Monday 30 January 2017

UMUM CALON BN PRK TANJUNG DATU 1 FEBRUARI


MENGHITUNG hari tarikh penamaan calon PRK N3 Tanjung Datu yang akan diadakan pada tanggal 4 Februari 2017 ini.  Walau sudah ada yang mencongak kemungkinan besar BN akan menang tanpa bertanding apabila PKR Sarawak sudah awal menyatakan mereka tidak akan bertanding di PRK kali ini.  Keputusan PKR Sarawak itu haruslah dilihat dari segi positif kerana ianya juga membuktikan bahawa legasi kepimpinan Tok Nan di Tanjung Datu amat dihormati oleh rakan mahupun lawannya selama ini. 
Namun begitu, BN Sarawak tetap tidak mahu terlalu yakin kerana kita semua mengamalkan sistem demokrasi yang mana sesiapa sahaja berhak untuk bertanding selagi ianya layak.  Dikatakan 2 calon bebas yang terdiri daripada anak tempatan Tanjung Datu dikhabarkan akan mencabar calon BN nanti.  Untuk itu juga melalui Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom mengwar-warkan bahawa berkemungkinan besar 1 Februari ini merupakan tarikh penting bagi mengumumkan siapakah calon pilihan untuk mewakili BN-PBB di Tanjung Datu kelak.  Ianya sudah tentu akan diumumkan oleh Presiden PBB yang juga KM Sarawak sendiri iaitu Datuk Amar Abg Jo nanti. 
Setakat ini yang diketahui sudah ada 4 calon yang sudah disenaraipendekkan untuk menjadi pilihan winnable candidate BN di PRK ini kelak.  Tiada bayangan siapakah mereka ini kerana ianya tetap menjadi rahsia kepada BN Sarawak.  Mungkinkah isteri kepada Allahyarham Tok Nan iaitu Datin Patinggi Hajjah Jamilah Anu Datu atau mungkin juga 2 anak lelakinya akan menjadi penerus legasi kepimpinan Tok Nan di dalam arena politik Sarawak masih lagi samar-samar.  Atau mungkin juga anak tempatan Tanjung Datu sendiri yang akan dipilih seperti yang jelas kedengaran laungannya di peringkat akar umbi.
Yang pasti biar siapa sahaja calon BN di PRK Tanjung Datu kelak samada akan bertanding atau menang di tebing, biarlah orangnya mampu menggalas segala tanggungjawab yang selama ini dipikul oleh Allahyarham Tok Nan dengan jayanya.  Kerana itulah sahaja permintaan rakyat di Tanjung Datu kerana dialah nanti yang akan berkhidmat untuk mereka dan mampu menjadikan Tanjung Datu lebih makmur nanti.

Sunday 29 January 2017

ADENAN SATEM INTERNATIONAL AIRPORT DAN GELARAN PEHIN SRI


SUDAH ada suara-suara rakyat Sarawak yang mahukan Allahyarham Tok Nan namanya diangkat bagi menghormati segala jerih perihnya berjasa kepada Sarawak selama ini.  Warga netizen sejak dari hari ketiadaannya sudah melaungkan hal yang sama.  Banyaklah cadangan lokasi mahupun bangunan yang dikatakan sesuai untuk diberikan nama Allahyarham Tok Nan. 

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Batang Sadong iaitu YAB Dato’ Seri Hajjah Nancy Syukri telah mengwar-warkan bahawa beliau menyokong usaha untuk menamakan Jambatan Batang Sadong untuk ditukar kepada nama Jabatan Adenan Satem.  Tiada siapa boleh menafikan bagaimana usaha daripada Tok Nan juga antara yang menjadi penjana kepada perlaksanaan jambatan terpanjang di Sarawak ini.

Namun di dalam corat-coret penamaan nama Adenan Satem mungkin ada baiknya juga untuk kita melihat penamaan yang lebih berimpak internasional.   Tiada salahnya untuk kita memohon Kerajaan Negeri Sarawak bagi menamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ditukar kepada nama Lapangan Terbang Antarabangsa Adenan Satem atau Adenan Satem International Airport dengan singkatannya ASIA.  Jika kita mengimbau usaha Tok Nan selama ini yang benar-benar mahu mengangkat martabat Sarawak di mata dunia, kawasan lapangan terbang inilah yang layak untuk mengambil sempena namanya kerana disinilah autonomi Sarawak bermula.  Gerbang untuk dunia memasuki Sarawak dan tanpa adanya keizinan Kerajaan Sarawak tiada siapa boleh melintasinya. 

Selain itu di dalam kita mengenang segala jasa yang dilakukan oleh Allahyarham biarpun memimpin Sarawak hanya selama hampir 3 tahun namun banyak telah dilakukan.  Juga disarankan agar Kerajaan Negeri Sarawak menganugerahkan gelaran Pehin Sri kepada Allahyarham Tok Nan.  Setakat hari ini hanya seorang sahaja individu Sarawak yang memegang gelaran itu iaitu Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud yang merupakan Tuan Gabenor Sarawak dan mantan Ketua Menteri Sarawak ke-4.
 
Untuk pengetahuan semua, gelaran Pehin Sri bukan hanya dianugerahkan oleh Kerajaan Negara Brunei Darussalam tetapi juga ada di Sarawak melalui penganugerahan darjah kebesaran Satria Bintang Sarawak.  Barangsiapa yang dianugerahkan dengan gelaran ini secara automatiknya memegang Pehin Sri pada pangkal namanya.  Ianya adalah anugerah tertinggi di dalam Kerajaan Negeri Sarawak sejak dahulu lagi. 

Mungkin cadangan ini boleh dipertimbangkan kerana ianya adalah untuk mengenang jasa Allahyarham Tok Nan yang kita cintai.

Wednesday 25 January 2017

HAPPY CHINESE NEW YEAR 2017


HOPE the rising sun will bring with it bundles of joy, happiness and luck. Happy Chinese New Year All! 

PROJEK PEMBINAAN SIBU SENTRAL


DENGAN kejayaan pembinaan Kuching Sentral iaitu salah satu hab untuk sistem pengangkutan darat di Bahagian Kuching sememangnya tidak boleh dinafikan.  Ianya berjaya menjadi satu pusat setempat bagi kemudahan rakyat di ibukota Sarawak Bumi Kenyalang.  
Desakan bagi memastikan hab setempat pengangkutan darat untuk lebih sistematik maka di Sibu juga nanti akan didirikan infrastruktur yang sama dikenali dengan nama Sibu Sentral.  Akan didirikan di satu lokasi berkeluasan 9.36 ekar iaitu di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce yang turut berdekatan dengan Farley dan Pusat Komersial Sing Kong di Bahagian Sibu. 
Selain dijadikan hab untuk pengangkutan darat bagi Bahagian Sibu, Sibu Sentral ini juga nanti turut menempatkan beberapa unit kediaman, hotel, pasaraya, restoran serta banyak lagi. Ianya dikatakan akan menjadi antara pusat tumpuan orangramai yang terkini kemudahan di Sibu kelak.
Dengan kos pembinaan sebanyak RM300 juta yang dibangunkan oleh Permodalan ASSAR Sdn Bhd dengan usahasama sebuah syarikat pembinaan di Sibu apabila Sibu Sentral siap  kelak dianggarkan mampu untuk memenuhi permintaan hampir 5,000 penumpang setiap hari.

Projek ini akan memulakan pembinaannya Januari 2018 dengan tempoh penyiapannya selama 30 bulan. 

PKR TIDAK BERTANDING DI PRK N3 TANJUNG DATU


TIADA lagi rahsia kerana akhirnya Parti Keadilan sudahpun mengambil keputusan untuk tidak akan bertanding pada Pilihanraya Kecil N3 Tanjung Datu pada kali ini.  Itulah yang dinyatakan oleh Pengerusi PKR Sarawak, YB Baru Bian yang juga ADUN Ba’Kelalan, semalam menerusi sidang akhbarnya di Kuching, Sarawak. 
Antara faktor yang menjadi penyebab kepadanya dikatakan mereka ingin memberi ruang kepada jentera parti mereka untuk lebih fokus kepada Pilihanraya Umum yang mungkin akan berlangsung pada tahun ini.  Selain itu, mereka juga ingin memberi peluang kepada kepimpinan baru dibawah Ketua Menteri Abg Jo untuk melaksanakan segala yang sudah diusahakan oleh Allahyarham Tok Nan lakukan untuk Sarawak. 
Disebalik keputusan PKR ini, mungkin ramai yang mencongak bahawa PRK N3 Tanjung Datu akan tiada pertandingan kerana aura Tok Nan masih terlalu kuat di Tanjung Datu.  Ditambah lagi spekulasi kencang yang mengatakan calon PBB-BN mungkin di kalangan kaum keluarga Allahyarham Tok Nan sendiri menyebabkan ramai yang gerun untuk bertanding di kawasan kubu kuat PBB ini. 

Namun jangan pernah kita lupa bahawa sudah tentu keputusan PKR ini akan memberi ruang kepada mana-mana parti yang lain contohnya PAN mahupun PRIBUMI yang juga sudah ada kedengaran ceritanya ingin “test market” mereka di Tanjung Datu kelak.  

Walau tiada kesahihan lagi setakat ini jadi sama-samalah kita melihat pada tanggal 4 Februari 2017 nanti apabila hari 

Tuesday 24 January 2017

KEMALANGAN MAUT PALING TINGGI DI SARAWAK - JLN DATO MOHD MUSA


PANDU cermat jiwa pun selamat. Itulah antara kata-kata bidalan yang sering kita dengar apabila berbicara mengenai keselamatan ketika kita di jalanraya. Seringkali kita dengar ramai mengeluh betapa teruknya kondisi jalanraya di Sarawak sehingga menyebabkan banyak kemalangan berlaku kerana hal sedemikian. Dan ianya akan terus menghantui kita apabila tiba musim perayaan kerana pada masa itulah statistic kemalangan akan semakin tinggi grafnya.

Mungkin tiada siapa menyangka bahawa satu jalan yang terletak di Samarahan yang sering menjadi nadi penghubung masyarakat Kuching dan Samarahan iaitu Jalan Dato Mohammad Musa yang cantik serta berkeadaan yang baik segalanya adalah lokasi penyumbang kadar kemalangan maut yang paling tinggi di Sarawak. Faktor utama keatas banyaknya kemalangan yang berlaku adalah kerana ianya satu jalan yang lurus sehingga menyebabkan ramai pemandu kenderaan leka dan memandu laju. Inilah yang telah diwar-warkan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Jalanraya iaitu Datuk Roslan Eusoff sewaktu perasmian Kempen Keselamatan Jalanraya semalam di Miri, Sarawak.

Untuk itu adalah perlu bagi kesemua pengguna jalanraya untuk sentiasa mematuhi peraturan hadlaju yang ditetapkan. Walaupun hakikatnya penggunaan talipinggang kaledar adalah salah satu peraturan wajib namun begitu perlulah diingatkan bahawa tubuh manusia hanya boleh bertahan untuk impak tidak lebih daripada 30 km/j. Jadi sekiranya kita memandu laju lebih daripada 90 km/jam berkemungkinan besar kebarangkalian untuk kemalangan maut itu terlalu besar risikonya lebih-lebih lagi di jalanraya yang lurus.

Bersama-samalah kita menjadikan jalanraya itu bukan tempat untuk kita memandu uji tahap kepakaran kita dengan hadlaju yang tinggi sebaliknya beringatlah bahawa sebarang kemalangan yang berlaku akibat daripada ego kita itu juga sebenarnya membahayakan pengguna-pengguna yang lain.

Monday 23 January 2017

PRK N3 TANJUNG DATU


BUKAN lagi satu rahsia kerana ianya sudahpun ditetapkan oleh SPR bahawa rakyat di DUN N3 Tanjung Datu akan mula membuat pilihan siapakah yang akan mewakili suara mereka di DUN Sarawak kelak. Dimulai dengan penamaan calonn pada 4 Februari, undi pos 12 Februari dan tarikh pilihanraya sebenar pada tanggal 18 Februari 2017 ini. 
Setakat ini belum lagi ada pengesahan sebenar siapakah yang akan menjadi calon bagi PBB-BN di Tanjung Datu setelah perginya penyandangnya iaitu Allahyarham Tok Nan pada 11 Januari 2017 yang lepas.  Trek rekod Allahyarham di Tanjung Datu sememangnya mengkagumkan sehingga pada PRN ke-11 yang lepas, Allahyarham menang bergaya sehingga lawannya iaitu Jazolkipli Numan (PKR) tersungkur sehingga kehilangan wang deposit.  Inilah aura Team Adenan yang langsung tidak boleh disangkal sama sekali pada PRN yang lepas. 
Manakala di dunia media sosial pula corat-coret calon PRK Tanjung Datu sudahpun bermula usai sahaja tamat Hari Berkabung Sarawak pada hari Rabu yang lepas.  Dikala itu yang bertiup kencang merupakan kemungkinan besar isteri kepada Allahyarham Tok Nan iaitu Datin Patinggi Hajjah Jamilah Anu dikatakan bakal menjadi calon menggantikan suaminya.  Tidak kurang juga yang mencongak 2 anak lelaki Allahyarham Tok Nan iaitu Aziz Adenan dan Azizul Annuar Adenan harus diberikan peluang untuk meneruskan legasi kepimpinan ayahanda mereka di Tanjung Datu. 
Seperti yang diwar-warkan oleh MP Santubong yang juga merupakan Pengarah bagi PRK N3 Tanjung Datu untuk PBB-BN semalam menyatakan bahawa PBB Tanjung Datu telah mengusulkan 3 nama sebagai calon untuk bertanding di PRK N3 Tanjung Datu kelak. Siapakah yang empunya diri seperti di dalam cadangan PBB Tanjung Datu masih lagi tidak diketahui kerana hanya Ketua Menteri Abg. Jo yang mempunyai hak untuk memilih siapakah calon yang layak.
Jadi, sama-samalah kita tunggu pengumumannya kelak. 

Sunday 22 January 2017

LAGU LELAKI TERAGUNG “TRIBUTE TO TOKNAN” JUARA


PEMERGIAN Tok Nan cukup meninggalkan kesan yang paling dalam di setiap sanubari anak Sarawak.  Dan ianya tidak terkecuali dengan seorang penyanyi kelahiran Sarawak iaitu Dayang Nurfaizah binti Awang Dowty yang mana sejak awal-awal lagi telah mengwar-warkan bahawa lagunya iaitu “Lelaki Teragung” hasil nukilan Natasyah dan lirik oleh Iman Imran ditujukan khas buat Tok Nan yang dicintai pada finale Anugerah Juara Lagu yang ke-31 semalam. 

Walaupun tiada montaj yang dipaparkan kerana kesuntukan waktu dan dari awal-awal lagi Dayang sudah mengatakannya bahawa lagu itu akan dipersembahkan dengan jiwa yang suci murni hanya untuk Tok Nan.  Ianya tidak menjadi satu persoalan kerana mendengar beliau mendendangkannya sahaja kita sudah mengetahui betapa keikhlasan itu terserlah sehingga ramai anak Sarawak yang menyaksikannya di kaca televisyen semalam turut mengalirkan airmata. 

Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa Dayang begitu menyerlah persembahannya sehingga penonton di PWTC sendiri memberikan “standing ovation” usai beliau membuat persembahan.  Dan selayaknya penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini dinobatkan sebagai Vokal Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM12,000 untuk dirinya berserta piala.  Yang lebih manis lagi “Aura Tok Nan” mungkin telah menobatkan lagu “Tribute To Tok Nan” ini iaitu “Lelaki Teragung” turut dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu Yang ke-31.  Untuk kategori ini Dayang, Natasyah dan Iman Imran membawa pulang wang tunai RM50,000 dan piala. 

Tahniah diucapkan kepada Dayang Nurfaizah atas pencapaian terbaik ini dan semoga terus sukses di dalam karier. Teruslah melakar nama Sarawak Bumi Kenyalang di persada seni tanahair.  

Thursday 19 January 2017

KRISIS AIR DI DUN N16 MUARA TUANG





SEJAK beberapa hari ini akibat daripada paip pecah ada sesetengah perkampungan di kawasan N16 Muara Tuang tiada bekalan air mahupun air yang diterima terlalu sedikit kerana tekanan air yang rendah telah menimbulkan 1001 masalah kepada rakyatnya.  Kepayahan ini didengar oleh ADUN Muara Tuang yang telah mengambil inisiatif sendiri menggerakkan apa sahaja bantuan untuk meredakan kesulitan rakyat. 

Menurut sumber dari tanggal 17/1/2016 sehingga ke hari ini 1st Response Team N16 dengan diketuai oleh ADUN Muara Tuang sendiri telah turun padang dan mereka sedang berusaha sebaik mungkin menghulurkan bekalan air bersih kepada perkampungan yang terlibat.  Bantuan ini juga melibatkan kerjasama daripada badan-badan kerajaan seperti Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Bomba, JKR dan IADA KWB.  Bantuan berbentuk tong air juga disediakan dengan diisi air bagi disalurkan kepada pusat-pusat penempatan di perkampungan yang terlibat.  Lori-lori tangki baik daripada badan kerajaan mahupun swasta juga sedang digerakkan di dalam bentuk skala besar bagi meringankan kepayahan rakyat. 

Setakat hari ini antara kampung-kampung yang terlibat dan sudah diberikan bantuan adalah:

1.  Kampung Melayu
2.  Kampung Bangka Semong
3.   Kampung Niup
4.  Kampung Empila
5.  Kampung Sungai Mata
6.  Kampung Meranek
7.  Kampung Naie Baru
8.  Kampung Naie Lama
9.  Kampung Mang Lama
10. Kampung Mang Baru
11. Kampung Jaya Ria
12.  Kampung Nakong
13. Kampung Rimba Padi
14. Kampung Seniawan Jepun
15. Kampung Seniawan Seberang
16. Kampung Reban
17. Kampung Lubok Ria
18. Kampung Kuhas
19. Kampung Pati
20. Kampung Tanjung Parang
21. SK Mang
22. SK Niup
23. SK Mata Parang
24. Kampung Merang Baru
25. Kampung Merang Lama
26. Kampung Semawang

Terima kasih ADUN N16 Muara Tuang YB Dato’ Haji Idris bin Haji Buang dan seluruh jentera Pusat Komuniti N16 Muara Tuang dan badan-badan kerajaan yang berganding bahu membantu rakyat yang di dalam kepayahan.  Rakyat didahulukan di dalam segenap segi. 

Wednesday 18 January 2017

PENERBANGAN LANGSUNG LALUAN HK-KCH DIGANTUNG


DENGAN adanya penerbangan langsung daripada Negara-negara luar sudah tentu ianya akan merancakkan lagi industri pelancongan di Sarawak.  Ianya merupakan satu usaha yang memerlukan komitmen yang tinggi dari kerajaan Sarawak dengan syarikat penerbangan luar di dunia.   
Namun disebalik usaha itu agak mengecewakan kerana penerbangan langsung Hong Kong - Kuching yang baru beroperasi pada bulan Mei 2016  dikatakan akan menemui titik noktahnya. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Hong Kong Airlines semalam, mereka akan menggantung penerbangan HK-KCH bermula pada 25 Februari 2017 ini. 

Sudah tentu ianya merupakan satu tindakan yang akan merugikan lebih-lebih lagi setakat ini tidaklah diketahui alasan mereka berbuat demikian.  

Tuesday 17 January 2017

DIPENGHUJUNG HARI BERKABUNG SARAWAK




WALAUPUN sudah di hari-hari terakhir Hari Berkabung Sarawak atas perginya Allahyarham TokNan, rakyat Sarawak masih lagi bersedih dan terus-terusan mengadakan beberapa upacara mengikut agama dan tradisi masyarakat Sarawak yang pelbagai semata-mata untuk mengingati Allahyarham yang kita cintai.  Dari Tanjung Datu sehingga ke Limbang malah telah menyeberangi Laut China Selatan iaitu di tanah Malaya juga turut mengadakan upacara yang sama sepanjang tempoh ini.

Semalam bertempat di Pasar Medan Betong turut dibanjiri rakyat Betong yang bersama-sama ingin meluahkan kesedihan mereka.  Upacara bertafakur dan memasang lilin telah dimulai sekitar 7.30 malam sehingga menjelang tengah malam.  Mereka datang dari seluruh pelusuk Betong dengan berpakaian hitam atau gelap bagi menghormati hari perkabungan Tok Nan.

“Harimau mati meninggalkan belangnya. Manusia mati meninggalkan namanya”. Dan nama TokNan akan terpatri di dada setiap anak Sarawak sampai bila-bila. 


#AlfatihahTokNan 

Monday 16 January 2017

PRK TANJUNG DATU CABARAN PERTAMA KM ABG JO


TEPAT jam 9.10 pagi semalam menyaksikan KM Tan Sri Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari memasuki pejabat Ketua Menteri secara rasminya. Mungkin bukan satu pejabat yang asing bagi beliau namun untuk kali ini itulah pejabatnya secara rasmi selagi mendapat mandat dari rakyat Sarawak.

Di dalam pada itu corat coret dunia politik Sarawak juga galak dengan pelbagai cerita hangat lebih-lebih lagi apabila dikatakan usai sahaja tempoh 7 hari berkabong Negeri Sarawak iaitu berkemungkinan besar satu rombakan kabinet akan berlaku. Pelbagai congakan terhampar di media-media perdana mahupun sosial mengenai siapakah antara individu-individu politik yang mungkin akan diangkat menjadi Timbalan Ketua Menteri dan sebagainya.

Walau apapun jua, sebenarnya tugas berat dan yang lebih mencabar bagi KM Abg Jo adalah untuk mempertahankan kerusi DUN Tanjung Dato berikutan perginya TokNan yang tercinta beberapa hari yang lepas. Untuk rekod di ketika PRN Ke-11 2016, TokNan menang besar dengan jumlah undinya sebanyak 6,360 undi berbanding Jazolkipli (PKR) hanya meraih 468 undi. Serentak dengan itu juga Jazolkipli hilang wang depositnya. Dan keputusan PRN yang lepas sudah tentu dibayangi dengan “Demam Adenan” yang melanda tetapi untuk kali ini mungkin sesuatu yang berbeza.

Sama-samalah kita memberi ruang kepada KM Abg Jo untuk membiasakan dirinya menjadi nakhoda mengemudi bahteranya. Sebagai seorang “senior politician”, beliau sudah tentu tahu apa yang harus dilakukan seumpama kata bidalan lama “dalam berselam, cetek bertimba”.

Sunday 15 January 2017

PUSARA TOKNAN TERUS DIKUNJUNGI RAKYAT SARAWAK


LIMA hari sudah berlalu sejak Allahyarham TokNan meninggalkan kita semua.  Satu pemergian yang mengundang kepedihan yang cukup dalam bagi kita rakyat Sarawak.  Kenyalang terus berduka dengan tempoh berkabung selama 7 hari mengikut pengistiharan Kerajaan Negeri Sarawak.

Mengimbau cerita tanggal 12 Januari 2017, kita menyaksikan di dalam sejarah ribuan rakyat Sarawak tanpa mengira pegangan politik, kaum dan agama memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham TokNan telah mengatasi segalanya.  Dan untuk hari-hari seterusnya, pusara TokNan yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Jalan Semariang masih lagi dikunjungi oleh rakyat Sarawak dari pelbagai kaum dan agama.

Bukti betapa satu kepimpinan yang mendahulukan rakyat akan sentiasa diingati dan dihargai oleh rakyatnya walau baru sekejap memimpin kita semua. 


Kredit gambar: Christine Lyana Ramos

Thursday 12 January 2017

ABANG JOHARI KM SARAWAK KE-6


SEKALUNG tahniah diucapkan kepada YAB Datuk Amar Abang Johari bin Tun Abang Haji Openg atas perlantikan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ke-6.

Terkenal dengan gelaran Abg Jo dikalangan rakyat Sarawak, beliau merupakan anak kepada Tuan Gabenor Sarawak yang pertama iaitu Tun Abang Haji Openg. Berasal dari Kampung Bandarsyah, Kuching bukanlah seorang ahli politik yang asing di Sarawak. Orang lama di dalam dunia politik Sarawak sudah lama terserlah kepimpinannya dan penyabar orangnya. Itulah antara kriteria yang sukar untuk ditandingi di dalam mana-mana ahli politik di Sarawak.

Selamat berkhidmat Abg Jo dan semoga akan meneruskan segala legasi kepimpinan yang lepas untuk menjadikan A Better Sarawak.

HINA PEMERGIAN TOKNAN RAKYAT SARAWAK MARAH




MEMANG sesuatu yang menjengkelkan apabila Sarawak sedang bersedih atas pemergian pemimpin TokNan ada segelintir warga netizen menghina beliau secukupnya. Belum lagi usai dikebumikan sudah ada yang menjadi “taik politik” tidak tahu menghormati perasaan oranglain.

Sesungguhnya perbuatan seperti ini tidak harus dibiarkan dan sehingga semalam ada lebih kurang 37 laporan polis telah dibuat oleh rakyat Sarawak yang prihatin di seluruh Sarawak. Bertindak daripada itu juga sejak tengah malam 11/1/2017 satu penangkapan telah dibuat di Kuching dan satu lagi di Kuantan, Pahang yang mana menyaksikan suspek akan dibawa ke Sarawak untuk siasatan kelak. Dan beliau juga memberi jaminan akan banyak lagi tangkapan selepas ini. Itulah yang telah diwar-warkan oleh SAC Dato Dev Kumar sewaktu sidang medianya semalam.

Hal ini seperti sudah menjadi tular di media sosial kerana ada jenis manusia dangkal yang berani menghambur kata nista disebalik teknologi. Namun biar apapun jua alasan mereka, manusia seperti ini harus diajar dengan segala undang-undang yang ada biar mereka jangan sewenang-wenangnya menghina pemimpin yang sudah tiada. Allahyarham TokNan akan disayangi rakyatnya semasa hidup mahupun matinya.

Terima kasih PDRM atas tindakan yang cepat.


Nota: Screenshot yang dilampirkan adalah sebahagian daripada bukti mereka yang menghina pemergian TokNan. 

Wednesday 11 January 2017

TOKNAN..TERIMA KASIH UNTUK SEGALANYA!





PEMERGIANNYA sungguh mengejutkan Negara. Diratapi oleh segenap lapisan rakyat Sarawak yang punya kepelbagaian kaum dan agama. Buktinya ribuan yang memenuhi setiap ruang perkarangan Masjid Jamek mahupun di sepanjang jalan jenazah diiringi. Usah diperkata di dalam dunia media sosial, pelbagai cara rakyat Sarawak meluahkan kesedihan mereka.

Sebentar tadi usailah sudah persemadian kekal buat Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan bin Satem yang merupakan Ketua Menteri Sarawak yang menghembuskan nafasnya semalam di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan. Walau baharu memimpin Sarawak selama lebih kurang 3 tahun namun impaknya ke atas Sarawak Bumi Kenyalang sukar untuk digambarkan.

Tidak lama memimpin Sarawak namun beliau merupakan orang lama di dalam dunia politik Sarawak. Selepas ini setiap warga Sarawak akan merindui jenaka beliau bila berceramah. Tiada lagi oohaaa.. you o you.. yang begitu sinonim dengan kita semua sebagai rakyatnya. Dan yang pasti siapa juga yang menjadi bakal mewarisi legasi kepimpinannya harus sama par dengan apa yang ditinggalkan oleh TokNan. Harapan rakyat Sarawak begitu menggunung untuk melihat Sarawak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan kongsi di dalam Gagasan Malaysia.

Terima kasih kepada keluarga TokNan yang "meminjamkan" TokNan untuk kami rakyat Sarawak. Jasanya akan kami kenang sepanjang hayat. Kami akan ceritakan kepada anak cucu kami bahawa kami orang Sarawak pernah ada seorang pemimpin hebat berjiwa rakyat yang bernama TokNan. TokNan..Terima kasih untuk segalanya!

Semoga roh pemimpin terulung kami ini ditempatkan dikalangan para Ambiya dan para Syuhada. Al-Fatihah. Amin


#SarawakBerduka

#TokNanCMUntukSemua 

Tuesday 10 January 2017

SERPIHAN SERAMIK DINASTI QING DITEMUI DI KUCHING


SALAH satu bahan arkeologi jika kita hendak mendalami penghidupan zaman dahulu kala adalah dengan membuat kajian mengenai artifak-artifak lama yang ditemui di kawasan sekitarnya.  Dan siapa menduga penemuan beberapa serpihan seramik di kawasan sekitar Balai Polis Sentral, Kuching sejak beberapa hari ini mungkin boleh menguak cerita lampau Kuching suatu waktu dahulu. 
Setakat hari ini dikatakan sudah lebih 286 artifak lama ditemui oleh pekerja binaan di kawasan Kuching.  Artifak-artifak ini juga sudah diserahkan kepada pihak Muzium Sarawak untuk tujuan yang lebih lanjut.  Menurut pihak Kurator Muzium Sarawak antara yang ditemui adalah tembikar biru dan putih dari zaman Dinasti Qing yang pernah wujud sekitar kurun ke-17 Masihi. 
Masih tidak diketahui lagi apakah penemuan ini menandakan bahawa kawasan sekitar Padang Merdeka ini merupakan antara tapak pelabuhan lampau yang tidak kita ketahui. Namun sejarah kuno telah membuktikan bahawa Kuching juga antara Bandar perdagangan yang pernah wujud suatu ketika dahulu sehingga ramai saudagar-saudagar dari merata dunia datang untuk berniaga. 

Sumber gambar: Borneo Post 

Monday 9 January 2017

MOHD FAIZ MELAKAR NAMA DI PERSADA DUNIA


TUAH ayam Nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah kata bidalan Melayu lama namun begitu untuk tuah anak Malaysia bernama Mohd Faiz bin Subri juga ada kena mengena dengan kakinya apabila sepakan “emas” nya menjadikan beliau dinobatkan pemenang 2016 PUSKAS FIFA AWARD. Inilah pertama kalinya di dalam sejarah ada pemain bolasepak Malaysia mahupun Asia yang diberikan pengiktirafan sebegitu rupa.

Mohd Faiz bin Subri dilahirkan pada 8 November 1987 di Ayer Hitam, Kedah Darul Aman merupakan anak ketiga di dalam lima adik beradik. Memulakan alam persekolahan di SK Tengku Laksamana dan seterusnya ke SMK Permatang Bonglai dan SMT Arau, Perlis. Memulakan karier sebagai pemain bolasepak professional sekitar tahun 2006 apabila terpilih mewakili Kedah untuk pasukan belianya. Selepas itu beliau sudah tidak memandang ke belakang lagi apabila terus maju di dalam sukan pilihan ini apabila turut terpilih mewakili Negara sekitar tahun 2015.

Sepakan percuma penuh bersejarah beliau lakarkan ketika pertemuan Penang FA melawan Pahang FA pada sekitar Februari 2016 telah membuatkan dunia terpesona. Bukan senang untuk membuat sepakan seperti itu begitulah kenyataan daripada ramai pakar sukan di dunia. Dek kerana itulah akhirnya beliau berjaya memenangi pengiktirafan dunia melalui 2016 PUSKAS FIFA AWARD kategori tendangan gol paling terbaik.

Tahniah Mohd Faiz bin Subri kerana mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan bolasepak dunia. Sekurang-kurangnya kejayaan ini berjaya membuka lembaran baru di dalam sukan bolasepak Malaysia untuk tahun 2017 setelah ramai peminat sukan bolasepak Malaysia kecewa dengan prestasi dan ranking sukan bolasepak yang ada sekarang. 

CURI WAYAR RUMAH UNTUK BELI BEKALAN SYABU




KEJADIAN mencuri kabel sememangnya antara gejala kecurian yang banyak terjadi di seluruh Negara.  Dan hal ini seolah-olah sukar untuk dibendung lebih-lebih lagi banyak kedai-kedai barangan lusuh membelinya dalam harga yang agak mahal. 

Semalam di Bintulu berlaku satu adegan penangkapan yang melibatkan 3 orang pencuri kabel yang juga warga tempatan di Tapak Perkuburan Islam Kamunting, Bintulu.  Keberadaan mereka telah menimbulkan kecurigaan kepada anggota polis lebih-lebih lagi tanpa berselindung hasil curi mereka turut dibawa bersama secara terbuka. 

Difahamkan setelah soal siasat awal dilakukan, ketiga-tiga mereka mengaku bahawa mereka baru sahaja selesai mencuri wayar di sebuah rumah kampung di kawasan Kamunting. Diceritakan juga bahawa segala penghasilan curi mereka adalah untuk membeli dadah jenis syabu.

Dadah itu musuh Negara. 


Sunday 8 January 2017

TAMBAHAN 11 PROJEK TEBATAN BANJIR DAN HAKISAN DI SARAWAK


ISU seperti hakisan sungai banyak membelenggu kawasan-kawasan pedalaman di Sarawak.  Ditambah lagi fenomena alam yang bertukar juga menyaksikan banyak kawasan di Sarawak terdedah dengan ancaman banjir dan sebagainya.   

Usaha daripada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia yang juga Ahli Parlimen Santubong iaitu Datuk Ser Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar telah menyaksikan banyak projek untuk mentadbirurus hal ini diperuntukkan buat Sarawak Bumi Kenyalang.  Baru-baru ini sekali lagi Kerajaan Malaysia telah meluluskan 11 lagi projek baharu dengan pertambahan kos sebanyak RM95.4 juta. 

Ini bermakna bagi melengkapkan segala infrastruktur ini Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan secara totalnya sebanyak RM736.4 juta yang merangkumi 28 projek yang akan dilaksanakan di dalam tempoh 2016 hingga 2020 iaitu projek yang dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia ke-11. 

Antara projek-projek baharu yang mencakupi kos tambahan ini adalah termasuk RTB Kampung Bako, Kampung Beradek Semilang dan RTB Stakan.  Bagi projek 2017 pula mencakupi kawasan Mukah seperti projek hakisan Kuala Oya, Sungai Batang Oya di Pekan Sabtu Oya serta Batang Balingian. 

Inilah antara bukti Kerajaan sentiasa mendahulukan rakyat dan sentiasa mengambilkira kerisauan dan kesusahan rakyat lebih-lebih lagi apabila satu musibah alam tidak diduga berlaku di Sarawak.