Wednesday, 4 January 2017

BOMBA, API, ASAP DAN KANSER


BILA ada yang hilang di hutan, kelibatnya mesti ada. Bila ada kucing atau binatang yang perlukan pertolongan, bantuannya sentiasa tiba.  Dan apatah lagi bila berlaku kebakaran kerana disitulah mereka beraksi dengan gagahnya.  Boleh dikatakan hampir segenap kecemasan yang wujud di dunia ini, keringat mereka sentiasa dituntut.  Itulah anggota Bomba dan Penyelamat yang menjadi hero realiti yang sering kita lupakan kewujudan mereka. 

Walaupun disebalik tiada pujian ini semua, setiap anggota Bomba sentiasa bersiaga dan mereka akan terus menjalankan tanggungjawab mereka selagi nyawa dikandung badan.  Sang api adalah musuh mereka dan sang asap pula itulah udara mereka yang sering disedut biarpun banyak gejalanya ke atas mereka.
 
Mungkin ramai tidak tahu bahawa telah ada bukti perubatan kukuh yang mana menunjukkan bahawa anggota Bomba antara yang berisiko mendapat kanser paling tinggi iaitu sekitar 63% di dalam mana-mana karier di dunia.  Namun disebalik penyataan itu belum ada langkah-langkah pro-aktif dengan meminta mereka membuat pemeriksaan kesihatan yang lebih berkala untuk membendungnya. 

Jika baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri sebagai Menteri KDN menyatakan bahawa semua kategori anggota polis akan dihantar untuk pemeriksaan perubatan setahun sekali jadi tiada salahnya sekiranya anggota Bomba juga diberi perhatian yang sama. Untuk rekod, prosedur kesihatan Bomba hanya bersandarkan pemeriksaan setahun sekali bagi yang berumur 40 tahun ke atas sahaja.  Sudah tentu ianya sesuatu yang tidak masuk akal bagi kita semua sedangkan yang muda (dibawah umur 40 tahun) juga turut terdedah kepada bahaya yang sama.   

Anggota Bomba juga sandaran Negara walaupun tidak mengangkat senjata TETAPI dituntut keringatnya apabila rakyat dan Negara di dalam musibah.  Kebajikan mereka juga harus dijaga.   


Nota: Terima kasih kepada En. Abu Shahidal bin Abu Bakar, seorang anggota Bomba di Sarawak yang membantu RP untuk artikel ini.   

No comments:

Post a Comment