Monday 28 March 2016

PERBANYAKKAN LAGI BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT DI SARAWAK


MEREKA ada di mana-mana ketika kita menerima musibah. Baik di kala musibah banjir, kemalangan, “orang hilang” di daratan mahupun di lautan, binatang tersepit dan apatah lagi sewaktu musibah kebakaran.  Merekalah yang sering dijadikan sandaran kita iaitu mereka yang kita gelar Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia yang diibaratkan umpama aur dengan tebing dengan rakyat jelata. 
Dan kerana itulah kewujudan infrastruktur seperti balai bomba dan penyelamat di sesuatu kawasan lebih-lebih lagi di kawasan luar Bandar amat dituntut oleh rakyat jelata.  Kehadiran mereka di sesuatu kawasan sudah tentu akan memberikan seribu kelegaan kepada rakyat sekiranya berlaku bencana. 
Melihat kepada kepentingan ini, baru-baru ini satu balai bomba yang baharu sudahpun disiapkan iaitu Balai Bomba Dan Penyelamat di Song, Kapit yang dijangka akan mula beroperasi menjelang April 2016.  Selain daripada itu ada 3 lagi buah balai bomba sedang di dalam pembinaan iaitu yang terletak di Niah, Samalaju dan Tanjung Manis. 
Mungkin kita sendiri tidak mengetahui bahawa untuk keseluruhan Sarawak Bumi Kenyalang  hanya mempunyai 28 buah balai bomba dan penyelamat. Melihat kepada angkanya sahaja sudah tentu ianya amat membimbangkan kita.  Pertambahan balai serta anggota itu perlu kerana sekarang ancaman musibah itu pelbagai bentuk dan sudah tentu Sarawak memerlukan lebih daripada itu.   
Untuk rekod berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan pada tahun 2015 sebanyak 153 orang maut dan kerugian harta benda akibat kebakaran di seluruh Malaysia sahaja bernilai RM4.4 bilion.  Satu angka yang agak menggusarkan serta merugikan rakyat mahupun Negara amnya. 
Jadi, diharap pihak Kerajaan akan terus memperbanyakkan lagi balai bomba dan penyelamat di Sarawak. Selain daripada itu janganlah lupa untuk menambah jumlah keanggotaannya kerana keringat mereka sentiasa dituntut di dalam waktu senang mahupun susah rakyat jelata. 
Sesungguhnya setiap Anggota Bomba dan Penyelamat kita adalah “Superhero” sebenar di alam realiti untuk kita semua.  Walau ada yang mempunyai pandangan skeptikal terhadap mereka, namun mereka tetap berbakti untuk kita.  Terima kasih Tuan Untuk Segalanya!

No comments:

Post a Comment