Tuesday, 12 July 2016

BEKALAN AIR BERSIH DI PEDALAMAN SARAWAK


ISU bekalan air bersih merupakan salah satu isu infrastruktur yang sentiasa mewarnai penghidupan masyarakat di pedalaman Sarawak.  Dari dahulu sehingga sekarang ianya masih lagi menjadi impian setiap penduduknya. 
Ada ketika kita sendiri lelah untuk berkata apa kerana sentiasa ada sahaja yang tidak kena apabila berbicara persoalan ini.  Seringkali yang dicanangkan bahawa bekalan air bersih sudahpun disalurkan dan kemudahan sedia untuk digunakan.  Namun disebalik cerita indah ini mesti ada lagi hal yang kurang enak didengar.  Kepala paipnya ada tetapi airnya setitik pun tidak keluar atau paipnya ada tetapi airnya lebih baik lagi menggunakan air sungai.
Dan baru-baru ini penduduk Kampung Tebelu, Sebuyau pula menyatakan ketidakpuasan hati mereka sehingga pihak media turut berkampung di sana.  Sebenarnya bukan hanya penduduk Kampung Tebelu yang marah malahan banyak lagi kampung-kampung di pendalaman dijanjikan dengan hal seperti ini. 
Dalam pada itu dahulu sekitar April 2016, Kerajaan Negeri Sarawak menyatakan bahawa isu bekalan air bersih boleh diselesaikan dengan adanya satu kaedah inisiatif yang dinamakan dengan Sistem Ultrafiltration yang mana diusahakan sendiri oleh pasukan kejuruteraan Universiti Malaya dan UNIMAS serta dibangunkan oleh Malaysia Innovation Hub.  Jadi mengapa kaedah inisiatif ini tidak diperluaskan lagi bagi kesenangan rakyat di pedalaman Sarawak?
Kita akur Sarawak ini terlalu luas sehingga banyak lagi kemudahan infrastruktur yang perlu kita perbaiki namun janganlah pihak yang bertanggungjawab terus menjadikan ini satu alasan kerana ianya benar-benar menyusahkan rakyat.  Mandat telah diberikan dan tibalah masanya merealisasikan segala janji yang ditaburkan.
53 tahun merdeka, Sarawak masih lagi berbangga dengan peruntukan tong biru 1 Malaysia.  Sampai bila?  

No comments:

Post a Comment