat lantang bersuara membanteras rasuah dan memberi amaran akan menyokong tindakan tegas terhadap pelaku rasuah. Ini dapat disaksikan dengan pembekuan permit pembalakan dan perladangan serta usaha memerangi pembalakan haram secara berterusan. Pada masa sama juga agensi penguatkuasaan negeri semakin diperkasakan.
Merujuk kepada kenyataan Bank Dunia pada 2008 bahawa rasuah jika tidak dibendung boleh menyebabkan negara kerugian RM10 billion setahun dari segi pertumbuhan domestik, ia hanyalah merupakan kenyataan secara umum. Bank Dunia menyebut secara am bahawa rasuah boleh menyebabkan kadar pertumbuhan ekonomi sesebuah negara boleh berkurangan antara 2% hingga 4%. Bank Dunia tidak mengatakan bahawa Malaysia mengalami kehilangan RM10 billion kerana gejala rasuah.
Kenyataan Pemuda Sosialis DAP yang kononnya Ketua Audit Negara melaporkan bahawa RM28 billion telah dibazirkan dalam pemerolehan kerajaan juga tidak tepat. Ketua Audit Negara tidak pernah mengeluarkan laporan sebegini dan besar kemungkinan, angka RM28 billion ini dipetik dari propaganda media sosial pembangkang sendiri.
Justeru Pemuda BN Sarawak berharap supaya Pemuda Sosialis DAP lebih bertanggung jawab diatas kenyataan rasmi mereka dan tidak lagi memetik angka dan fakta salah dari sumber yang tidak sahih untuk mengelirukan rakyat.
Hakikatnya Kerajaan BN sudah lama memerangi rasuah dan penyelewengan, sedangkan Pemuda Sosialis DAP 'baru sedar dari tidur'.
Setiausaha Pemuda BN Sarawak,
Leonard anak Jambu.

9.10.2016

No comments:

Post a Comment