Sunday, 29 January 2017

ADENAN SATEM INTERNATIONAL AIRPORT DAN GELARAN PEHIN SRI


SUDAH ada suara-suara rakyat Sarawak yang mahukan Allahyarham Tok Nan namanya diangkat bagi menghormati segala jerih perihnya berjasa kepada Sarawak selama ini.  Warga netizen sejak dari hari ketiadaannya sudah melaungkan hal yang sama.  Banyaklah cadangan lokasi mahupun bangunan yang dikatakan sesuai untuk diberikan nama Allahyarham Tok Nan. 

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Batang Sadong iaitu YAB Dato’ Seri Hajjah Nancy Syukri telah mengwar-warkan bahawa beliau menyokong usaha untuk menamakan Jambatan Batang Sadong untuk ditukar kepada nama Jabatan Adenan Satem.  Tiada siapa boleh menafikan bagaimana usaha daripada Tok Nan juga antara yang menjadi penjana kepada perlaksanaan jambatan terpanjang di Sarawak ini.

Namun di dalam corat-coret penamaan nama Adenan Satem mungkin ada baiknya juga untuk kita melihat penamaan yang lebih berimpak internasional.   Tiada salahnya untuk kita memohon Kerajaan Negeri Sarawak bagi menamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ditukar kepada nama Lapangan Terbang Antarabangsa Adenan Satem atau Adenan Satem International Airport dengan singkatannya ASIA.  Jika kita mengimbau usaha Tok Nan selama ini yang benar-benar mahu mengangkat martabat Sarawak di mata dunia, kawasan lapangan terbang inilah yang layak untuk mengambil sempena namanya kerana disinilah autonomi Sarawak bermula.  Gerbang untuk dunia memasuki Sarawak dan tanpa adanya keizinan Kerajaan Sarawak tiada siapa boleh melintasinya. 

Selain itu di dalam kita mengenang segala jasa yang dilakukan oleh Allahyarham biarpun memimpin Sarawak hanya selama hampir 3 tahun namun banyak telah dilakukan.  Juga disarankan agar Kerajaan Negeri Sarawak menganugerahkan gelaran Pehin Sri kepada Allahyarham Tok Nan.  Setakat hari ini hanya seorang sahaja individu Sarawak yang memegang gelaran itu iaitu Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud yang merupakan Tuan Gabenor Sarawak dan mantan Ketua Menteri Sarawak ke-4.
 
Untuk pengetahuan semua, gelaran Pehin Sri bukan hanya dianugerahkan oleh Kerajaan Negara Brunei Darussalam tetapi juga ada di Sarawak melalui penganugerahan darjah kebesaran Satria Bintang Sarawak.  Barangsiapa yang dianugerahkan dengan gelaran ini secara automatiknya memegang Pehin Sri pada pangkal namanya.  Ianya adalah anugerah tertinggi di dalam Kerajaan Negeri Sarawak sejak dahulu lagi. 

Mungkin cadangan ini boleh dipertimbangkan kerana ianya adalah untuk mengenang jasa Allahyarham Tok Nan yang kita cintai.

No comments:

Post a Comment