Tuesday, 27 September 2016

PISANG KEPOK “MADE IN SARAWAK”


MUSA Acuminata, itu nama saintifiknya tetapi di kalangan masyarakat Sarawak lebih dikenali dengan panggilan pisang kepok atau pisang nipah.  Bagi masyarakat di Sarawak sudah tentu biasa dengan jenis pisang ini selain pisang tanduk kerana ianya sering menghiasi laman rumah mahupun kebun-kebun kecil di Sarawak.  Dahulunya ditanam hanya untuk dimakan bersama keluarga seperti menjadikannya pisang goreng dan sebagainya. 
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa sebenarnya pisang kepok merupakan antara jenis pisang yang tinggi permintaannya di pasaran sekarang.  Menurut rekod, FAMA telah mengeksport hampir 526,434 metrik ton, Pisang Kepok sejak 2012 lagi dengan purata hampir 9,500 kg saban bulan ke Semenanjung Malaysia iaitu melalui Pasar Selayang dan Johor Bahru. 
Sungguhpun begitu apa yang dieksport oleh FAMA itu melalui pembekal iaitu pekebun-pekebun pisang di Sadong Jaya, Simunjan, Sebuyau, Bau dan Gedong masih tidak mampu memenuhi permintaan yang sedia ada. Dikatakan juga permintaan untuk pisang kepok “Made In Sarawak” ini terlalu tinggi kerana kualitinya yang baik serta bersaiz lebih besar.
Jadi untuk mereka yang sememangnya ingin mengusahakan kebun untuk lebih berbentuk komersial di Sarawak, ada baiknya cuba untuk menanam pisang kepok daripada bersusah payah memikirkan tanaman apa yang menguntungkan di masa hadapan.  Tiada salahnya memohon khidmat nasihat daripada FAMA sekiranya terdapat kemusykilan mengenai cara-cara penanaman dan sebagainya agar lebih bersedia pada masa hadapan. 

No comments:

Post a Comment