Sunday, 22 January 2017

LAGU LELAKI TERAGUNG “TRIBUTE TO TOKNAN” JUARA


PEMERGIAN Tok Nan cukup meninggalkan kesan yang paling dalam di setiap sanubari anak Sarawak.  Dan ianya tidak terkecuali dengan seorang penyanyi kelahiran Sarawak iaitu Dayang Nurfaizah binti Awang Dowty yang mana sejak awal-awal lagi telah mengwar-warkan bahawa lagunya iaitu “Lelaki Teragung” hasil nukilan Natasyah dan lirik oleh Iman Imran ditujukan khas buat Tok Nan yang dicintai pada finale Anugerah Juara Lagu yang ke-31 semalam. 

Walaupun tiada montaj yang dipaparkan kerana kesuntukan waktu dan dari awal-awal lagi Dayang sudah mengatakannya bahawa lagu itu akan dipersembahkan dengan jiwa yang suci murni hanya untuk Tok Nan.  Ianya tidak menjadi satu persoalan kerana mendengar beliau mendendangkannya sahaja kita sudah mengetahui betapa keikhlasan itu terserlah sehingga ramai anak Sarawak yang menyaksikannya di kaca televisyen semalam turut mengalirkan airmata. 

Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa Dayang begitu menyerlah persembahannya sehingga penonton di PWTC sendiri memberikan “standing ovation” usai beliau membuat persembahan.  Dan selayaknya penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini dinobatkan sebagai Vokal Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM12,000 untuk dirinya berserta piala.  Yang lebih manis lagi “Aura Tok Nan” mungkin telah menobatkan lagu “Tribute To Tok Nan” ini iaitu “Lelaki Teragung” turut dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu Yang ke-31.  Untuk kategori ini Dayang, Natasyah dan Iman Imran membawa pulang wang tunai RM50,000 dan piala. 

Tahniah diucapkan kepada Dayang Nurfaizah atas pencapaian terbaik ini dan semoga terus sukses di dalam karier. Teruslah melakar nama Sarawak Bumi Kenyalang di persada seni tanahair.  

No comments:

Post a Comment