Tuesday, 8 March 2016

KEKUATAN SEMANGAT MEREKA BINA HARAPAN



SEBAIK perahu merapati tebingan sungai, tersilap langkah dan hampir tersungkur di atas lantai jeti yang licin akibat gelodak lumpur dibawa arus Sungai Batang Lupar. Teringat papan tanda amaran AWAS BUAYA!

Satu persatu informasi mengenai sekolah tertua yang kedudukannya berada di sebuah pulau ini mengisi bicara takala meneruskan langkah di atas titian papan.

Terkedu seketika apabila diberitahu sebelum dipasang pagar, setiapkali air pasang besar, buaya naik ke daratan dan santai di atas padang sekolah, menghadap sungai.

Kunjungan ke Sekolah Rendah Pulau Seduku yang terletak di kawasan pilihanraya DUN N28 Lingga disambut mesra 25 orang pelajar cilik berusia tujuh sehingga 12 tahun. Tanpa rasa segan pelajar lelaki mempamerkan kelincahan luarbiasa mereka walau ini pertemuan pertama kalinya.

Sebaik melangkah ke asrama sekolah, terbayang katil bujang dua tingkat cukup selesa buat adik~adik yang terpisah dari ibu bapa mereka semata~mata untuk menimba ilmu, di pulau yang berada ditengah sungai yang terkenal dengan fenomena alam semulajadinya iaitu benak namun digeruni oleh kekerapan kelibat buaya ganas keturunan Bujang Senang.

Sekali lagi, kehilangan kata~kata melihat persekitaran bilik asrama yang terpaksa dikongsi penghuninya dengan hanya dua katil besar yang setiap satunya menempatkan beberapa pelajar, tidur bersusun memanjang.

Gambaran klisenya seperti ikan sardin! Asrama pelajar perempuan tidak berbeza keadaannya dengan asrama lelaki. Cuma yang ketara di pandangan mata, cadar asrama perempuan berwarna merah jambu dan lelaki pula, warna oren.

Sukar membayangkan di sebalik gelagat lincah adik~adik lelaki dan santunnya tingkahlaku adik~adik perempuan ini, mereka sudah didedahkan dengan gaya hidup berdikari pada usia terlalu muda dan mengurus keperluan persekolahan harian secara sendirian tanpa sentuhan tangan ibubapa.

Teman sebilik adalah rakan terdekat tempat meminta bantuan selain penjaga asrama dan guru~guru sekolah seramai 12 orang. Ketabahan dan kecekalan semangat yang dimiliki mereka selama enam tahun menimba ilmu di Pulau Seduku sukar diungkapkan dengan kata~kata.
Mereka merupakan generasi warisan Lingga yang luarbiasa hebat. 

Pengalaman hidup mematangkan akal fikiran mereka jauh lebih awal dari usia sebenar. Perkara ini tidak diwarisi rakan sebaya mereka yang bersekolah di bandar, yang berada pada persekitaran sekolah jauh lebih baik dan serba sempurna.

Adik~adik ini tetap bersyukur dengan apa yang terhidang untuk sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Kesabaran mereka untuk tidak meminta lebih daripada apa yang mampu disediakan pihak sekolah membuktikan kematangan mereka berfikir dan belajar menuju alam dewasa sebuah kehidupan. Tidak ramai rakan sebaya sekolah bandar terlatih dengan gaya kehidupan seadanya seperti di Pulau Seduku.

Persoalannya, berapa ramai dikalangan kita sekuat ibubapa para pelajar SK Pulau Seduku, merelakan anak~anak mereka belajar di sekolah yang hanya memiliki kemudahan asas dan persekitaran yang sederhana.

Hari Jumaat merupakan hari yang dinanti~nanti oleh mereka. Seri di wajah adik~adik ini jelas menggambarkan kegembiraan hati mereka kerana berpeluang bersama keluarga tersayang, menikmati makanan air tangan ibu dan melakukan aktiviti bersama adik beradik lain.

Pertengahan tahun 2016, adik~adik dari SK Pulau Seduku bakal meninggalkan aktiviti rutin menaiki sampan setiapkali ingin pulang ke tanah seberang. Satu sekolah baharu bakal dibina berkonsepkan Inter Built System menggantikan sekolah sedia ada.
Bagaimanapun, difahamkan sekolah baharu itu kelak tidak disediakan kemudahan asrama.

Sekiranya tiada jalan penyelesaian, pihak sekolah terpaksa merobohkan bangunan asrama sedia ada di SK Pulau Seduku dan membina sendiri secara gotong royong di tapak sekolah baharu.
Bukan tiada usaha memanjangkan perkara ini ke pengetahuan penyandang DUN Lingga. Bagaimana hendak duduk semeja berbincang jika ADUN Kawasan hanya sekali menyeberangi Sungai Batang Lupar melawat SK Pulau Seduku sepanjang dua penggal menjadi YB sehingga kini.

Dalam ertikata lain, satu masalah berjaya diatasi namun pada masa sama timbul lagi masalah baharu. 

No comments:

Post a Comment