Saturday 27 June 2020

WANITA MIRI DIKOMPAUN RM1K TIDAK JUJUR DEKLARASI KESIHATAN



BEBERAPA hari yang lepas kita dihidangkan dengan sikap mementingkan diri seorang warga Miri iaitu seorang wanita yang baharu pulang dari Tunisia dan didapati positif Covid-19 selepas menjalani satu saringan kesihatan di KLIA.  Beliau kemudiannya bertindak menaiki penerbangan pulang ke Miri pada hari yang sama dan telah menyembunyikan sejarah perjalanannya ke luar negara dengan tidak menyatakannya di dalam borang deklarasi kesihatan.  Tindakan beliau itu menyebabkan beliau tidak menjalani kuarantin seperti SOP yang ditetapkan sebaliknya dibenarkan pulang rumah.  

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak tidak memandang remeh akan hal ini kerana ianya melibatkan keselamatan dan kesejahteraan yang berada di dalam Sarawak.  Untuk itu, JPBNS melalui JKNS telahpun mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada wanita Miri tersebut biarpun sekarang berada di hospital untuk rawatan selanjutnya.  Andaikata wanita tersebut gagal untuk membayar kompaun seperti yang telah ditetapkan maka tindakan yang lebih tegas akan dikenakan kepada beliau.  

Biarlah ini menjadi pengajaran untuk semua agar jujur di dalam setiap tindakan kita.  Deklarasi Kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bukannya diadakan untuk suka-suka sahaja sebaliknya punya tujuan di dalam kita memerangi Covid-19 yang masih belum lenyap di dunia.  


Sumber: Kenyataan media JPBN Bil 141/2020

Thursday 25 June 2020

MOHON MAAF SECARA TERBUKA ATAU AZIZ ISA AKAN DISAMAN RM5 JUTA


PEPATAH lama ada mengatakan cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar yang bermaksud berhati-hati semasa mengeluarkan percakapan kerana percakapan yang sembarangan akan membawa akibat yang buruk.  Maka begitulah yang terjadi ke atas Abdul Aziz Isa, pemimpin Pemuda Sosialis DAP Sarawak yang juga . Melalui kenyataan beliau yang dimuatnaik di laman mukabuku beliau pada tanggal 7 Jun 2020 yang mana menurut Dr. Kamarul Zaman Yusoff, seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia adalah satu artikel yang berunsur fitnah ke atas beliau.  

Dek kerana itu difahamkan Dr. Kamarul Zaman Yusuff melalui peguamnya telah menghantar surat kepada Aziz Isa menuntut beliau untuk membuat permohonan maaf tanpa terbuka dan mengaku bahawa artikel itu adalah satu kenyataan fitnah terhadap dirinya disamping Aziz Isa turut harus membuat satu akurjanji agar tidak mengulangi perbuatan seperti itu terhadapnya pada masa hadapan.  Aziz Isa diberikan tempoh tujuh hari untuk membuat perkara tersebut atau Dr. Kamarul akan menyaman beliau sebanyak RM5 juta.  

Dinyatakan juga bagi mempertahankan dirinya, Dr. Kamarul turut membuat tindakan yang serupa ke atas dua lagi individu politik dari DAP iaitu Dr. P. Ramasamy (ADUN Perai) dan Syerlena Abdul Rashid (ADUN Seri Delima).  Kedua-duanya turut dituntut untuk membuat hal yang sama seperti Aziz Isa atau masing-masing disaman RM5 juta.


Pautan berita penuh:


Jika diikutkan RM5 juta bukanlah sedikit malah boleh sahaja digunakan untuk membiayai kempen pilihanraya DUN Sarawak yang akan menjelang tidak lama lagi.  Namun apakah Abdul Aziz Isa akan menjilat ludahnya kembali dengan mengaku bahawa artikel beliau pada tanggal 7 Jun 2020 itu hanyalah satu fitnah dan dibuat sembrono sudah tentu akan dinantikan kita semua.  Kita tunggu.. 

Fitnah dan PH berpisah tiada.

TEKUN MOBILEPRENEUR 2.0 BANTU RIDER PENGHANTARAN BELI KENDERAAN BARU


CERITA tentang rider penghantaran sememangnya amat dekat dihati kita semua kerana demi mencari rezeki yang halal mereka sanggup berhujan berpanas malah cukup terdedah dengan kemalangan dan sebagainya untuk memenuhi permintaan daripada pelanggan.  Kisah mereka yang sering dimuatnaik di ruangan media sosial seringkali mendapat perhatian daripada kita semua lebih-lebih lagi ketika Malaysia menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan, inilah antara nadi penyambung “nyawa” kita untuk membeli makanan mahupun barangan yang kita mahukan.  

Ada berita baik untuk semua rider penghantaran di luar sana kerana Kerajaan Malaysia menerusi Tekun Nasional akan melancarkan Tekun Mobilepreneur 2.0 untuk membantu rider penghantaran pada 7 Julai 2020.  Tekun Mobilepreneur 2.0 ini akan menggunakan peruntukan didalam PENJANA yang mana pihak Tekun Nasional akan menyediakan kemudahan pembiayaan maksimun sehingga RM10,000 kepada rider penghantaran bagi membeli motosikal yang baharu dan modal pusingan.  

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,  Datuk Seri Dr Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar menyatakan setiap para rider penghantaran yang memohon perlulah berdaftar dengan syarikat e-hailing dan melepasi syarat-syarat yang telah ditetapkan.  Pembiayaan seperti ini diharap akan dapat membantu para rider penghantaran yang sememangnya antara barisan hadapan yang mampu melonjak ekonomi negara seperti yang diharapkan.  

Pautan berita penuh:

Saturday 20 June 2020

PESAWAT KHAS BAWA PULANG 12 ANAK SARAWAK TERKANDAS DI NIGERIA 22 JUN 2020


TANGGAL 3 Jun yang lalu telah tular di media sosial akan hal yang berlaku ke atas 12 orang anak Sarawak yang terkandas bersama lebih kurang 30 orang rakyat Malaysia yang lain di negara Nigeria memohon agar pihak Kerajaan Malaysia segera membawa mereka pulang ke tanahair.  Setelah ianya ditularkan maka pihak Kerajaan Sarawak bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan telah mengambil tindakan untuk membawa mereka pulang seberapa segera yang boleh.  

Pautan berita penuh:

https://dayakdaily.com/30-malaysians-including-10-sarawakians-stranded-in-nigeria-just-want-to-come-home/

Menurut Ahli Parlimen Santubong iaitu Datuk Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan bahawa kesemua 12 anak Sarawak bersama dengan 18 rakyat Malaysia yang lain akan memulakan perjalanan pulang mereka dengan menggunakan pesawat khas pada 22 Jun ini dari Lagos ke Dubai.  Mereka dijangka tiba di Kuala Lumpur pada tanggal 24 Jun 2020.  12 anak Sarawak ini kemudian akan mengambil penerbangan pulang ke Sarawak pada hari yang sama.  Tambah beliau satu lagi penerbangan membawa pulang baki rakyat Malaysia dari Nigeria pada tanggal 25 Jun 2020 seperti yang telah diaturkan oleh pihak Kementerian Luar Negeri melalui pejabat kedutaan Malaysia di sana.  

Pautan berita penuh:

https://www.theborneopost.com/2020/06/20/wan-junaidi-sarawakians-stranded-in-nigeria-heading-home-via-special-flight-on-june-22/

Ini merupakan satu perkhabaran gembira buat kita semua kerana biar apapun kesemua mereka adalah rakyat Sarawak yang sememang wajar untuk dibawa pulang di tengah-tengah dunia sedang diasak oleh serangan Covid-19.  Usaha dari Kerajaan Sarawak sebagai satu kerajaan negeri yang bertanggungjawab itu amatlah dihargai dan tidak kurang juga kepada Kerajaan Persekutuan yang turut bersama-sama mendengar rayuan anak Malaysia di seberang laut.  

Semoga perjalanan pulang mereka ke tanahair dipermudahkan.  

PRK CHINI: 3 PENJURU, DACING VS RUMAH VS KUNCI


BERIKUTAN kematian penyandang DUN Chini iaitu Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun dari Barisan Nasonal pada 6 Mei 2020 menyebabkan satu pilihanraya kecil diadakan semasa di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia.  Dan penamaan calon baharu sahaja selesai dengan menyaksikan akan berlaku pertandingan tiga penjuru ketika “Chini Memilih” pada 30 Jun 2020 (pengundian awal) dan seterusnya 4 Julai 2020 ini untuk hari pengundian yang sebenar.  

Tatkala khabar angin dunia politik bertiup kencang menyatakan mungkin PRK Chini akan menurunkan putera kepada Dato Seri Najib Razak sebagai calon Barisan Nasional di sana namun hakikatnya telah disahihkan bahawa Barisan Nasional mempertaruhkan seorang lagi individu yang agak terserlah kepimpinannya di kalangan masyarakat Felda iaitu Mohd Shahrim Md Zain yang baru berusia 41 tahun.  Beliau merupakan Pengerusi Majlis Belia Wilayah Kuantan yang juga adalah anak Felda generasi kedua.  

Sementara itu untuk seorang lagi calon bebas yang menggunakan lambang “rumah” adalah Datuk Tengku Zainul Hisham bin Tengku Hussin yang berusia 64 tahun.  Beliau tampil sebagai calon bebas biarpun merupakan Timbalan Ketua Bahagian PPBM di Pekan, Pahang. Calon bebas yang kedua pula adalah seorang aktivis masyarakat iaitu Mohd Shukri bin Mohd Ramli.  Berusia 49 tahun dan menggunakan lambang “kunci” sebagai lambang beliau pada PRK Chini.  


Pautan berita penuh:


Jika diikut inilah pertama kalinya satu pilihanraya kecil diadakan semasa PKP dan sudah tentu banyak garis panduan yang wajar diikuti kerana hakikatnya Malaysia masih lagi berperang dengan Covid-19 biarpun negara sekarang di peringkat pemulihan. Adalah difahamkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telahpun membenarkan ceramah, “walkabout” dan kempen dari rumah ke rumah untuk PRK Chini.  

PRK Chini sudah tentu akan menjadi penanda aras kepada sebarang pilihanraya diadakan di Malaysia semasa Covid-19 masih lagi belum ada penawarnya di seluruh dunia. Dan yang pasti semua mata dan telinga menanti keputusannya memandangkan Barisan Nasional sejak kalah pada PRU-14 yang lalu agak cemerlang rekodnya semasa pilihanraya kecil.  

Chini memilih siapa? Kita tunggu…


Kredit gambar: Berita Harian


#ChiniMemilih

PRN SARAWAK: WANITA PBB PINTA CALON WANITA DITAMBAH BUKAN DIKURANGKAN


DENGAN cerita ceriti musim pilihanraya yang mungkin akan dilaksanakan di Sarawak tidak lama lagi kerana DUN Sarawak akan tamat menjelang Mei 2021 akan menyaksikan ramai calon-calon muka baru yang akan diketengahkan oleh parti-parti politik yang akan bertanding kelak. Dalam pada itu jika diikutkan jumlah wakil suara rakyat di Dewan Undangan Negeri Sarawak mahupun Parlimen sememangnya agak kurang akan perwakilannya di kalangan wanita.

Menurut Dato Seri Fatimah Abdullah iaitu Ketua Wanita PBB yang juga ADUN Dalat (GPS) adalah menjadi harapan bagi Wanita PBB agar pada pilihanraya yang akan datang jumlah calon-calon di kalangan wanita itu ditambah dan tidak mahu ianya dikurang. Menurut beliau jika diikutkan jumlah pengundi wanita di Sarawak adalah 50.32% daripada jumlah keseluruhan pengundi di Sarawak makanya suara wanita itu sepatutnya lebih ramai.

Pautan berita penuh:

Untuk rekod, ADUN wanita dari PBB sahaja sekarang hanya berjumlah lima orang iaitu Dato Seri Fatimah (ADUN Dalat), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (DUN Samariang), YB Simoi Peri (ADUN Lingga), YB Rosey Yunus (ADUN Bekenu) dan Datuk Amar Jamilah Anu (ADUN Tanjung Datu). Jika diikutkan permintaan daripada Wanita PBB itu tidaklah melampau kerana sememangnya perlu ada persamaan di dalam persaingan untuk menjadi wakil rakyat di Sarawak. Setakat ini rekod perkhidmatan ADUN Wanita PBB tidak pernah dipersoalkan malah setara dengan ADUN lelaki. Jantina itu bukan satu persoalan sekarang, yang penting keikhlasan untuk berbakti kepada rakyat.

Monday 15 June 2020

PENUBUHAN JAWATANKUASA PETUGAS KHAS INDUSTRI MINYAK DAN GAS SARAWAK


BAGI melancarkan lagi pengurusan industri minyak dan gas di Sarawak, Kerajaan Persekutuan melalui Perdana Menteri Malaysia iaitu Tan Seri Muhyiddin Mohd Yassin bersama dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari telah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Petugas Khas. Matlamat utama penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi membincangkan halatuju Petronas dan Sarawak di dalam menentukan pengurusan industri petroleum di Sarawak.  Ianya juga turut akan mencakupi pemastian adanya penglibatan rakyat Sarawak di dalam peluang perniagaan di dalam industri tersebut.   

Menurut Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) yang juga Menteri Kerja Raya Malaysia iaitu Dato Seri Fadillah Yusuf, jawatankuasa ini akan dianggotai oleh individu di peringkat pusat dan juga dari Negeri Sarawak.  Ianya akan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan iaitu Datuk Seri Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz dan beliau sendiri.  

Jawatankuasa Petugas Khas bagi mewakili Sarawak sudahpun dipilih iaitu seperti berikut:

1. Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Timbalan Ketua Menteri Sarawak)
2. Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek)
3. Datuk Seri JC Fong (Penasihat Undang-Undang Negeri) 
4. Dr. Muhammad Abdullah Zaidel (Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sarawak)
5. Sauu Kakok (CEO PETROS)

Difahamkan kesemua yang terlibat di dalam Jawatankuasa ini akan bermesyuarat hari ini 17 Jun 2020 bagi membincangkan pembentukan dan terma-terma yang berkaitan.   

Pautan berita penuh:

Friday 12 June 2020

TERIMA KASIH RAKYAT SARAWAK KERANA BERDISIPLIN - CM ABG JO-


TANGGAL 12 Jun 2020, berlangsung satu mesyuarat MKT PBB di ibupejabat PBB yang mana dipengerusikan oleh Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.  Ianya dihadiri oleh semua MKT PBB yang mana menyaksikan mesyuarat itu berlangsung dengan norma baharu iaitu mengikut SOP yang telah dibenarkan.  

Antara agenda di dalam mesyuarat itu adalah untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepimpinan Negeri Sarawak kepada semua rakyat Sarawak yang telah memberikan kerjasama serta amat berdisiplin ketika Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.  Menurut CM Abang Jo andainya tiada kerjasama daripada rakyat Sarawak sudah tentu rantaian jangkitan Covid-19 di kalangan rakyat Sarawak tidak dapat dikawal.  Selain itu beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada frontliners (KKM, PDRM, ATM, BOMBA, APM) yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang kita berperang dengan Covid-19 di Sarawak. Beliau turut menghargai segala komitmen yang telah ditunjukkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak yang dipengerusikan oleh Datuk Amar Douglas Unggah Embas serta Majlis Keselamatan Negara. Ucapan penghargaan turut ditujukan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang telah turun padang membantu rakyat Sarawak di dalam pengagihan bantuan dan sebagainya.  

Sesungguhnya Sarawak sedang menuju ke garisan penamat sekarang dan kerjasama semua masih lagi dituntut biarpun kita sudahpun beralih ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang menyaksikan banyak kelonggaran baik dari sektor ekonomi diberikan kepada semua.  Jangan lalai dan terus patuhi SOP.

#kitajagakendiri
#patuhiSOP
#fightscovid19

PRN KE-12 SARAWAK: JENTERA GPS DIARAH BERSIAP SEDIA


TEMPOH Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir pada Mei 2021 namun begitu ada beberapa parti tempatan sudahpun mengwar-warkan siapakah calon mereka untuk bertanding kelak.  Dalam pada itu ketika sidang media pada hari ini selepas usai mesyuarat, Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak memperjelaskan bahawa masih tiada bayangan bilakah sebenarnya PRN ke-12 akan diadakan namun beliau tidak menolak ianya mungkin sahaja boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang.  

Walau bagaimanapun, CM Abang Jo menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan semua ADUN GPS untuk bersiap sedia dan begitu juga dengan jentera parti GPS.  Tambah beliau lagi segalanya sekarang terserah kepada situasi semasa yang berlaku di Negara Malaysia kerana kita almaklum Malaysia masih lagi belum bebas dari berperang dengan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan masih lagi berlangsung.  

Pautan berita penuh:


Untuk rekod pada PRN ke-12 inilah Gabungan Parti Sarawak sebagai satu gabungan parti tempatan iaitu PBB, SUPP, PRS dan PDP akan berentap buat kali pertama menggunakan logo parti sendiri.  Jika dahulunya menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) untuk bertingkah, buat julung-julung kalinya akan diuji sejauhmana lambang GPS itu dikenali oleh rakyat Sarawak sendiri.  

Bulan Julai 2021 merupakan tempoh akhir untuk mengadakan pilihanraya negeri Sarawak yang mana ramai mengibaratkannya sebagai MAHA PRN.  Mungkin juga dengan corat-coret dunia politik di sebelah Semenanjung Malaysia yang menyaksikan Perikatan Nasional mengambilalih tampuk kepimpinan daripada Pakatan Harapan, ada penganalisa politik berpendapat berkemungkinan besar PRU dan PRN ke-12 Sarawak akan dilakukan serentak.   

Wednesday 10 June 2020

BAYAR RM2.878 BILION BUKAN RM2 BILION. TIADA KOMPROMI!


TANGGAL 8 Mac 2020 yang lepas, Sarawak yang diwakili oleh Menteri Muda Datuk Sharifah Hasidah dan Pengerusi Petronas iaitu Datuk Ahmad Nizam Salleh pernah membuat kenyataan bersama mengenai persefahaman Petronas/Sarawak mengenai urusan pembayaran Cukai Jualan Produk Petroleum di Sarawak.  Ianya berlaku apabila pihak Mahkamah telah memberikan keputusan yang Sarawak sememangnya berhak untuk mengenakan cukai jualan produk petroleum di Sarawak seperti yang termaktub di dalam Oil and Mining Ordinance 1958.  Untuk itu Petronas didalam kenyataan bersama itu bersetuju dan memperakui bahawa OMO 1958 itu diiktiraf oleh mereka.

10 Jun 2020 iaitu semalam menyaksikan Jawatankuasa Perundingan Negeri Sarawak yang diketuai oleh Pengerusinya iaitu Datuk Amar Nassar Awang Asfia di dalam kenyataan media mereka selepas bermesyuarat dengan tegas menyatakan bahawa kenyataan bersama antara Datuk Sharifah Hasidah dan Pengerusi Petronas itu bukanlah sama sekali satu perjanjian bertulis rasmi kerana itu hanyalah satu bentuk persefahaman sahaja tanpa ada terma perjanjian, tanpa ada tandatangan dengan saksi yang diperakui dan sebagainya kerana walau apapun setiap keputusan Kerajaan Negeri di dalam perundingan akan merujuk kepada PDA 1974, Continental Shelf 1963 dan Territorial Sea Act 2012.  Tambah beliau lagi Sarawak mempunyai 18 orang Menteri Muda dan tiada seorang pun daripada mereka yang diberikan kuasa untuk memberikan sebarang keputusan akhir mengenai sesuatu perkara kerana hanya pucuk pimpinan tertinggi di Sarawak yang punya bidangkuasa tersebut.

Menurut Datuk Amar Asfia, Kerajaan Negeri Sarawak tidak akan berkompromi di dalam isu hal pembayaran cukai jualan produk petroleum yang dikenakan ke atas Petronas dan jumlah yang dituntut tetap RM2.878 untuk tahun 2019 dan bukan sesekali RM2 bilion.

Di dalam sidang media itu juga, Datuk Amar Asfia turut mengumumkan ahli-ahli Jawatankuasa Perundingan Negeri Sarawak yang dipilih iaitu diketuai oleh Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan & ADUN Asajaya), Dato Gerawat Gala (Timbalan Speaker DUN & ADUN Mulu), Datuk Sebastian Ting (Menteri Muda Pelancongan & ADUN Piasau), Dato Idris Buang (ADUN Muara Tuang) dan YB See Chee How (ADUN Batu Lintang).  Kesemua mereka dipilih kerana mempunyai latarbelakang perundangan yang boleh mewakili Sarawak sebaik mungkin kerana setiap perundingan melibatkan terma perundangan yang harus difahami oleh semua pihak.  Ianya juga diwakili oleh ADUN Sarawak tidak berlandaskan fahaman politik samada pemerintah mahupun pembangkang sekalipun.  Hak Sarawak melibatkan semua rakyat Sarawak.   


Pautan berita penuh:

https://www.theborneopost.com/2020/06/10/joint-statement-between-state-govt-and-petronas-not-formal-agreement-says-dun-consultative-committee/?amp


Monday 8 June 2020

AKTA 342 TERPAKAI UNTUK SEMUA NEGERI KECUALI SARAWAK -DSIS-


10 Jun 2020 ini maka bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan untuk Malaysia yang mana ia digunapakai selaras dengan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Berjangkit 1988 (Akta 342) Negara Malaysia.  Dalam pada keterujaan rakyat Malaysia yang mungkin sudah agak lama memendam perasaan dek kerana hampir tiga bulan banyak hal yang dilarang melainkan PKPP pula telah memberikan banyak kebebasan kepada rakyat dengan hanya meminta rakyat untuk patuh kepada garispanduan (SOP), ada pula sesetengah negeri “menyombong” untuk tidak mengikuti arahan contohnya Pulau Pinang yang dikatakan mahu melihat dahulu samada menggunapakai PKPP atau tidak.  

Mengulas isu itu, Dato Seri Ismail Sabri Yaakub yang juga merupakan Menteri Kanan Kluster Keselamatan di dalam sidang medianya hari ini berkata bahawa semua negeri-negeri di Malaysia harus akur dengan PKPP yang disarankan kerana menjelang tengah malam esok, PKPB akan terbatal dengan sendiri.  Menurut beliau lagi hanya SARAWAK YANG BOLEH TIDAK MENGGUNAPAKAI AKTA 342 KERANA SARAWAK MEMPUNYAI AKTANYA SENDIRI.  

Pautan berita penuh:


Untuk itu bagi rakyat Sarawak yang masih lagi tertanya-tanya samada Sarawak hendak mengikut arahan seperti di peringkat Persekutuan mengenai rentas daerah atau negeri maka bersabarlah dahulu kerana pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak akan berdiskusi dahulu mengenai segala hal mengenainya.  Setiap pandangan yang pakar sudah tentu akan mengambilkira kerana situasi di Sarawak mungkin tidak sama dengan negeri-negeri lain di Malaysia.  

Jadi bersabarlah kita mungkin ada sesetengah hal didalam PKPP yang diwar-warkan oleh PM TSMY semalam akan Sarawak gunapakai kelak dengan garispanduan tambahan yang mungkin berbeza. Kesemuanya dilakukan untuk kesejahteraan rakyat Sarawak jauh sekali untuk menunjukkan kehebatan untuk berpolitik.  Sarawak itu sungguh istimewa baik dari segi kepelbagaian kaum, budaya, warisan, sejarah tambahlagi undang-undangnya yang sememang sudah ada sejak dahulu lagi.

Tuesday 2 June 2020

PKN: BUKAN GENTAR TETAPI TIDAK MAHU MPKKP 2.0 WUJUD DI SARAWAK


TATKALA ada pihak yang kurang senang apabila Dato Idris Buang iaitu Ketua Penerangan PBB yang juga ADUN Muara Tuang mengeluarkan kenyataan agar Ahli Parlimen GPS bersuara akan kewujudan penubuhan Penggerak Komuniti Negara di Sarawak iaitu yang didakwa sebagai satu badan bukan kerajaan (NGO) dari pusat sudah ada yang melatah mengatakan bahawa beliau gentar.  

Menurut Nurhanim Hanna Mokhsen iaitu Pengerusi PKN Sarawak, tertubuhnya PKN Sarawak adalah untuk memastikan pemberian bantuan kepada golongan sasaran itu sampai seperti yang dikehendaki.  Mengambil contoh sewaktu PKP, Nurhanim berkata lebih 10,000 bakul bantuan telah diagihkan kepada golongan miskin yang telah mereka kenalpasti. Lagipun PKN sudahpun ada sejak di tahun 2019 lagi. Jadi adalah tidak perlu untuk Dato Idris Buang gentar akan penubuhannya kerana ia adalah satu NGO yang melengkapi bantuan kerajaan.  

Pautan berita seperti berikut:


Mengulas akan kenyataan Nurhanim Hanna Mokhsen menurut Dato Idris Buang penubuhan PKN Sarawak sudah tentu boleh dipersoalkan.  Ini kerana NGO ini ditubuhkan tanpa merujuk kepada Kerajaan Sarawak sekarang sedangkan segala bentuk bantuan yang diwar-warkan adalah dari Kerajaan Pusat.  Mana mungkin kita di Sarawak boleh menerima sebegitu sahaja kerana ianya turut mencampuri urusan di dalam negeri Sarawak itu sendiri iaitu melalui GPS yang memerintah Sarawak sekarang.  

Dengan mengambilkira bagaimana sebelum ini pihak Pakatan Harapan Sarawak sedaya upaya cuba untuk menubuhkan MPKKP biarpun dibantah kerana mencampuri urusan dalaman negeri Sarawak namun pada waktu itu PH yang berkuasa di peringkat pusat tetap dengan keegoan mereka.  Sedangkan ternyata jelas sekali MPKKP itu melanggar hak seperti yang termaktub di dalam undang-undang Kerajaan Sarawak.  Telahan penubuhan MPKKP boleh sahaja mengganggugugat keharmonian kaum di Sarawak kerana ada ketua-ketua yang dipilih berdasarkan kepentingan politik PH pada masa itu.  

Tidak mahu pisang berbuah dua kali, makanya Dato Idris meluahkan rasa kebimbangan beliau dek kerana sudah acapkali ada yang berselindung disebalik penubuhan Badan Bukan Kerajaan yang mana misi pada peringkat awal akan bertukar haluan jika dibiarkan lama-lama.  Untuk itu kebimbangan beliau bersebab dan jauh sekali bukan gentar sebaliknya sebagai ADUN GPS beliau berusaha untuk terus melindungi hak-hak Sarawak seperti yang termaktub di dalam undang-undang tubuh Negeri Sarawak.

Pautan berita penuh seperti berikut:


Tiada salahnya jika ada mana-mana ADUN Sarawak dari GPS yang menjadi pengemudi Kerajaan Negeri Sarawak meluahkan apa yang mereka rasa mengenai aktiviti-aktiviti di dalam Sarawak kerana biarpun GPS menjadi penyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional diperingkat Persekutuan sekarang tidak bermakna ia harus menjadi “pak turut” kepada segala yang cuba dibentuk oleh Persekutuan.  Ingatlah sebarang cubaan untuk mengganggugat keharmonian dan kestabilan di Sarawak waima dengan penubuhan Badan Bukan Kerajaan sekalipun wajar dipersoalkan nawaitunya kerana terlalu banyak sekarang musang berbulu ayam.