Saturday, 5 March 2016

KESULITAN WATSON DIDENGAR DATUK ADENAN

TIADA siapa menyangka disebalik kecekalan seorang anak Sarawak yang mengabadikan dirinya untuk sukan trek Malaysia, Watson Nyambek yang lebih dikenali dengan jolokan “The Flying Dayak” tersimpan seribu kesulitan di dalam penghidupannya. Namun beliau seperti seadanya tidak pernah meminta-minta dan beliau harungi penghidupannya bersama keluarganya tercinta dengan penuh tabah.
Di dalam beberapa hari ini "viral" mengenai beliau yang berkemungkinan besar akan diistihar bangkrup jika beliau tidak boleh membayar wang pinjaman yang beliau gunakan untuk kos sakit kanser mendiang ayahnya. Dan itulah pengorbanan seorang anak untuk ayahandanya yang sememangnya patut kita puji.
Dengan pendapatan beliau yang hanya menjadi jurulatih untuk pelari-pelari muda anak Sarawak apalah sahaja yang hendak diperkatakan. Beliau telan segala kesulitan sendirian kerana umum mengetahui sehingga ke saat ini pembelaan kepada pemegang rekod pelari terpantas Malaysia ini tidak begitu memberangsangkan.
Bertindak daripada itu, apabila Ketua Menteri Sarawak mengetahui kesulitan pelari legenda kelahiran Sarawak ini, tanpa berfikir lama telah menjanjikan beliau dan Kerajaan Sarawak akan membantu segala kesulitan Watson Nyambek ini. Menurut Datuk Adenan jasa yang dicurahkan oleh Watson Nyambek ini amat besar dan beliau tidak wajar dibiarkan bersendirian. Inilah sifat terpuji Datuk Adenan yang memang seringkali menjadi orang pertama yang menghulurkan bantuan tanpa ada memperdulikan protokol yang penuh dengan birokrasi dan sebagainya.
Apa yang berlaku kepada Watson Nyambek ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kesemua lapisan pemimpin di Sarawak untuk sentiasa peka dengan masalah anak buah mereka. Janganlah ditunggu isu ini menjadi viral barulah kesemuanya hendak menunjukkan muka. Jika individu "sebesar" Watson Nyambek boleh menerima nasib sebegini, bayangkan kesulitan rakyat jelata yang tidak punya apa-apa.
Terima kasih Datuk Adenan dan Kerajaan Negeri Sarawak yang peka dan bertindak cemerlang tampil membantu pelari legenda Sarawak ini. Kita juga amat berharap agar saudara Watson Nyambek akan terus berjuang untuk bersama-sama melahirkan Watson Nyambek "Junior" untuk acara trek dan balapan di Malaysia.

No comments:

Post a Comment