Wednesday, 16 March 2016

APA DAH JADI TOUR OF SARAWAK 2016 GAGAL?


TOUR Of Sarawak 2016 yang merupakan pertandingan berbasikal bertaraf dunia yang dijadualkan berlangsung pada 16 – 20 Mac 2016 dengan lokasinya bermula di Miri dan berakhir di Kuching, Sarawak DIBATALKAN pada saat-saat akhir.
Mengimbau cerita Tour of Sarawak 2016 ini merupakan cetusan idea dari seorang anak Sarawak yang kemudiannya mendapat sokongan daripada Kerajaan Sarawak kerana ianya berpotensi untuk menaikkan nama Sarawak sebagai satu destinasi acara bertaraf dunia. Cuma yang menjadi kengkangan adalah “budget”. Kekurangan ini dipanjangkan kepada Kerajaan Pusat dan akhirnya ianya mendapat sejumlah dana.
Sebuah syarikat iaitu Fadz Industries Sdn Bhd yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan yang kemudiannya diberi kepercayaan untuk menganjurkannya. Untuk menganjurkan acara ini dikatakan dana yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia tidaklah mencukupi maka syarikat ini diberikan kebebasan untuk mencari lebihan dana melalui tajaan iklan dan sebagainya. Manakala Kerajaan Sarawak pula hanya memberi bantuan daripada segi logistik dan sebagainya.
Dan apabila ianya terbatal di saat-saat akhir dengan sudah ramai peserta-peserta dari beberapa Negara di dunia sudahpun berada di Sarawak beberapa hari sebelum jadual pertandingan dan mereka menghadapi kesulitan dan kepayahan hanya kerana sifat penganjur yang “cuci tangan” dan tidak bertanggungjawab sudah tentu nama Sarawak juga turut sama “terconteng arangnya”.
Pihak penganjur yang pasti sudah hampir setahun membuat persediaan dengan promosi serta tajaan di peringkat internasional juga cukup menyatakan ianya berjaya dan mengapa hal ini boleh terjadi? Ramai yang menuding jari kepada Kerajaan Sarawak namun hakikatnya segala wang ringgit mahupun dana bukan dibawah bidang seliaan Sarawak.
Pembatalan ini telah memberikan imej yang negatif kepada Sarawak di peta dunia secara total dan sewajarnya hal seperti ini menjadi pengajaran kepada kita untuk lebih baik memantau setiap acara yang menggunakan nama Sarawak dan harus ada satu badan yang menyelia setiap progress setiap acara ini dari “Day 1” sehingga tamat.
Mungkin lebih baik setiap penganjur yang terpilih untuk menguruskan acara di Sarawak adalah daripada kalangan syarikat anak tempatan sendiri paling tidak secara usahasama kerana ini negeri kita. Sarawak tidak pernah kurang dengan mereka yang berkeupayaan untuk mengadakan acara ini lebih sukses lagi. 

No comments:

Post a Comment