Wednesday 28 September 2016

TEKNOLOGI DRON DI UCTS


KEUPAYAAN dron iaitu satu teknologi baru yang menggabungkan pesawat kecil yang menggunakan kawalan jauh merupakan antara teknologi yang sering menjadi perhatian seantero dunia sekarang.
  Kegunaannya telah mencakupi pelbagai bidang dari keselamatan sehinggalah menjadi antara alat sokongan siaraya juga tidak boleh dinafikan. 
Melihat kepada betapa besarnya prospek untuk menjadi pakar di dalam teknologi dron ini, Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) telah mengambil langkah pertama untuk mengadakan memorandum persefahaman dengan Chang Jung Christian Universiti (CJCU) iaitu sebuah universiti dari Taiwan untuk mengadakan ijazah berkembar di dalam bidang teknologi dron.  Kolaborasi antara 2 universiti ini akan berkerjasama untuk mempertingkatkan penyelidikan bagi pembuatan teknologi dron di UCTS nanti. 
Sudah tentu dengan adanya ijazah berkembar di sebuah universiti tempatan di Sarawak akan berjaya menarik ramai pelajar-pelajar dari kalangan anak Sarawak yang ingin menjadikan pembuatan teknologi dron sebagai karier suatu hari kelak.  Ini kerana dengan peredaran zaman yang terlalu pantas, hampir setiap pekerjaan sekarang memerlukan teknologi yang terkini untuk lebih menyerlah. 
Sekiranya Sarawak mampu melahirkan graduan-graduan yang pakar di dalam bidang ini sudah tentu ianya akan menjadikan Sarawak lebih ke hadapan.  Penggunaan dron sebenarnya amat dituntut di dalam banyak sektor seperti di dalam kita cuba menghapuskan pembalakan haram di Sarawak. Dengan kawasan hutan yang luas seringkali penggunaan tenaga manusia yang banyak dituntut namun ianya tidak begitu berkesan kerana kurangnya informasi.  Penggunaan dron untuk mencari bukti sahih melalui rekod imej sudah tentu memudahkan lagi kerja penguatkuasaannya. 
Untuk anak Sarawak yang meminati bidang ini tidaklah perlu pergi jauh lagi untuk menimba ilmu kerana di Sarawak sendiri iaitu di UCTS sudah ada ruang untuk kita mempelajarinya.  

Tuesday 27 September 2016

PISANG KEPOK “MADE IN SARAWAK”


MUSA Acuminata, itu nama saintifiknya tetapi di kalangan masyarakat Sarawak lebih dikenali dengan panggilan pisang kepok atau pisang nipah.  Bagi masyarakat di Sarawak sudah tentu biasa dengan jenis pisang ini selain pisang tanduk kerana ianya sering menghiasi laman rumah mahupun kebun-kebun kecil di Sarawak.  Dahulunya ditanam hanya untuk dimakan bersama keluarga seperti menjadikannya pisang goreng dan sebagainya. 
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa sebenarnya pisang kepok merupakan antara jenis pisang yang tinggi permintaannya di pasaran sekarang.  Menurut rekod, FAMA telah mengeksport hampir 526,434 metrik ton, Pisang Kepok sejak 2012 lagi dengan purata hampir 9,500 kg saban bulan ke Semenanjung Malaysia iaitu melalui Pasar Selayang dan Johor Bahru. 
Sungguhpun begitu apa yang dieksport oleh FAMA itu melalui pembekal iaitu pekebun-pekebun pisang di Sadong Jaya, Simunjan, Sebuyau, Bau dan Gedong masih tidak mampu memenuhi permintaan yang sedia ada. Dikatakan juga permintaan untuk pisang kepok “Made In Sarawak” ini terlalu tinggi kerana kualitinya yang baik serta bersaiz lebih besar.
Jadi untuk mereka yang sememangnya ingin mengusahakan kebun untuk lebih berbentuk komersial di Sarawak, ada baiknya cuba untuk menanam pisang kepok daripada bersusah payah memikirkan tanaman apa yang menguntungkan di masa hadapan.  Tiada salahnya memohon khidmat nasihat daripada FAMA sekiranya terdapat kemusykilan mengenai cara-cara penanaman dan sebagainya agar lebih bersedia pada masa hadapan. 

HIDROELEKTRIK MURUM PENJANA EKONOMI SARAWAK YANG BARU


SATU lagi detik bersejarah berlaku di dalam kronologi negeri Sarawak apabila sebuah lagi projek mega iaitu Empangan Hidroelektrik Murum dirasmikan dengan jayanya oleh Tuan Gabenor Sarawak iaitu Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud di Belaga, semalam. Dengan kos pembinaan yang menelan hampir RM4.1 bilion menyaksikan Murum merupakan antara projek pembangunan tenaga hidro yang akan menyuntik sumber tenaga di bawah kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE). 

Dengan kemampuan untuk membekalkan sehingga 944 MegaWatt (MW) dengan purata kuasa tahunan 5,952 gigawatt-jam (GW), loji hidroelektrik Murum bukan sahaja mampu membekalkan tenaga kepada kawasan sekitarnya sebaliknya ianya juga turut akan “mengeksport” sumber tenaga kepada ASEAN menjelang tahun 2025 melalui rangkaian transmisi yang menghubungkan luar Sarawak seperti ke Negara Brunei Darussalam, Sabah, Kalimantan Barat serta Semenanjung Malaysia, Singapura dan juga Sumatera. 

Ini bermakna dengan siapnya Hidroelektrik Murum ini maka ianya juga merupakan salah satu penjana ekonomi baru bagi negeri Sarawak Bumi Kenyalang.  Buat masa sekarang beberapa rundingan sudahpun dimeterai antara Sarawak, Malaysia dengan Kalimantan Barat/Indonesia bagi tujuan membekalkan sumber tenaga untuk kemudahan penduduk pendalaman di Kalimantan Barat.  Untuk seberang laut pula, buat masa sekarang syarikat GLC milik Kerajaan Negeri Sarawak, SACOFA sedang giat menguruskan beberapa perkara untuk membina “subsea” kabel bagi menyalurkan tenaga melalui Tanjung Datu terus ke bumi Mersing, Johor.
   

Saturday 24 September 2016

WARTAKAN BUKIT SARANG DAN BINYO PENYILAM SEBAGAI TAMAN NEGARA





SARAWAK ini luas tanahnya tetapi tidak bermakna kesemua tanahnya harus ditarah untuk tujuan pembangunan.  Menurut rekod sehingga Julai 2016, Sarawak telahpun menggazetkan hampir 903,769 hektar kawasan hutannya sebagai TPA yang mengandungi kira-kira 35 taman Negara dengan keluasanan 694,770 hektar, 14 simpanan semulajadi (2,539 hektar) dan 6 pusat situari hidupan liar (206,460 hektar). 
Baru-baru ini sudah ada ura-ura untuk mengwartakan Bukit Sarang dan Binyo Penyilam yang terletak di Bintulu sebagai Taman Negara yang baru di dalam peta negeri Sarawak.  Dan jika dilihat kepada kekayaan kedua-dua tempat ini sudah tentu ianya akan membuka mata ramai pihak mengapa ianya harus dilakukan dengan seberapa segera. 
Bukit Sarang misalnya bukanlah satu kawasan yang boleh kita lihat sebelah matanya kerana ianya menyimpan beribu khazanah purba malah antara tempat arkeologi yang masih lagi diteruskan penggaliannya. Di sini sahaja terdapat banyak gua-gua pra-sejarah seperti Lubang Batu Puteh, Lubang Ringen, Lubang Nunok dan Lubang Makuta yang dikatakan banyak menyimpan segala tulisan primitive yang masih menanti untuk dikaji.  Bukit Sarang juga dikatakan antara tempat bersejarah bagi etnik Punan yang sudah tentu menyimpan segala cerita sejarah asal keturunan mereka dan sebagainya.
Manakala untuk Binyo Penyilam yang unik pada namanya juga unik pada mukabuminya sebenarnya menyimpan seribu keindahan lanskap seperti kawasan berpaya yang dikenali sebagai “Dipterocarp Forest”, “Kerangas Forest”, “Seasonal Swamp Forest” dan “Peat Swamp Forest”.  Kerana adanya keunikan kawasan berpaya yang pelbagai jenis ini menjadikan kawasan Binyo Penyilam itu sendiri kaya dengan flora dan fauna yang tidak terdapat di tempat lain di Sarawak. 
Selain itu tiada siapa boleh menidakkan bahawa di Binyo Penyilam inilah menjadi habitat kepada ikan Tapah atau di dalam bahasa saintifiknya Wallago Leeri. Ikan Tapah yang didapati di sini adalah bersaiz gergasi. 
Jadi sebelum kesemua tempat ini terus dimamah oleh kapitalis yang hanya bersandarkan kepada keuntungan sahaja adalah wajar untuk mewartakan Batu Sarang dan Biro Penyilam ini seberapa segera.  Kita sebenarnya bertanggungjawab untuk menjaga khazanah alam kita demi kelangsungan hidup kita serta untuk kepentingan generasi kita yang mendatang.  Bukan semuanya harus digondolkan atas nama pembangunan biarpun kita perlukan kemajuan di Sarawak. 

DAP ANTI PEMBANGUNAN LUAR BANDAR SARAWAK


BILAMANA ada sahaja pembangunan infrastruktur berjaya dilakukan di luar Bandar sudah tentu seringkali pihak DAP akan cuba menjadikan ianya isu politik.  Umpama rumah sudah siap pahat baru berbunyi itulah perangai ahli politik DAP yang terus mempersoalkan itu ini mengenai projek yang berjaya disiapkan.   

Baru-baru ini ADUN Padungan Wong Kin Wei pula cuba menjadikan isu siapnya Jambatan Batang Sadong apabila beliau mempersoalkan kewajaran tempoh perjalanan singkat ke sesuatu destinasi.  Entah apa yang difikirkannya tidaklah diketahui tetapi lebih banyak kepada kejahilan DAP mengenai isu luar Bandar itu sendiri. 

Mereka gah dengan “Go Rural Campaign” tetapi setakat ini tiada apa yang mampu dibuat selain daripada cakap-cakap kosong sahaja.  Malah 2 tahun lepas pernah DAP mempersoalkan kewajaran peruntukan RM500 juta untuk pembangunan luar Bandar di Sarawak ketika DUN bersidang.  Itu sudah cukup membuktikan betapa DAP hanya mahu bermain politik sahaja tanpa mendengar keluhan dan impian rakyat di luar Bandar untuk menanti limpahan infrastruktur di tempat mereka.

Seharusnya jika DAP benar-benar ikhlas mereka juga turut bergembira kerana satu lagi infrastruktur berjaya direalisasikan untuk kesenangan penduduk luar Bandar seperti Jambatan Batang Sadong yang sudah tentu mampu menjana ekonomi rakyat di kawasannya dengan adanya perhubungan jalanraya yang baik.  Yang pasti jambatan sudah siap dan katalah apa sahaja dan rakyat di seluruh Batang Sadong mengetahui siapa yang benar-benar memperjuangkan nasib mereka dan siapa yang hanya bercakap umpama tin kosong.

Memang tepat kenyataan daripada MP Sadong iaitu Datuk Hajjah Nancy Shukri bahawa DAP sebenarnya anti pembangunan luar Bandar Sarawak selama ini. 

SIAPAKAH PRESIDEN BARU FAS?


BEBERAPA hari ini viral mengatakan bahawa ADUN Semop iaitu YB Abdullah Saidol dengan rasminya disahkan menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak yang baru.
  Ini berikutan mantan Presidennya iaitu Datuk Sudarsono telah membuat kenyataan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan presiden persatuan pada edisi kali ini. 

Hakikatnya apa yang digembar-gemburkan itu hanyalah khabar angin semata-mata kerana YB Abdullah melalui kenyataannya menolak jawatan tersebut atas kerana komitmennya terhadap kawasan yang diwakilinya serta bebanan tugasnya sebagai Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak mendahului daripada segalanya. 

Jawatan Presiden untuk sebuah persatuan sukan bukanlah satu hal yang boleh dianggap enteng kerana kita semua mengetahui bahawa sukan bolasepak adalah antara sukan yang paling dekat di hati rakyat Malaysia amnya, Sarawak khususnya.  Sudah tiba masanya kepimpinan persatuan bolasepak Sarawak bersikap lebih professional dengan tidak melibatkan mana-mana ahli politik di dalamnya. 

Sewajarnya jawatan presiden ini diberikan kepada mereka yang benar-benar mempunyai “soul” di dalam dunia bolasepak. Yang tahu apa itu bolasepak serta mempunyai visi dan misi seolah-olah mengemudi dunia korporat.  Individu yang sudah tentu mampu menjana kewangannya agar lebih mampan mencari jurulatih yang terbaik serta mempunyai barisan pemain yang hebat.  Cubalah kita mengambil contoh bagaimana Pasukan JDT dibentuk yang sehingga sekarang mampu melahirkan pemain serta kemudahan juga barisan taktikal bolasepak yang disegani. 

Jadi siapakah Presiden FAS yang baru nanti.  Sama-samalah kita tunggu keputusannya kerana banyak nama yang menjadi bualan.

Thursday 22 September 2016

SARAWAK TOLAK PEMAJU SEBAGAI PEMBERI KREDIT


DENGAN harga rumah yang melambong tinggi sekarang ditambahlagi dikatakan ramai rakyat Malaysia yang tidak mampu untuk memenuhi syarat-syarat pinjaman bank, maka timbullah idea daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia melalui Menterinya iaitu Tan Sri Noh Omar untuk memberikan lesen pinjaman kepada pemaju perumahan.  Ianya dikatakan akan membenarkan pemaju perumahan untuk memberi kemudahan pinjaman kepada bakal-bakal pembeli rumah yang sukar untuk mendapat pinjaman bank.    
Dua hari yang lepas iaitu pada 23 September 2016, menyaksikan Kerajaan Sarawak melalui Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi Sarawak iaitu Datuk Amar Abang Zohari pada satu sidang media di Wisma Satok dengan tegasnya berkata bahawa Kerajaan Sarawak menolak cadangan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu digunapakai di Sarawak.  Ini kerana Kerajaan Sarawak berpendapat sekiranya ianya dilaksanakan ia akan membawa beban pembayaran yang terlalu banyak untuk pembeli serta risiko kewangan mungkin akan berlaku selain daripada ianya lari dari tujuan asal perniagaan sebagai pemaju perumahan itu sendiri. 
Hakikat di Sarawak sudahpun mempunyai polisinya tersendiri yang sudah digunakan sejak April 2016 apabila berkata mengenai usaha untuk mengadakan rumah mampu milik bagi golongan sederhana dan rendah di Sarawak.  Antaranya PPR, PR1MA,1M Penjawat Awam Program, Skim Rumah Mesra Rakyat, MyHome malah juga telah lama mempunyai HDC dan Borneo Development Corporation sebagai tulang belakang untuk pembangunan perumahan bagi rakyat Sarawak. 

SELAMAT PULANG WIRA WIRAWATI PARALIMPIK NEGARA


ACARA sambutan kepulangan mereka cukup luar biasa.  Bermula dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan seterusnya diarak di seluruh Kuala Lumpur kemudian singgal di Dewan Filharmonik, KLCC serta berakhirnya di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.  Inilah antara aturcara sambutan kepulangan wira wirawati Paralimpik yang kembali ke tanahair semalam, 22hb September 2016.

Kemeriahan sambutan ini adalah yang paling wajar diadakan kerana pencapaian Kontinjen Paralimpik kita di Sukan Paralimpik Rio 2016 adalah yang terbaik setakat ini.  Dengan 3 pingat emas serta 1 gangsa malah 2 daripadanya adalah rekod dunia, apalah lagi yang boleh diperkatakan mengenai kehebatan mereka.  Malah kejayaan beberapa atlit paralimpik yang mampu berjuang di peringkat finale di sukan kali ini juga sudah cukup membanggakan kita semua. 

Disebalik kekurangan mereka inilah yang menyaksikan Lagu kebangsaan Malaysia “Negaraku” dan bendera Malaysia “Jalur Gemilang” dikibarkan paling atas di podium acara sukan dunia.  Yang pasti ganjaran yang saksama seperti atlit sukan normal sudahpun diwar-warkan yang membuktikan bahawa Malaysia tidak pernah mempunyai “double standard” terhadap atlit sukan mereka. 

Selamat Pulang wahai wira wirawati Paralimpik Negara dan terima kasih kerana berjaya membuktikan bahawa Malaysia juga punya atlit-atlit bertaraf dunia. 

Wednesday 21 September 2016

KOLAM RENANG AWAM MIRI HARUS DINAIKTARAF

Kolam Renang Awam Miri, Dataran Kipas
MUNGKIN ramai warga Miri mempunyai memori yang cukup indah apabila berkata mengenai satu kolam renang awam yang terletak di Dataran Kipas, Miri.  Kerana disinilah terletaknya satu-satu kemudahan kolam renang yang menjadi pusat untuk beriadah sambil menggilap skil berenang warga Miri dari dahulu sehingga sekarang.  Malah kolam renang awam ini juga merupakan pusat untuk pertandingan acara sukan professional renang di Miri dan kawasan sekitarnya. 
Namun jika kita mengamati betapa usangnya kemudahan kolam renang awam ini sudah tentu terdetik di hati sampai bilakah ianya harus dibiarkan sebegitu sahaja.  Bukan sekali dua hal-hal seperti pam rosak sehingga menyebabkan air kekuningan mahupun kehijauan malah kemudahannya juga sudah ketinggalan zaman.  Kolam renang awam Miri tiada bezanya sewaktu ianya dibuka 30 tahun yang lalu. 
Bila kita melihat betapa minatnya anak-anak muda sekarang kepada sukan renang dan akuatik lebih-lebih lagi Sarawak tidak pernah kurang melahirkan idola sukan renangnya seperti Ratu Terjun Negara Pandelela Rinong, Bryan Lomas, Welson serta ramai lagi jadi tiada salahnya sekiranya Miri mahupun mana-mana bahagian di Sarawak yang mempunyai kemudahan kolam renang  dinaiktarafkan
Jika difikirkan apalah gunanya kita mempunyai kolam renang bertaraf Olimpik di Kuching yang baru sahaja dinamakan Pusat Akuatik Pandelela baru-baru ini sekiranya kolam-kolam renang awam di seluruh bahagian di Sarawak dibiarkan usang tidak mengikut standard yang ada.  Ini kerana pada hakikatnya disinilah bermulanya untuk kita mencipta jagoan-jagoan sukan renang kita.  

Monday 19 September 2016

BIADAPNYA DAP!


KITA boleh berbeza ideologi politik dan kita bebas untuk bersuara tetapi setiap sesuatu itu ada batasannya.  Dan memperlekehkan serta menghina seseorang yang sudah meninggal dunia hanya kerana perbezaan politik adalah sesuatu yang tidak boleh kita terima sebagai satu masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. 

Inilah yang terjadi apabila berita perginya ke rahmatullah Allahyarham Datuk Dr Harun Din yang juga Mursyidul Am PAS di USA 2 hari yang lepas memenuhi ruang media massa di Malaysia.  Pengikut tegar DAP terus mengeluarkan kata-kata hinaan kepada Allahyarham umpama tiada seorang pun boleh menemui ajal di dunia ini.  Dan lebih memeritkan lagi pemimpin DAP juga senada seirama seperti Jeff Ooi, MP Jelutong. 

Bagi Setiausaha Agung DAP pula iaitu Lim Guan Eng hanya seperti melepas batuk di tangga sahaja apabila hanya menyatakan kekesalan beliau tetapi masih besar kepala tidak mahu memohon maaf secara rasmi kepada keluarga Allahyarham dan juga umat Islam di seluruh Malaysia amnya. 

Manakala pemimpin-pemimpin DAP di kalangan kaum Melayu dan beragama Islam pula hanya diam seribu bahasa seolah-olah mengiyakan sahaja perbuatan pengikut dan rakan pemimpin mereka.   

Kebiadapan pengikut dan pemimpin DAP harus diajar dan memohon pihak PDRM untuk mengambil langkah-langkah yang perlu kerana ini bukan kali pertama mereka berbuat demikian.  

JAMBATAN BATANG SADONG AKAN BEROPERASI OKTOBER 2016


KESABARAN rakyat di Batang Sadong yang menanti hampir 5 tahun lamanya bagi penyiapan sebuah jambatan yang akan menjadi nadi serta mampu mempertingkatkan ekonomi setempat berbaloi apabila Jambatan Batang Sadong akan mula dibuka untuk kegunaan awam menjelang Oktober 2016.
  Setakat ini ianya sudahpun menghampiri 99.5% siap seperti apa yang dilaporkan oleh MP Sadong yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hajjah Nancy Shukri. 

Dengan kos sebanyak RM211.3 juta, siapnya jambatan ini sudah tentu akan menggembirakan pengguna jalanraya kerana dikatakan boleh memendekkan jangkamasa perjalanan darat dari Kuching hingga ke bahagian Sibu selama 2 ½ jam sahaja berbanding dengan 8 jam sebelum ini. 

Sementara itu satu lagi jambatan iaitu Jambatan Batang Samarahan sekarang sedang rancak pembinaannya yang juga salah satu rentetan perhubungan darat yang akan terus menjana kedua-dua bahagian apabila siap kelak. 
 

Sunday 18 September 2016

BEKAS ADUN DAP DUDONG LETAK JAWATAN


“Saya menghadiri majlis ini sebagai seorang bebas daripada politik sekarang.” – Yap Hoi Liong -

BEGITUlah status yang dimuatnaik di dalam laman facebook peribadi beliau ketika sambutan Perayaan Kuih Bulan di Sibu baru-baru ini sehingga menimbulkan seribu tanda tanya di kalangan masyarakat Sarawak. Berita perletakan jawatan bekas Adun DAP Dudong ini akhirnya disahkan sendiri oleh Penolong Setiausaha Umum DAP Sarawak iaitu Alan Ling semalam.

Yap Hoi Liong merupakan seorang Peguam yang mempunyai firma guamannya sendiri iaitu Yap Hoi Liong Advocates & Co bukanlah satu nama yang baru di dalam dunia politik Sarawak.  Beliau merupakan anak didik kepada Mendiang Wong Ho Leng (Adun Bukit Assek) dan sudah lebih daripada 10 tahun menjadi antara barisan tulang belakang DAP Sarawak.
 
Memenangi DUN Dudong atas tiket DAP pada PRN Ke-10 tetapi gagal mempertahankan kerusi tersebut apabila dikalahkan oleh calon langsung BN iaitu Datuk Tiong Thai King pada PRN Ke-11 yang berlangsung pada Mei 2016.  Pada masa itu DUN Dudong menyaksikan perlawanan 5 penjuru antara Yap Hoi Liong (DAP), DATUK Tiong Thai King (BN), Mary Ting (STAR), Dr. Benny Lee (Bebas) dan Casper Kayong Umping (Bebas).

Setakat ini tidaklah diketahui apakah alasan sebenar Yap Hoi Liong membuat tindakan drastik dengan meletak jawatan di dalam Parti Tindakan Demokratik. 

Friday 16 September 2016

SARAWAK BUKAN 1/13 NEGERI TETAPI 1/3 PEMBENTUK MALAYSIA!


KITA bukan negeri ke-13 di dalam Malaysia tetapi Sarawak adalah salah satu 3 entiti yang membentuk Malaysia.  Sarawak membantah kerana ianya telah dituruntaraf. -,Datuk Adenan-

ITULAH antara intipati ucapan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Adenan Satem diketika sambutan Hari Malaysia yang ke-53 di Bintulu semalam.  Satu acara yang menyaksikan ianya turut dihadiri oleh Gabenor Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib dan isteri berserta dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib dan isteri juga barisan kabinet Malaysia yang lain.

Menyoroti intipati ucapan yang berkisar tentang sejarah pembentukan Malaysia serta kedudukan Sarawak yang sebenar di dalam Gagasan Malaysia mempunyai perinciannya tersendiri bersandarkan sejarah sebenar mengikut Perjanjian Pembentukan Malaysia 1963.  Ianya dapat disahihkan bilamana ada perbezaan antara perjanjian yang mula-mula ditandatangani pada tahun 1963 dengan pindaannya sekarang.

=====
The status of Sarawak and Sabah was reflected in the first draft of the Constitution when the Federation of Malaysia was established.
Article 1: The Federation shall be known, in Malay and English, by the name of Malaysia.
Article 2: The State of the Federation shall be:-
(a) The States of Malaya, namely Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Selangor and Trengganu.
(b) The Borneo States, namely, Sabah and Sarawak; and
(c) The State of Singapore.

In the 1970s, the Constitution was subsequently amended to:

Article 1: The Federation shall be known, in Malay and English, by the name Malaysia.
Article 2: The States of the Federation shall be Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor and Trengganu.

======

Melihat kepada perbezaan ini sudah cukup menyatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena mengenai kedudukan Sarawak.  Ini kerana walau apapun alasannya 53 tahun dahulu, Sarawak mahupun North Borneo (Sabah) adalah rakan sejajar (equal partners) sama tarafnya dengan Malaya yang mempunyai 11 negeri di dalamnya.
 
Semoga segala hal ini dapat dirungkaikan dengan sebaik mungkin terutama sekali desakan untuk menyemaksemula Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963 dan Inter-Governmental Committee Report (IGC) kerana rakyat Sarawak sebenarnya mahukan ianya diperjelaskan dan dikembalikan seperti asalnya. 

MURSYIDUL AM PAS MENINGGAL DUNIA


HARI ini sekitar jam 10.10 pagi (waktu Malaysia), kita dikejutkan dengan pemergian seorang ulama yang juga merupakan Mursyidul Am PAS iaitu Datuk Dr Harun Din yang menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Stanford, San Francisco, USA. 

Difahamkan pemergian ke USA beberapa hari yang lepas adalah untuk menjalani rawatan jantung disana.  Namun sejak semalam dikatakan beliau telah dimasukkan ke unit rawatan rapi disana setelah mengalami sakit dada. 

Pemergian beliau sudah tentu satu kehilangan besar kepada Negara dan semoga roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan para syuhadah.  

Salam takziah untuk keluarga Allahyarham Datuk Dr. Harun Din.

Alfatihah. Amin.




Thursday 15 September 2016

HARI MALAYSIA 2016


53 TAHUN dahulu pada hari inilah detiknya sebuah negara dilahirkan. Pada tarikh hari inilah juga Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak seia sekata membuang perbezaan politik dan bangsa mahupun agama membentuk satu federasi yang dinamakan Malaysia.

Biar Laut China Selatan memisahkannya namun hati nurani rakyat Malaysia sehingga sekarang bersatu dibawah satu bendera bernama Jalur Gemilang. Dirgahayu Negara Malaysia!

Selamat Menyambut Hari Malaysia yang ke-53 tahun.


#SehatisejiwaHariMalaysia 

Tuesday 13 September 2016

KES ZIKA PERTAMA SARAWAK DIKESAN DI MIRI


KEBIMBANGAN kita mengenai penularan virus zika ini tiada kesudahannya apabila ianya sudahpun mendekati kita di Sarawak.  Semalam menyaksikan kes zika pertama dikesan di Miri, Sarawak apabila seorang wanita disahkan positif virus zika.

Wanita tempatan yang berusia 35 tahun ini juga dikatakan sedang hamil 2 bulan dan beliau pernah bekerja di Singapura.  Dikatakan juga wanita ini mengunjungi Singapura sekitar 24 – 29 Julai tahun ini.  Setelah mengalami demam yang berlanjutan akhirnya beliau mendapat bantuan perubatan di sebuah klinik swasta di Miri yang menyaksikan ujian perubatan dilakukan disahkan mempunyai virus zika. 

Sementara itu bukan sahaja wanita Miri ini yang dijangkiti virus zika sebaliknya adiknya yang mengunjungi kakaknya di Miri pada 26 Ogos turut positif zika tetapi beliau tinggal di Setapak, Kuala Lumpur.  Adik wanita ini juga mempunyai gejala yang sama seperti kakaknya iaitu demam yang berpanjangan. 

Setakat ini segala kaedah untuk menghalang virus zika menular di kawasan kediaman wanita tersebut telah diambil dengan sewajarnya seperti kawalan vector dan sebagainya.  Keluarga wanita yang tinggal bersama dengan wanita Miri ini turut mendapat ujian saringan virus zika dan disahkan negative. 

Sama-samalah kita sebagai warga Sarawak peka dengan keadaan persekitaran kita dan mempertingkatkan kebersihan kediaman kita daripada apa sahaja yang boleh menjurus kepada perkembangan nyamuk dan sebagainya. 

Kita seharusnya bergandingbahu membantu kerajaan di dalam membasmi ini daripada terus menular. Ianya juga tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Malaysia.

Mengelak itu lebih baik daripada mengubati. 

Monday 12 September 2016

TIGA “INSAN ISTIMEWA” YANG LUAR BIASA KEHEBATANNYA



JANGAN pernah memandang sepi keupayaan mereka, Tuhan menarik satu kekurangan untuk mereka menjadi manusia normal tetapi Tuhan juga memberikan kelebihan kepada mereka untuk menjadi antara rakyat Malaysia yang membanggakan kita semua.  Itulah yang terjadi kepada 3 atlit Paralimpik Malaysia yang berjaya merealisasikan lagu “Negaraku” didendangkan dan bendera “Jalur Gemilang” dikibarkan di sukan paling berprestij di dunia iaitu Sukan Paralimpik Rio 2016.

Pemergian mereka berjuang di pentas sukan dunia tidak begitu digembar-gemburkan malah tiada siaran langsung media massa arus prima untuk kita menyaksikan kehebatan mereka namun itu semua tidak menjadi satu kekurangan untuk atlit paralimpik Malaysia.  Mereka utuh berjuang bagi memastikan bahawa impian Malaysia untuk sebaris dengan Negara lain mendapat sekurang-kurangnya satu emas di dalam Sukan Olimpik tercapai.  Bukan satu malah tiga emas dihadiahkan oleh atlit Paralimpik untuk kita semua. 

Atlit Paralimpik Malaysia yang dimaksudkan adalah tidak lain tidak bukan  Mohamad Ridzuan bin Mohamad Puzi (100m T36 – Celebral Palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan , Abdul Latif Romly (lompat jauh kategori T20 - kurang upaya intelektual).  Tiga nama ini menjadi sebutan di dunia sekarang dan yang lebih membanggakan mereka bukan sahaja berjaya menggondol emas malah turut memecahkan rekod dunia.  Satu pencapaian yang sungguh di luar dugaan kita semua. 

Untuk rekod, Sukan Paralimpik 2016 membuka tirai kejohannya pada 7-18 September 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Untuk edisi 2016 ini menyaksikan 4,300 atlet OKU dari 161 buah Negara menyertainya.  Kontinjen Paralimpik Malaysia pula diwakili oleh 21 orang atlet dengan menyertai acara sukan olahraga, berbasikal, memanah, angkat berat, ping pong, pelayaran, renang dan tenis kerusi roda.  Dengan adanya sumbangan 3 pingat emas ini menyaksikan Malaysia sekarang (setakat keputusan jam 12.00 malam tadi) berada di kedudukan yang ke-18 di dalam senarai pungutan pingat. 

Bukan senang untuk melahirkan seorang “World Champion” namun ianya tidak mustahil untuk rakyat Malaysia turut mencipta nama.  Fizikal bukan alasan untuk kita merasa rendah diri sebaliknya semangat dan usaha keras itu adalah pemangkin kepada segala kejayaan.  Terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana tidak pilih kasih dengan perjuangan atlit paralimpik apabila tetap memberikan insentif kemenangan yang sama nilainya dengan atlit sukan normal yang lain.  Malaysialah satu-satunya Negara yang mempunyai polisi sedemikian di dunia. 

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Mohammad Ridzuan, Mohammad Ziyad dan Abdul Latif kerana berjaya mengharumkan nama Negara di pentas sukan dunia.  Kamu adalah 3 “Insan istimewa” yang sungguh luar biasa kehebatannya. 


#MalaysiaBoleh! 

Sunday 11 September 2016


SAAT berderainya jatuh titisan airmata suci Ibrahim, apabila melihat keteguhan iman anaknya Ismail. DIKALA itulah bermulanya sejarah agung erti pengorbanan.

Selamat Menyambut Hariraya Aidiladha.

Thursday 8 September 2016

SEKOLAH DI SARAWAK KETINGGALAN SETENGAH ABAD!


“Andainya sekolah kita ketinggalan dalam 10 ke 20 tahun itu bolehlah saya fahami TETAPI jika ketinggalan hampir setengah abad, saya sudah tidak boleh bertolak ansur lagi.” – Datuk Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak.
KENYATAAN ringkas yang diucapkan oleh Datuk Adenan itu sudah cukup  untuk mengambarkan  kekecewaan beliau mengenai sekolah-sekolah yang ada di Sarawak jika dibandingkan dengan prasarana di Semenanjung Malaysia.  Satu kenyataan yang sebenarnya sudah berabad lama disimpan di dalam benak kita sebagai anak Sarawak apabila mengenangkan persekitaran sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak. 
Dikala sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia kebanyakannya mempunyai prasarana yang terbaik disediakan oleh Kerajaan Malaysia, sekolah-sekolah di Sarawak pula masih ditakuk lama.  Tiada elektrik, tiada bekalan air, sekolah usang dan didirikan di kawasan yang tidak sesuai masih satu lumrah penghidupan yang terus membelenggu tempat untuk anak bangsa kita menuntut ilmu. 
Belum lagi dengan sekolah-sekolah yang ditimpa malapetaka seperti kebakaran, dihanyutkan oleh arus deras kerana terkena hakisan sungai dan sebagainya.  Banyak janji-janji yang ditaburkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia seperti penyediaan sekolah baru serta bantuan segera tetapi ianya umpama menanam tebu di tepi bibir.  Masih banyak lagi yang tidak dilakukan dengan lebih sempurna. 
Kerana hal ini semualah Datuk Adenan sebagai Ketua Menteri Sarawak tetap bertegas dengan isu Polisi Pendidikan yang digubal di Putrajaya.  Setiap pelarasan mengenai pendidikan harus mengambilkira apa yang berlaku di Sarawak.  Dan kerana itulah setiap pengubalannya harus mempunyai penglibatan Sarawak agar ianya bersesuaian dengan senario yang berlaku di Sarawak itu sendiri. 
Buat masa sekarang, keseriusan Sarawak itu ada didengar oleh Putrajaya apabila permintaan Sarawak untuk memberi peluang hanya pendidik kelahiran Sarawak yang bertugas mendidik anak bangsanya di tanah kelahiran Sarawak sudah mula diatur oleh pihak Kementerian Pendidikan.  Ini kerana KPM sendiri akur bahawa dengan kepelbagaian budaya dan tradisi Sarawak menjadikan adalah lebih mudah untuk orang Sarawak sendiri memahaminya. 
Hakikatnya apa yang diperjuangkan oleh Ketua Menteri Sarawak sememangnya sesuatu yang kita mahukan lebih-lebih lagi apabila melibatkan masa hadapan anak bangsa Sarawak yang akan menjadi pewaris kepada Sarawak ini nanti. 

Hak yang dituntut bukan sahaja yang melibatkan borneonisasi semata-mata sebaliknya juga aspek-aspek yang lain termasuklah sistem pendidikan Malaysia serta peruntukan pendidikan di Sarawak agar ianya setanding dengan yang lain di dalam Gagasan Malaysia. 

Wednesday 7 September 2016

BAHASA IBUNDA ETNIK SARAWAK WAJAR DIBUKUKAN


SALAH satu negeri yang paling ramai kaum etniknya adalah Sarawak Bumi Kenyalang.  Oleh kerana kepelbagaian etnik inilah yang menjadikan kekayaan tradisi, budaya dan bahasa ibunda etnik cukup unik serta menjadi kebanggaan kita semua sebagai anak Sarawak. 
Apabila berbicara mengenai bahasa ibunda etnik pula bukanlah sedikit malah banyak sehingga ada sesetengah bahasa ibunda etnik dikatakan pupus kerana tidak lagi dipertuturkan oleh generasi yang baru pada masa sekarang.  Dan kepupusan bahasa ibunda etnik ini adalah satu kerugian kepada Sarawak Bumi Kenyalang itu sendiri. 
Semalam menyaksikan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah diberi penghormatan untuk merasmikan pelancaran kamus bahasa Iban iaitu “Comprehensive Iban-English Dictionary” hasil usaha daripada Dayak Cultural Foundation.  Ianya merupakan satu usaha yang wajar dipuji kerana bahasa Iban juga merupakan antara bahasa ibunda yang paling banyak dipertuturkan di Sarawak. 
Dengan adanya kamus Iban ini maka ianya akan memudahkan mana-mana individu untuk belajar dan memahami bahasa Iban Sarawak.  Seharusnya mana-mana NGO daripada etnik-etnik yang lain juga harus mengikut jejak langkah ini bagi memastikan bahasa Ibunda etnik terus dijunjung kerana disinilah bermulanya identiti dan sejarah bangsa kita.   
Bahasa Itu Menunjukkan Bangsa.