Saturday 19 March 2016

RUMAH TRADISI KAUM BIDAYUH


KAUM Bidayuh juga dikenali sebagai “Land Dayak” merupakan etnik kedua terbesar selepas kaum Iban di Sarawak.  Dikenali dengan nama “Land Dayak” kerana suatu waktu dahulu penempatan mereka terletak jauh ke pedalaman dan tanah tinggi untuk tujuan keselamatan agar sukar untuk dikesan oleh musuh. 

Seperti kaum Iban yang terkenal dengan senibina rumah panjangnya, masyarakat Bidayuh juga turut mempunyai rumah panjang tradisi yang agak berbeza sedikit daripada masyarakat Iban. 

Kebiasaannya atap rumah panjang kaum Bidayuh diperbuat daripada atap rumbia atau sagu manakala dindingnya pula diperbuat daripada buluh.  Pelantar atau lantai rumah panjangnya pula diperbuat daripada papan atau buluh dan struktur tiangnya diperbuat daripada jenis kayu yang tahan lama iaitu kayu belian. 

Rumah panjangnya pula terbahagi kepada 3 bahagian iaitu ruangan bilik utama, awah dan tanju.  Bilik utama merupakan ruang utama kediaman yang mana disinilah akan diletakkan barangan peribadi keluarga seperti gong, tempayan, tembikar dan sebagainya.  Ianya juga berfungsi sebagai tempat tidur bagi sesuatu keluarga.

Awah pula adalah bahagian pelantar terletak di luar rumah tradisi kaum Bidayuh dan ianya bolehlah disamakan dengan ruangan verandah untuk kediaman moden sekarang.  Di Awah inilah kebiasaannya para wanita Bidayuh akan melakukan kerja harian mereka seperti menganyam serta bergaul sesama komuniti masyarakat Bidayuh.  Awah juga merupakan satu tempat untuk mereka mengadakan majlis selepas upacara keagamaan atau adat.

Tanju pula adalah satu ruangan yang terdedah di luar rumah tradisi kaum Bidayuh.  Ianya adalah ruangan terbuka dan kebiasaannya digunakan untuk menjemur hasil pertanian kaum Bidayuh seperti padi, lada dan banyak lagi. 

Pada dasarnya rumah tradisi kaum Bidayuh agak sama dengan fungsi rumah panjang kaum Iban Cuma keunikan dan perbezaannya terletak pada rumah Baruk.  Baruk mempunyai senibina yang unik seperti rumah bulat dan disinilah sebenarnya menjadi nadi kepada musyawarah kaum Bidayuh. 

Baruk dikategorikan sebagai rumah adat yang mana disinilah segala upacara keagamaan serta tradisi kaum Bidayuh bermula.  Di Baruk juga akan diletakkan tengkorak-tengkorak kepala musuh yang dipenggal suatu waktu dahulu dipamerkan. 


No comments:

Post a Comment