Sunday 31 July 2016

MAJLIS PENUTUPAN RASMI SUKMA XVIII GEMILANG


SARAWAK hos SUKMA XVIII yang terbaik… inilah antara kata-kata yang diucapkan oleh ramai atlet mahupun pegawai SUKMA di dalam memperkatakan betapa gilang gemilangnya SUKMA XVIII berlangsung dari 23-31 Julai 2016.  Semalam pula majlis penutupan rasminya mengambil tempat yang menyaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mewakili Perdana Menteri Malaysia membuat perasmian penutupannya di Stadium Sarawak. 
Walaupun kontinjen SUKMA Sarawak hanya menduduki tempat kedua dan tidak melepasi target yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak, namun begitu ianya bukanlah menjadi persoalan pokok.  Ini kerana pencapaian atlet-atlet Sarawak juga tidak kurang hebatnya dengan memberikan saingan yang terbaik serta ada beberapa acara yang tidak disenaraikan kita mampu mengukir pingat tetapi mampu melakukannya. 
Johan keseluruhan SUKMA XVIII pada kali ini adalah kontinjen Selangor Darul Ehsan dengan pungutan pingat sebanyak 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa.  Pada kali ini juga menyaksikan Khairul Hafiz Jantan, atlet trek dan balapan dari Melaka yang menjadi legendanya tersendiri kerana berjaya memecahkan rekod 18 tahun acara 100m menjadi miliknya sekaligus dinobatkan sebagai pelari terpantas di Malaysia sekarang.  Pencapaiannya ini membolehkan beliau dinobatkan sebagai Olahragawan SUKMA XVIII manakala Nur Aqilah Yusuf yang juga atlet memanah dinobatkan menjadi Olahragawati SUKMA XVIII. 
Untuk itu, tahniah diucapkan kepada semua kontinjen SUKMA XVIII Sarawak kerana telah menunjukkan semangan kesukanan yang tinggi.  Terima kasih kerana menjadi sudi bertamu di Sarawak dan semoga segala memori digenggam kukuh di kotak ingatan sepanjang berkampung di Sarawak. 
Untuk sukarelawan dan juga pihak penganjur SUKMA XVIII Sarawak, tahniah dan syabas kerana menjadikan SUKMA XVIII Sarawak ini menjadi yang terbaik serta gilang-gemilang. Kita berlangsung dari SUKMA Perak pula menjelang tahun 2018.   



Thursday 28 July 2016

MAJLIS RAMAH MESRA AIDILFITRI PBB ZON KUCHING 2016




SUDAH menjadi satu tradisi bagi PBB Sarawak menganjurkan Majlis Ramah Mesra Aidilfitra PBB mengikut zon saban tahun. Semalam, 28 Julai 2016 telah diadakan majlis yang sama iaitu untuk zon Kuching.  
Terserlah kemeriahan suasana majlis ramah mesra aidilfitri ini dengan bukan sedikit jemputan yang datang yang rata-ratanya adalah penyokong setia parti dan barisan menteri kabinet negeri serta veteran-veteran PBB. Ianya sudah tentu sebagai satu simbol bahawa PBB Sarawak itu walau pemimpin datang dan pergi namun ianya tetap sejiwa senada memperjuangkan kesatuan rakyat Sarawak apa adanya. 
Kesibukan tugas menjalankan tugasan mentadbir Sarawak dilupakan seketika dan kesemua mereka bertegur sapa bertanya khabar selain bertukar-tukar fikiran disamping mencuba bakat terpendam iaitu mendendangkan lagu. Dengan iringan band live, MP Puan Hajjah Nancy Shukri, Yang Berbahagia Tan Sri Ahmad Urai serta ramai lagi yang mengalunkan lagu adalah antara pemanis di dalam acara majlis yang meriah tetapi tetap sederhana ini.

SK SAYED OTHMAN, SEKOLAH YANG USANG


BILA berbicara tentang sekolah usang di Sarawak sudah tentu kita sebagai rakyatnya dapat membayangkan makna “usang” itu sendiri. Ini kerana masih banyak lagi sekolah-sekolah di luar Bandar yang umpama hidup segan mati tidak mahu. Namun kerana kita mengetahui betapa pendidikan itu sesuatu yang utama maka tiada pilihan selain daripada terus menimba ilmu di sekolah seperti ini. 
Walau pernah mendapat perhatian sehingga memungkin pada tanggal 26 Jun 2016 menjadi tajuk akhbar tempatan, SK Sayed Othman yang dibina pada tahun 1962 yang mana bangunan sekolahnya sedang usang dimamah anai-anai sehingga sekarang masih lagi belum mendapat apa yang dijanjikan.  
Natijahnya anak-anak yang sedang menimba ilmu di sekolah ini terdedah pada seribu satu bencana yang boleh berlaku bila-bila masa. SK Sayed Othman hanya salah satu daripada banyak sekolah usang di Sarawak yang memerlukan pembelaan yang segera. 
Janganlah kita tunggu sehingga ada kemalangan jiwa barulah kita berduyun-duyun melihat kawasan bencana kerana seelok-eloknya mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Sudah-sudahlah memberi harapan umpama menanam tebu di tepi bibir.

Tuesday 26 July 2016

HADIAH ISTIMEWA PENUTUPAN SUKMA XVIII SARAWAK

KEGEMILANGAN majlis perasmian SUKMA XVIII masih lagi terasa kerana ianya menjadi buah mulut seluruh rakyat Malaysia yang melabelkannya sebagai yang terbaik pernah disaksikan di Malaysia.  Belum cukup dengan itu, pihak penganjur sudah mula membuat pencaturan untuk majlis penutupannya yang dijangka berlangsung pada 31 Julai 2016 ini. 
Jika majlis perasmian menyaksikan kereta jenis Honda Jazz menjadi milik pemuda bertuah yang berasal dari Kampung Tanjung Bundong, Kota Samarahan manakala untuk majlis penutupan pula kereta Perodua MYVI dan AXIA menjadi hadiah istimewa pemenang cabutan bertuah pada malam itu.  Bukan itu sahaja, penganjur juga turut memberikan 3 buah motosikal berjenama Demak serta basikal LERUN EVO RACe, laptop jenama ACER, televisyen LED 32 inci serta telefon pintar SAMSUNG J5. 
Sungguh mewah hadiah cabutan bertuah yang boleh dikatakan inilah julung-julung kali penganjuran SUKMA di Malaysia yang menjanjikan hadiah-hadiah seperti ini untuk orangramai.  Memang tidak dinafikan kesemua ini adalah janji Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adenan yang mahukan Sarawak menjadi penganjur paling terbaik di dalam sejarah Sukan Malaysia. 
Jadi kepada rakyat Sarawak jangan lupa untuk datang beramai-ramai pada majlis penutupan ini nanti yang dijadualkan akan menerima kedatangan Perdana Menteri Malaysia berserta dengan barisan kabinet yang lain. 

Monday 25 July 2016

PUSAT JANTUNG HOSPITAL UMUM SARAWAK, KOTA SAMARAHAN


DI KALANGAN rakyat Sarawak ianya dikenali dengan nama IJN Kota Samarahan kerana disinilah berpusatnya segala cara untuk permasalahan kesihatan yang melibatkan jantung. Salah satu daripada organ penting untuk seorang manusia kerana jika ianya tidak berkeadaan baik maka seribu musibah boleh berlaku. 

Mengimbau suatu waktu dahulu, jika ada permasalahan mengenai kesihatan jantung ianya menjadi satu kepayahan kepada rakyat Sarawak misalnya kerana sudah tentu ke Kuala Lumpur juga akhirnya memandangkan disanalah berpusat segala kemudahan yang ada.  Ini kerana yang disediakan di Hospital Umum Sarawak pada masa itu terlalu terhad serta ruang yang tidak cukup kerana terpaksa berkongsi dengan jabatan-jabatan yang lain. 

Pada tahun 2011 akhirnya Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak mendapat bangunannya tersendiri yang mana telah memberikan seribu satu rahmat kepada rakyat Sarawak.  Dengan kemudahan 6 bilik bedah, sebuah makmal kardiologi, 10 mesin dialysis dan radio-terapi berserta dengan 166 katil dengan kemudahan 102 katil bagi penjagaan am , 34 jagaan harian, 18 ICU, 12 VIP dan 11 jagaan harian membuktikan bahawa Pusat Jantung HUS mampu menawarkan perkhidmatan 5 bintang kepada rakyat. 

Dan jika dahulu rakyat Sarawak terpaksa berbelanja besar kerana kos rawatan ke Kuala Lumpur boleh mencecah sehingga ribuan ringgit tetapi di sini bayaran minimumnya adalah RM5 dan caj RM3 semalam. 

Jadi pada mereka yang sering berkata bahawa Kerajaan itu tidak perihatin adalah satu kenyataan yang wajar kita tentang.  Mungkin ramai yang lupa jasa Pusat Jantung HUS ini sejak ianya ditubuhkan pada tahun 2011 lagi. 

AUTONOMI SARAWAK BUKAN HENDAK KELUAR MALAYSIA


AUTONOMI untuk Sarawak sememangnya antara isu yang menjadi tarikan sekarang.  Ianya bukan sahaja menjadi bual bicara rakyat Sarawak malah juga seluruh Malaysia kerana ramai yang ingin melihat sejauhmana “keikhlasan” Putrajaya atas pengembalian hak autonomi ini.  

Di dalam corat coret segala usaha yang diatur Datuk Adenan yang boleh dikatakan umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung pula tidak berselerakkan ini sebenarnya menuntut satu kerjasama dari seluruh rakyat Sarawak.  Ini kerana kefahaman mengenai bidang kuasa autonomi ini harus diperjelaskan baik kepada rakyat Sarawak mahupun rakyat Malaysia sekalipun. 

Sudah beberapa kali Datuk Adenan mengwar-warkan bahawa apa yang diusahakan ini adalah bagi menuntut hak Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.  Ianya sama sekali tidak bermaksud untuk membawa Sarawak “KELUAR” dari Malaysia.  

Dan sewaktu sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai 2016 yang lalu, Datuk Adenan sekali lagi menekankan hal yang sama.  Malah pada kali ini beliau juga turut berjanji walau apa juga halangan, beliau dan Kerajaan Negeri Sarawak akan terus mendesak Putrajaya menghormati hak autonomi Sarawak sehingga tercapai.  

Sunday 24 July 2016

KEMERIAHAN PERASMIAN SUKMA SARAWAK XVIII BERTARAF “OLIMPIK”




“PERASMIAN Sukma Sarawak XVIII bertaraf Olimpik” .. itulah kata-kata daripada pengantara SUKMA Sarawak XVIII yang bersiaran langsung dari Stadium Sarawak malam sabtu lepas, 23 Julai 2016.  Tiada yang lebih membanggakan daripada itu kerana itulah yang menjadi harapan setiap rakyat Sarawak.  Sarawak setakat ini belum pernah menghampakan apabila berbicara tentang penganjurannya.

Bersaksikan ribuan rakyat Sarawak dan para atlet dari perbagai negeri di Malaysia serta ribuan penonton siaran langsungnya sudah tentu dapat merasai betapa meriahnya suasana penganjurannya.  Kontinjen SUKMA Sarawak penuh gagah perkasa membarisi perjalanan masuk kontinjen-kontinjen yang lain bersama-sama dengan mascot SUKMA yang unik dan comel.

Harapan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Adenan untuk Sarawak mengulangi prestasi terbaik 1990 menjadi juara keseluruhan sudah tentu menjadi azimat buat team Sarawak.  Setakat pukul 10 malam tadi, Sarawak sedang mendahului senarai pungutan pingat dengan 20 emas, 12 perak dan 20 gangsa sudah tentu menjadi satu amaran buat kontinjen negeri yang lain.

Tahniah atas kecemerlangan untuk upacara perasmian yang gilang-gemilang buat penganjur SUKMA Sarawak XVIII.  Pastikan kecemerlangan juga terus diterjemahkan dengan senarai pungutan pingatnya di sepanjang kejohanan berlangsung.

72 Gold For Sarawak, We Must!  

UPACARA PENGEBUMIAN MANGSA TRAGEDI BUNUH KAMPUNG BARU




KITA dikejutkan dengan berita sedih yang menimpa 3 sekeluarga di Kampung Baru, Samarahan baru-baru ini. Pelbagai spekulasi bertiup kencang di media massa seolah-olah mereka lebih tahu daripada Polis.
Hakikatnya yang sebenarnya berlaku adalah mereka merupakan mangsa pembunuhan kejam oleh manusia bertopengkan syaitan.
Baru sebentar tadi upacara pengebumian 3 sekeluarga ya malang ini dapat dizahirkan setelah usai autopsi polis. Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.
Salam takziah untuk seluruh keluarga dan sahabat handai 3 sekeluarga ini. Sama-sama kita berdoa agar si pembunuh durjana dapat ditangkap dan diadili dengan seberat-beratnya.  

Alfatihah. Amin.

Tuesday 19 July 2016

HARI SARAWAK, 22 JULAI 2016


SATU tarikh keramat yang dinanti-nantikan hampir setengah abad lamanya.  Hari ini, 22 Julai 2016 akhirnya ianya diiktiraf sebagai cuti umum malah sudah digazetkan sebagai hari kemerdekaan Sarawak.  Ramai yang mempunyai pandangan yang skeptikal mengenai tarikh ini tetapi walau apapun jua, 53 tahun dahulu tarikh ini mempunyai sejarahnya tersendiri di dalam pembentukan Sarawak yang merdeka dan berkerajaan sendiri.

Bermula dari tarikh itu juga segala bentuk dan perancangan pentadbiran Sarawak telah diserahkan oleh kolonial British kepada kabinet negeri pertama yang dianggotai sepenuhnya oleh anak Sarawak.  Mereka ini terdiri daripada James Wong Kim sebagai Timbalan Ketua Menteri, Abdul Taib Mahmud (Menteri Kerja Raya dan Komunikasi), Dustan Endawai (Menteri Kerajaan Tempatan), Teo Kui Seng (Menteri Sumber Alam) dan Awang Hipni Pengiran Anu (Menteri Negeri).

Sebelum membentuk Gagasan Malaysia, Sarawak telah menyenaraikan beberapa syarat untuk dipersetujui bersama dan ianya dilakukan bagi menjaga kepentingan Sarawak apabila Malaysia ditubuhkan pada tanggal 16 September 1963.  Inilah yang kita kenali sebagai Sarawak Berautonomi seperti yang sedang diusahakan oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Adenan sekarang.  Ianya bukan omongan atau sengaja untuk mengada-ngada kerana ianya tercatit di dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Inter-Government Committee (IGC Report).

Walau apa jua nama panggilannya tanamkanlah di minda kita dan ajari anak-anak kita bahawa hari ini 22 Julai adalah hari kita, Hari Sarawak.  Julanglah tinggi-tinggi bendera Sarawak walau dimana sahaja anak Sarawak berada.  Fahamilah maknanya dan hormatilah segala perjuangan datuk nenek kita di dalam merealisasikan Sarawak itu merdeka dari cengkaman penjajah.

Selamat Menyambut Hari Sarawak, 22 Julai 2016
x

JEMPUTAN TERBUKA UNTUK DUA ACARA BERGANDA




PADA Julai 2016 ini merupakan bulan yang meriah bagi seluruh rakyat Sarawak.  Ini kerana pada bulan inilah 2 acara berganda sedang berlangsung di Sarawak Bumi Kenyalang.  Untuk 2 acara ini segalanya sudah siaga dan kita hanya menghitung hari bagi meraikannya.   
Dua acara berganda ini adalah:


1.  Majlis Sambutan Hari Sarawak, 22 Julai 2016 (Jumaat)

Setelah 53 tahun menunggu, akhirnya Sarawak akan merayakan Hari Sarawak iaitu satu tarikh yang menyaksikan Sarawak diurustadbir oleh anak watan Sarawak sendiri daripada pihak koloni British.  Dengan usaha Ketua Menteri Sarawak akhirnya 22 Julai ini diiktiraf juga malah ianya adalah cuti umum bagi Sarawak Bumi Kenyalang. 

Majlis sambutan Hari Sarawak ini akan diadakan di sebelah pagi pada 22 Julai 2016 di Tebingan Kuching.  Ianya akan dihadiri oleh TYT Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud berserta dengan kabinet dan pemimpin Kerajaan Negeri Sarawak.  Pelbagai acara telah dirancang untuk menghormati hari bersejarah Sarawak ini. 



2.   Majlis Perasmian SUKMA XVIII, 23 Julai 2016 (Sabtu)

SUKMA XVIII sudahpun berlangsung dan majlis perasmiannya akan diadakan pada hari Sabtu, 23 Julai 2016 bertempat di Stadium Sarawak jam 7.00 petang.  Pelbagai acara penuh warna-warni telahpun dirancang bagi memastikan bahawa penganjuran SUKMA pada kali ini adalah yang terbaik pernah diadakan.  



Untuk itu, jemputan terbuka ini adalah untuk semua rakyat Sarawak agar bersama-sama memeriahkan suasana.  Dan adalah diingatkan untuk sentiasa datang awal ke venue yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan. 

PERJUANGAN BARU BERMULA SUKMA XVIII SARAWAK




“PERPADUAN Dalam Kepelbagaian Kaum” itulah motto untuk Sukan Malaysia edisi XVIII yang secara rasminya akan bermula dari 22 hingga 31 Julai ini.  Namun begitu ada sesetengah acara sudahpun bermula semalam seperti acara gimrama, taekwando serta banyak lagi. 
Untuk penganjuran edisi XVIII kali ini menyaksikan 24 acara sukan dipertandingkan dengan 19 acara adalah sukan wajib manakala 5 lagi adalah sukan pilihan.  Sebagai penganjur, Sarawak sudah siaga semua baik dari venue-venue sukan mahupun petugas-petugasnya.  Untuk venue sukan pula bukan sahaja di Kuching malah juga ada sesetengah acara dipertandingkan di Samarahan, Sibu dan Miri. 
Bagi melancarkan lagi penganjuran seramai 620 sukarelawan telahpun memulakan tugasan mereka mengikut kategori sukan mereka.  Dan seperti biasanya ketibaan atlet-atlet dari pelbagai negeri yang datang lebih awal bagi proses memanaskan badan dan suaikenal turut diatur dan pada kali ini kampus UNIMAS adalah perkampungan sukan SUKMA Sarawak XVIII. 
Dan baru sahaja membuka tirai semalam, nampak gayanya Sarawak sudahpun menunjukkan taringnya apabila emas pertama Sarawak sudah mampu digondol oleh pasukan taekwando yang mana acaranya diadakan di Miri, Sarawak.  Dan kita menaruh harapan agar Sarawak mampu menjadi “Johan” pada edisi kali ini bagi meneruskan kecemerlangan tahun-tahun yang sudah. 
Selamat Datang ke Sarawak diucapkan kepada kesemua atlet-atlet SUKMA pelbagai negeri di Malaysia. Dan untuk pasukan SUKMA Sarawak diucapkan selamat maju jaya dan perjuangan kalian baru sahaja bermula.  Teruskanlah langkah perwira anak Sarawak di dalam medan sukan dengan berpegang pada kata-kata keramat Agik Idup Agik Ngelaban!


Nota: Teaser artikel sekitar acara gimrama di Kuching yang disaksikan oleh Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga, YB Puan Sharifah Hasidah Bte Sayed Aman Ghazali. 

Monday 18 July 2016

POLISI PENDIDIKAN MALAYSIA YANG “TERUMBANG-AMBING”


BILAMANA bertukar sahaja portfolio Menteri Pendidikan Malaysia maka sudah pasti polisi pendidikan di Malaysia juga akan turut bertukar.  Itulah kenyataan yang tidak dapat dinafikan di dalam mencorakkan sistem pendidikan di Malaysia.  Ianya sesuatu yang mengecewakan kerana boleh dikatakan warga pelajar baharu sahaja hendak menyesuaikan diri akhirnya silibus pembelajaran juga turut terbabit sama. Belum lagi dengan warga pendidik yang terpaksa “berlari tidak cukup tanah” hanya untuk memastikan segala misi dan visi tercapai. 
Datuk Adenan sebagai pemimpin Sarawak dari awal-awal lagi sudah memperkatakan kekesalan beliau mengenai polisi pendidikan Malaysia ini dan sekali lagi beliau memperjelaskan untuk kali ini Kerajaan pimpinannya tidak akan memberi toleransi langsung kepada setiap polisi pendidikan yang hendak dibuat.  Beliau akan memastikan bahawa Sarawak akan turut serta di dalam setiap pembikinannya kerana hampir setengah abad, sistem pendidikan di Sarawak masih lagi ditakuk yang lama malah lebih jauh daripada apa yang dinikmati di Semenanjung Malaysia. 
Untuk Sarawak, kita sendiri begitu maklum bagaimana keadaan polisi yang terumbang-ambing ini telah menjadi duri di dalam daging bagi menterjemahkan pembelajaran anak-anak kita.  Belum lagi dengan isu infrastruktur sekolah lebih-lebih lagi di pedalaman yang umpama hidup segan mati tidak mahu.  Berapa banyak sekolah-sekolah daif yang dari tahun ke tahun menanti bajet atau peruntukan untuk ditambahbaik. 
Apa yang diperkata oleh Datuk Adenan ada benarnya kerana jika kita sendiri membiarkan Putrajaya berbuat sewenang-wenangnya maka anak kita akan “hanyut” dengan mainan politik mereka yang tiada kesudahannya.  Konsep “bersyukur” itu sudah ketinggalan zaman dan yang ada sekarang adalah “hak kita” sebagai rakyat Malaysia.  

Sunday 17 July 2016

STARBUCK COFFEE SIBU TERBESAR DI SARAWAK


MUNGKIN agak klise bagi kita kerana ramai yang berkata hanya yang mampu sahaja akan mengunjungi café ini.  Tetapi disebalik banyak kenyataan sinis ini kita tidak boleh menidakkan bahawa ianya adalah trend muda mudi sekarang untuk memilih café berstatus internasional seperti Starbuck Coffee. 

Starbuck Coffee merupakan rangkaian café yang mempunyai signaturenya tersendiri iaitu adunan kopi import dari pelbagai Negara di dunia.  Dimiliki sepenuhnya oleh Berjaya Coffee Company Sdn Bhd yang beribupejabat di Kuala Lumpur dibawah pegangan lesen oleh Starbuck Coffee International.  Operasinya di Malaysia bermula pada tahun 1998 dan sekarang sudahpun mempunyai lebih 190 cawangan di seluruh Malaysia. 

Sibu, Sarawak mempunyai keistimewaan tersendiri apabila Starbuck Coffee Sibu yang akan beroperasi di 1E, Lorong Pipit 4, Pekan Sibu kelak merupakan yang terbesar pernah didirikan di Sarawak.  Terbesar di Sarawak dan telahan lagi ianya dibuka di Sibu sudah tentu kita teruja mendengarnya.  

Dan sudah tentu pihak pengurusan Starbuck tidak akan membuat sedemikian rupa jika tidak mempunyai perancangan yang teliti. Sibu dipilih kerana mempunyai potensinya yang amat besar yang kita sendiri tidak melihatnya.   

Thursday 14 July 2016

PENERBANGAN MALAYSIA MH17


2 tahun sudah berlalu, namun tragedi hitam dunia penerbangan ini akan tetap utuh di memori kita semua sebagai rakyat Malaysia.  Tanggal 17 Julai 2014 menyaksikan seluruh dunia bersedih apabila sebuah pesawat awam yang didalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur tidak sampai ke destinasinya.  Ianya terhenti di Torez, Donetsk Oblast, Ukraine kerana telah terhempas akibat ditembak dari darat.

Mengimbau kembali peristiwa pada tahun 2014 ini adalah satu tahun yang cukup sedih bagi rakyat Malaysia kerana sebelum itu sebuah pesawat milik MAS turut juga hilang iaitu MH370.  Belum lagi selesai proses pencarian pesawat malang itu, pada 17 Julai iaitu 3 bulan selepas MH370, MH17 pula mengisi cerita. Ianya adalah tragedi hitam berganda untuk semua rakyat Malaysia.  

Pelbagai cerita mengisi ruang media sosial pada ketika itu dan pada tanggal 22 Ogos 2014, Hari Berkabong Malaysia pula menuruti kronologinya kerana pada hari itulah seluruh Malaysia bertafakur serentak bagi memberi penghormatan terakhir untuk 20 jenazah rakyat Malaysia yang akhirnya berjaya menjejaki tanahair mereka.  Namun ketibaan mereka hanya di dalam keranda dengan disaluti bendera Malaysia.  Satu kepulangan yang diiringi dengan linangan airmata daripada seluruh rakyat Malaysia pada ketika itu. 

Tragedi hitam MH17 menjadi tragedi terburuk penerbangan awam dunia dan ianya berlaku ke atas satu pesawat awam milik Malaysia.  Sehingga sekarang belum ada pembelaan atas kematian mereka kerana Rusia telah menggunakan kuasa vetonya untuk membatalkan resolusi Malaysia yang mahu mengetengahkan bicara ke Tribunal Antarabangsa PBB. 

Diharap Malaysia tidak akan pernah berputus asa untuk membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.  Tragedi hitam penerbangan MH17 akan tetap dikenang sepanjang zaman.
  
Alfatihah dan RIP untuk 284 penumpang dan anak kapal MH17. 


#TragediMH17 

HAJJAH NANCY SHUKRI BERPINDAH PORTFOLIO


ANTARA barisan kabinet Putrajaya yang lantang bersuara adalah Ahli Parlimen Batang Sadong iaitu Puan Hajjah Nancy Shukri.  Beliau yang juga seorang peguam sebelumnya telah diberikan tugasan yang sesuai dengan kepakarannya iaitu sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri berportfoliokan Bahagian Perundangan. 
Dan sekarang atas kepercayaan berdasarkan kecemerlangan tugasannya, Puan Hajjah Nancy telah dipindahkan untuk mengendali pula portfolio Menteri yang bertanggungjawab keatas 6 agensi dibawah Jabatan Perdana Menteri.  Agensi-agensi baru dibawah jurisdiksi beliau sekarang adalah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Sabah, Agensi Inovasi Malaysia (AIM), Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan Agensi Nuklear Malaysia.  
Sementara itu, portfolio perundangan pula diisi oleh seorang lagi menteri yang mempunyai latar pendidikan undang-undang iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Pengerang.  Sebelum ini Datuk Seri Azalina juga menjawat Menteri Belia dan Sukan (2004-2008) dan Menteri Pelancongan (2008-2009). 
Melihat kepada agensi-agensi yang menjadi tanggungjawab Hajjah Nancy ini adalah diharap beliau akan dapat membantu Kerajaan Negeri Sarawak terutamanya di dalam menaiktaraf sistem kemudahan bas awam di Sarawak yang rata-ratanya masih lagi ditakuk yang lama.
Tahniah dan selamat maju jaya Puan Hajjah Nancy Shukri, MP Batang Sadong.

Tuesday 12 July 2016

BEKALAN AIR BERSIH DI PEDALAMAN SARAWAK


ISU bekalan air bersih merupakan salah satu isu infrastruktur yang sentiasa mewarnai penghidupan masyarakat di pedalaman Sarawak.  Dari dahulu sehingga sekarang ianya masih lagi menjadi impian setiap penduduknya. 
Ada ketika kita sendiri lelah untuk berkata apa kerana sentiasa ada sahaja yang tidak kena apabila berbicara persoalan ini.  Seringkali yang dicanangkan bahawa bekalan air bersih sudahpun disalurkan dan kemudahan sedia untuk digunakan.  Namun disebalik cerita indah ini mesti ada lagi hal yang kurang enak didengar.  Kepala paipnya ada tetapi airnya setitik pun tidak keluar atau paipnya ada tetapi airnya lebih baik lagi menggunakan air sungai.
Dan baru-baru ini penduduk Kampung Tebelu, Sebuyau pula menyatakan ketidakpuasan hati mereka sehingga pihak media turut berkampung di sana.  Sebenarnya bukan hanya penduduk Kampung Tebelu yang marah malahan banyak lagi kampung-kampung di pendalaman dijanjikan dengan hal seperti ini. 
Dalam pada itu dahulu sekitar April 2016, Kerajaan Negeri Sarawak menyatakan bahawa isu bekalan air bersih boleh diselesaikan dengan adanya satu kaedah inisiatif yang dinamakan dengan Sistem Ultrafiltration yang mana diusahakan sendiri oleh pasukan kejuruteraan Universiti Malaya dan UNIMAS serta dibangunkan oleh Malaysia Innovation Hub.  Jadi mengapa kaedah inisiatif ini tidak diperluaskan lagi bagi kesenangan rakyat di pedalaman Sarawak?
Kita akur Sarawak ini terlalu luas sehingga banyak lagi kemudahan infrastruktur yang perlu kita perbaiki namun janganlah pihak yang bertanggungjawab terus menjadikan ini satu alasan kerana ianya benar-benar menyusahkan rakyat.  Mandat telah diberikan dan tibalah masanya merealisasikan segala janji yang ditaburkan.
53 tahun merdeka, Sarawak masih lagi berbangga dengan peruntukan tong biru 1 Malaysia.  Sampai bila?  

ATLET SUKAN PERAHU LAYAR SUKMA SARAWAK MAUT


TINGGAL beberapa hari lagi, kita akan menyaksikan Sukan Malaysia XVIII yang akan berlangsung di Sarawak pada 22 – 31 Julai 2016.  Segala persiapan sudah pun siaga bagi menyambut sukan terbesar di Malaysia ini. 
Namun disebalik segala persiapan ini, kita berdukacita apabila mendapat perkhabaran bencana yang menimpa 2 atlet SUKMA Sarawak yang menemui ajalnya apabila terlibat di dalam kemalangan jalanraya di  Jalan Marina Bay, Miri semalam, 11 Julai 2016.  Dua atlet yang terlibat adalah Mohammad Syafiq Halias dan Muhammad Syafiq Hasnan.  Kedua-duanya berusia 15 tahun dan berasal dari Miri, Sarawak. 
Difahamkan mereka merupakan atlet sukan perahu layar dan ketika kejadian mereka di dalam perjalanan untuk menghadiri latihan di pelabuhan kapal layar yang terletak tidak jauh dari kawasan kemalangan.  Penunggang motosikal iaitu Muhammad Syafiq Halias maut di tempat kejadian manakala pemboncengnya iaitu Muhammad Syafiq Hasnan cedera ringan dan dikejar ke Hospital Miri untuk mendapat rawatan. 
Ianya adalah satu kehilangan besar untuk pasukan perahu layar SUKMA Sarawak.  Salam takziah untuk keluarga Allahyarham Muhammad Syafiq Hasnah. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan para syuhada dan mereka yang beriman.
Al-Fatihah. Amin.

Monday 11 July 2016

SARAWAK SEBUAH "NEGARA"


NEGARA Sarawak itulah terma yang dilaung-laungkan oleh rakyat Sarawak sekarang lebih-lebih lagi golongan mudanya.  Hasil daripada aspirasi rakyat yang mahukan autonomi sepenuhnya diberikan kembali inilah yang membuatkan Team Adenan menang bergaya ketika PRN ke-11 Mei 2016 lalu. 

Dan tanpa menunggu lama, Datuk Adenan seperti yang beliau janjikan telah berkunjung ke Putrajaya untuk berbincang mengenai kuasa autonomi Sarawak ini.  Menurut sidang akhbar yang bersama diantara Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Menteri Sarawak tempohari membuktikan bahawa Sarawak berada di landasan yang betul.  

Di sebalik segala semangat autonomi untuk Sarawak ini, tiba-tiba muncul pula wira dari PKR iaitu Naib Pengerusi PKR Sarawak, See Chee How yang menempelak Presiden SUPP iaitu Dr Sim Kui Hian apabila kenyataan Dr Sim yang menyatakan jangan diperlekehkan status “Negara” Sarawak.  Menurut Naib Pengerusi PKR Sarawak ini, status Sarawak adalah sebuah negeri menurut apa yang diperkatakan di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Pelik tapi benar dan itulah kenyataan daripada pemimpin PKR Sarawak yang pernah suatu waktu dahulu melaung-laungkan Deklarasi Kuching yang antara intipatinya hendak mengembalikan status autonomi kepada Sarawak. Di kala rakyat Sarawak menunggu debaran ini, PKR Sarawak telah cuba menunjukkan “U-Turn” mereka sejajar dengan arahan bos mereke dari Semenanjung Malaysia. 

Mungkin See Chee How terlupa bahawa setiap satu perkara yang berkaitan tentang autonomi ini mempunyai sejarahnya tersendiri termasuklah Perjanjian Malaysia 1963.  Dan mengapa Datuk Adenan menubuhkan Jawatankuasa Autonomi Sarawak kerana segalanya harus diperhalusi.  Antaranya adalah status Sarawak itu sendiri seperti perbezaan perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1963 dan kemudian ditukar pada tahun 1970an.

1.  1st draft of the Constitution when the Federation of Malaysia was established:

Article 1: The Federation shall be known, in Malay and in English, by the name Malaysia

Article 2: The States of the Federation shall be:-

(a)  The States of Malaya, namely Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Selangor and Trengganu. 

(b)  The Borneo States, namely, Sabah and Sarawak; and

(c)   The State of Singapore.


2.  In the 1970s, the Constitution was subsequently amended to:

Article 1:  The Federation shall be known, in Malay and in English, by the name Malaysia

Article 2:  The States of the Federation shall be Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor and Trengganu.


Sarawak sebagai 1 daripada 3 pembentuk Gagasan Malaysia dengan 1 daripada 13 negeri di dalam Malaysia ada perbezaannya.

Friday 8 July 2016

HINANYA AIDILFITRI DI MATA MP TAIPING


TRADISI kanak-kanak berkunjung dari rumah ke rumah merupakan amalan yang mewarnai perayaan sambutan Aidilfitri di Malaysia.  Namun di mata seorang ahli parlimen Taiping iaitu Nga Kor Ming ianya seperti satu benda yang dipolitikkan bagi menunjukkan lagi sikap beliau yang mengamalkan politik “desperado”. 

Manakan tidak satu karikatur yang dimuatnaik di laman facebooknya pada 5hb Julai 2016 yang mengaitkan pemberian duit raya kepada kanak-kanak dan tetamu ketika hariraya sebagai rasuah malahan juga dikatakan menerima “dedak”. Mungkin juga MP Taiping lupa bahawa di dalam adat kaum Tionghua juga mempunyai pemberian “angpau”.  

Bolehkah pemberian angpau juga disamakan dengan memberi rasuah. Atau mungkin juga parti-parti yang bersekongkol dengan DAP selama ini seperti PKR dan PAN yang rata-ratanya juga turut dianggotai pemimpin dari masyarakat Islam yang sudah tentu memberi duit raya kepada kanak-kanak juga turut dikatakan memberikan rasuah?

Tindakan MP Taiping ini sebenarnya menghina serta merendah-rendahkan perayaan masyarakat yang berbilang bangsa di Malaysia.  Mungkin selepas ini Nga Kor Ming akan membuat kenyataan bahawa laman facebooknya digodam seperti selalunya.  Biasalah baling batu sembunyi tangan ini memang kepakarannya.