Thursday, 14 July 2016

PENERBANGAN MALAYSIA MH17


2 tahun sudah berlalu, namun tragedi hitam dunia penerbangan ini akan tetap utuh di memori kita semua sebagai rakyat Malaysia.  Tanggal 17 Julai 2014 menyaksikan seluruh dunia bersedih apabila sebuah pesawat awam yang didalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur tidak sampai ke destinasinya.  Ianya terhenti di Torez, Donetsk Oblast, Ukraine kerana telah terhempas akibat ditembak dari darat.

Mengimbau kembali peristiwa pada tahun 2014 ini adalah satu tahun yang cukup sedih bagi rakyat Malaysia kerana sebelum itu sebuah pesawat milik MAS turut juga hilang iaitu MH370.  Belum lagi selesai proses pencarian pesawat malang itu, pada 17 Julai iaitu 3 bulan selepas MH370, MH17 pula mengisi cerita. Ianya adalah tragedi hitam berganda untuk semua rakyat Malaysia.  

Pelbagai cerita mengisi ruang media sosial pada ketika itu dan pada tanggal 22 Ogos 2014, Hari Berkabong Malaysia pula menuruti kronologinya kerana pada hari itulah seluruh Malaysia bertafakur serentak bagi memberi penghormatan terakhir untuk 20 jenazah rakyat Malaysia yang akhirnya berjaya menjejaki tanahair mereka.  Namun ketibaan mereka hanya di dalam keranda dengan disaluti bendera Malaysia.  Satu kepulangan yang diiringi dengan linangan airmata daripada seluruh rakyat Malaysia pada ketika itu. 

Tragedi hitam MH17 menjadi tragedi terburuk penerbangan awam dunia dan ianya berlaku ke atas satu pesawat awam milik Malaysia.  Sehingga sekarang belum ada pembelaan atas kematian mereka kerana Rusia telah menggunakan kuasa vetonya untuk membatalkan resolusi Malaysia yang mahu mengetengahkan bicara ke Tribunal Antarabangsa PBB. 

Diharap Malaysia tidak akan pernah berputus asa untuk membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.  Tragedi hitam penerbangan MH17 akan tetap dikenang sepanjang zaman.
  
Alfatihah dan RIP untuk 284 penumpang dan anak kapal MH17. 


#TragediMH17 

No comments:

Post a Comment