Wednesday, 11 January 2017

TOKNAN..TERIMA KASIH UNTUK SEGALANYA!





PEMERGIANNYA sungguh mengejutkan Negara. Diratapi oleh segenap lapisan rakyat Sarawak yang punya kepelbagaian kaum dan agama. Buktinya ribuan yang memenuhi setiap ruang perkarangan Masjid Jamek mahupun di sepanjang jalan jenazah diiringi. Usah diperkata di dalam dunia media sosial, pelbagai cara rakyat Sarawak meluahkan kesedihan mereka.

Sebentar tadi usailah sudah persemadian kekal buat Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan bin Satem yang merupakan Ketua Menteri Sarawak yang menghembuskan nafasnya semalam di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan. Walau baharu memimpin Sarawak selama lebih kurang 3 tahun namun impaknya ke atas Sarawak Bumi Kenyalang sukar untuk digambarkan.

Tidak lama memimpin Sarawak namun beliau merupakan orang lama di dalam dunia politik Sarawak. Selepas ini setiap warga Sarawak akan merindui jenaka beliau bila berceramah. Tiada lagi oohaaa.. you o you.. yang begitu sinonim dengan kita semua sebagai rakyatnya. Dan yang pasti siapa juga yang menjadi bakal mewarisi legasi kepimpinannya harus sama par dengan apa yang ditinggalkan oleh TokNan. Harapan rakyat Sarawak begitu menggunung untuk melihat Sarawak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan kongsi di dalam Gagasan Malaysia.

Terima kasih kepada keluarga TokNan yang "meminjamkan" TokNan untuk kami rakyat Sarawak. Jasanya akan kami kenang sepanjang hayat. Kami akan ceritakan kepada anak cucu kami bahawa kami orang Sarawak pernah ada seorang pemimpin hebat berjiwa rakyat yang bernama TokNan. TokNan..Terima kasih untuk segalanya!

Semoga roh pemimpin terulung kami ini ditempatkan dikalangan para Ambiya dan para Syuhada. Al-Fatihah. Amin


#SarawakBerduka

#TokNanCMUntukSemua 

No comments:

Post a Comment