Sunday, 5 February 2017

3 PERSONALITI CALON ADUN N03 TANJUNG DATU


SUDAH terjawab semuanya apabila pada Sabtu lepas sahih menyaksikan pertembungan 3 penjuru akan berlaku pada PRK N03 Tanjung Datu.  Seawal hari penamaan calon sebenarnya menyaksikan 4 individu yang membuat pencalonan namun hanya 3 yang melepasi saringan apabila calon bebas iaitu Encik Asbor Abdullah seorang bekas tentera yang dahulunya bergiat aktif di dalam DAP dibatalkan pencalonannya kerana masalah bankrupsi.
Dengan SPR sudah menetapkan tarikh pengundian awal adalah pada 12 Februari manakala hari pengundian sebenar pada tanggal 18 Februari 2017 ini bermakna setiap calon mempunyai masa 14 hari untuk berkempen.  DUN Tanjung Datu mempunyai daftar pemilih yang mengandungi 9,959 pengundi berdaftar dengan pemilih biasanya adalah seramai 9,771 orang manakala 188 pengundi di kategorikan sebagai pengundi awal.  Dan N03 Tanjung Datu seperti yang dimaklumi adalah kubu kuat BN/PBB dan sejak di PRN 2006 lagi, Allahyarham Tok Nan mengungguli rekod sebagai pemimpin Tanjung Datu yang cukup lama tanpa kalah dalam setiap musim pilihanraya. 
Dan seperti yang sedia maklum, pertembungan 3 penjuru di PRK N03 Tanjung Datu ini melibatkan 3 parti politik dengan calon-calonnya pula adalah Datin Patinggi Datuk Amar Hajjah Jamilah binti Haji Anu (PBB/BN), Johnny Bob ak Aput (STAR) dan Rapelson Richard Hamit (PBDS Baru). 

Datin Patinggi Datuk Amar Hajjah Jamilah binti Haji Anu (PBB/BN)
Barisan Nasional Sarawak menampilkan seorang calon yang cukup tidak asing lagi di dunia Tanjung Datu kerana beliaulah balu kepada penyandang sebelumnya iaitu Allahyarham Tok Nan yang dicintai oleh rakyat Sarawak.  Berusia 62 tahun dan lahir pada 14 Ogos 1955 di Kampung Buso, Bau, Sarawak.  Ibu kepada 2 anak ini merupakan tiang sandaran Tok Nan sepanjang Allahyarham mengemudi kepimpinan Sarawak dan Tanjung Datu selama ini. 
Lulusan Diploma Sains Kesetiausahaan dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah ini begitu terkenal dengan sifatnya yang dermawan.  Beliau unggul menerajui beberapa pertubuhan bukan kerajaan di Sarawak seperti Yayasan Jaznan (Milik keluarganya), Matron untuk PPIM, PERKATA, Persatuan Pengasuh & Pendidikan Awal Kanak-kanak, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sarawak serta Pengerusi SABATI. 
Boleh dikatakan pemilihan DPDA Hajjah Jamilah sebenarnya adalah bertepatan memandangkan beliau sudah sebati dengan Tanjung Datu dan dikenali oleh rakyatnya sejak dahulu lagi.  Walaupun untuk kali ini, beliau tidak turun berkempen kerana masih di dalam eddah namun visi dan misinya akan disampaikan kepada rakyat Tanjung Datu melalui anak-anak dan keluarga serta jentera BN Sarawak yang akan turun berkempen menemui rakyat untuknya. 

Johnny Bob ak Aput (STAR)
STAR sebagai parti tempatan Sarawak pula mempertaruhkan Johnny Bob ak Aput yang berusia 54 tahun.  Seorang anak Bidayuh yang berasal dari Paon Rimu, Serian.  Di dalam dunia politik STAR, beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Parti. 
Setakat ini yang diketahui, Johnny Bob tidaklah begitu dikenali oleh rakyat di Tanjung Datu dan nampak gayanya beliau harus berkempen untuk mengwar-warkan dirinya dengan lebih berkesan.  Namun begitu misi dan visi yang dibawa oleh Johnny Bob begitu dekat di hati rakyat iaitu Autonomi seperti yang dicatitkan di dalam Perjanjian Malaysia 1963.  Ianya hampir sama dengan apa yang diperjuangkan oleh Allahyarham Tok Nan selama ini sehingga setiap apa yang dilakukannya sememangnya menjadikan aspirasi bagi setiap anak Sarawak. 

Rapelson Richard Hamit (PBDS Baru)
Berasal dari Siburan dan ayah kepada seorang anak ini masih muda iaitu 31 tahun usianya.  Seorang aktivis sosial yang sememangnya agak terkenal di dalam menyuarakan hak Dayak di dalam Native Customary Rights (NCR Land).  Pemegang Ijazah Sains Politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ini bukanlah asing di dalam dunia politik Sarawak memandangkan pada PRK Ke-11 lepas, beliau mewakili Parti Amanah Nasional (PAN) di N26 Gedong. Pada PRK itu, beliau hanya mendapat 699 undi sementara calon bebas Uja Bansi mendapat 396 undi.  BN/PBB pula pada waktu itu yang diwakili oleh Datuk Mohd Naroden Majais menang majoriti dengan 4,064 undi. 
Kali ini bertanding bukan dibawah panji PAN sebaliknya sebuah parti tempatan iaitu Parti Baru Dayak Sarawak sememangnya sesuatu yang agak songsang dengan perjuangannya sebelum ini.  Namun begitu sebagai aktivis sosial, Rapelson tetap dengan misi dan visinya memperjuangkan tanah NCR lebih-lebih lagi isu “Pemakai Menoa” dan “Pulau Galau” sememangnya satu isu yang mendapat tempat di hati pengundi Dayak.  Namun sekali lagi adakah beliau dikenali oleh rakyat Tanjung Datu yang pelbagai kaum dan budaya turut akan memainkan peranan yang penting sepanjang berkempen kelak. 

Bolehlah dirangkumkan bahawa ketiga-tiga personaliti ini mempunyai kekuatan masing-masing dari segi visi dan misi yang dibawa untuk tatapan dan perjuangan rakyat di Tanjung Datu.  Cuma kekuatan DPDA Hajjah Jamilah agak terserlah kerana beliau sudah cukup dikenali di Tanjung Datu malah dikatakan mendapat mandate sendiri dari penyokong PBB di akar umbi sementara kedua-dua calon dari PBDS dan STAR masih lagi cuba untuk berjingkit-jingkit menguak pintu hati pengundi di Tanjung Datu. 
Negara Malaysia sebuah Negara demokrasi dan kita semua menghormati setiap calon yang bertanding di N03 Tanjung Datu.  Rakyat Tanjung Datu sudah semestinya tahu apa yang mereka mahukan kerana legasi pemerintahan Tok Nan yang cemerlang itu terletak di tangan mereka. 
Gendang bertandak sudah dipalu
Rentak tari janganlah sumbang
Bertingkahlah di dalam semangat bersatu
Sarawak akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

No comments:

Post a Comment