Wednesday 12 October 2016

“BORNEONISASI” JAWATAN GURU SARAWAK MENJELANG 2018


DI dalam 53 Prinsip dan Tindakan Ketua Menteri Sarawak sebelum PRN ke-11 yang lalu ada menyatakan bahawa beliau mahukan “Borneonisasi” jawatan guru di Sarawak adalah untuk orang Sarawak sahaja. Misinya ini diperjelaskan dengan meletakkan nisbah 90:10 iaitu 90% hendaklah terdiri dari tenaga pengajar anak Sarawak manakala 10% lagi barulah untuk mereka dari negeri yang lain di dalam Malaysia menjelang tahun 2018.

Berdasarkan kepada laporan terkini yang menunjukkan bahawa nisbah tenaga pengajar anak Sarawak di Sarawak adalah hampir 88.7%. Ini membuktikan bahawa apa yang direncanakan oleh Kerajaan Sarawak adalah mengikut pelannya malah boleh dikatakan ianya “ahead of time”. Menurut Datuk Fatimah Abdullah yang juga Menteri yang bertanggungjawab untuk hal ehwal pendidikan di Sarawak menyatakan bahawa kebanyakan daripada guru dari Semenanjung Malaysia yang masih berkhidmat di Sarawak adalah berasal dari negeri Kelantan.

Untuk rekod, isu mengenai “borneonisasi” jawatan guru di Sarawak ini adalah antara perkara yang menjadi misi dan visi Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Adenan semenjak beliau mengambilalih jawatan Ketua Menteri lagi. Ini kerana bagi pendapat beliau yang juga turut disokong oleh rakyat Sarawak, perbezaan budaya, tradisi malah bahasa sebenarnya banyak menyebabkan ramai tenaga pengajar yang bukan berasal dari Sarawak merasa kekok untuk bertugas di Sarawak sehingga memaksa ada diantara mereka tidak begitu bersungguh-sungguh untuk berbakti di Sarawak.

Dan sudah tentu kita menyambut baik usaha ini kerana jika diikutkan adalah lebih baik orang Sarawak sendiri yang berbakti di tanah tumpahnya. Ini kerana apabila berada di negeri sendiri serta berbakti untuk anak bangsa sendiri itu jiwanya lebih sikit berbanding mengajar di negeri orang lain. Lagipun hanya orang Sarawak yang mengenal apa itu Sarawak.
 

No comments:

Post a Comment