Monday, 18 July 2016

POLISI PENDIDIKAN MALAYSIA YANG “TERUMBANG-AMBING”


BILAMANA bertukar sahaja portfolio Menteri Pendidikan Malaysia maka sudah pasti polisi pendidikan di Malaysia juga akan turut bertukar.  Itulah kenyataan yang tidak dapat dinafikan di dalam mencorakkan sistem pendidikan di Malaysia.  Ianya sesuatu yang mengecewakan kerana boleh dikatakan warga pelajar baharu sahaja hendak menyesuaikan diri akhirnya silibus pembelajaran juga turut terbabit sama. Belum lagi dengan warga pendidik yang terpaksa “berlari tidak cukup tanah” hanya untuk memastikan segala misi dan visi tercapai. 
Datuk Adenan sebagai pemimpin Sarawak dari awal-awal lagi sudah memperkatakan kekesalan beliau mengenai polisi pendidikan Malaysia ini dan sekali lagi beliau memperjelaskan untuk kali ini Kerajaan pimpinannya tidak akan memberi toleransi langsung kepada setiap polisi pendidikan yang hendak dibuat.  Beliau akan memastikan bahawa Sarawak akan turut serta di dalam setiap pembikinannya kerana hampir setengah abad, sistem pendidikan di Sarawak masih lagi ditakuk yang lama malah lebih jauh daripada apa yang dinikmati di Semenanjung Malaysia. 
Untuk Sarawak, kita sendiri begitu maklum bagaimana keadaan polisi yang terumbang-ambing ini telah menjadi duri di dalam daging bagi menterjemahkan pembelajaran anak-anak kita.  Belum lagi dengan isu infrastruktur sekolah lebih-lebih lagi di pedalaman yang umpama hidup segan mati tidak mahu.  Berapa banyak sekolah-sekolah daif yang dari tahun ke tahun menanti bajet atau peruntukan untuk ditambahbaik. 
Apa yang diperkata oleh Datuk Adenan ada benarnya kerana jika kita sendiri membiarkan Putrajaya berbuat sewenang-wenangnya maka anak kita akan “hanyut” dengan mainan politik mereka yang tiada kesudahannya.  Konsep “bersyukur” itu sudah ketinggalan zaman dan yang ada sekarang adalah “hak kita” sebagai rakyat Malaysia.  

No comments:

Post a Comment