Wednesday, 31 August 2016

MEMAHAMI TARIKH BERSEJARAH DI DALAM PEMBENTUKAN MALAYSIA


16 HARI lagi, kita akan merayakan ulangtahun penubuhan Gagasan Malaysia yang usianya baru menjangkau 53 tahun.  Di dalam memperkatakan mengenai tarikh keramat ini terdapat 3 lagi tarikh bersejarah yang harus difahami oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.  Ianya adalah 31 Ogos 1957, 31 Ogos 1963 dan 22 Julai 1963 yang mempunyai signifikasi tarikhnya tentang hari kemerdekaan 3 entiti pembentuk Gagasan Malaysia sekarang. 
Menyelusuri sistem pendidikan yang selama ini menjadi aspek penting di dalam menyerapkan makna patriotism, kita sudah almaklum bahawa 31 Ogos 1957 itu menjadi topik yang mendominasi semuanya apabila berbicara mengenai tarikh kemerdekaan Negara. Dan kita akur dan hormat malah merayakannya dengan penuh bangga tarikh 31 Ogos saban tahun sebagai tarikh lahirnya satu bangsa Malaysia yang bebas merdeka. 
Namun begitu usahlah dilupakan bahawa 31 Ogos 1963 (Sabah merdeka) dan 22 Julai 1963 (Sarawak merdeka) juga penting didalam memperkatakan kelahiran Sabah mahupun Sarawak yang mana pada ketika itu sudah mempunyai pentadbiran anak tempatan yang tersendiri bebas dari cengkaman British sepertimana Persekutuan Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957. 
Dan 16 September 1963, Hari Malaysia juga penting untuk difahami oleh semua lapisan rakyat Malaysia iaitu hari pembentukan Gagasan Malaysia yang dibentuk oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Singapura dan Sabah.  Pemahaman dan penjelasan yang pro-aktif itu perlu agar tiada lagi suara-suara sumbang yang cuba mengadu domba kesatuan rakyat Malaysia atas satu hal yang Nampak kecil tetapi sebenarnya mempunyai impak yang besar. 
Kenyataan senada dan seirama ini dikeluarkan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Fatimah Abdullah dan juga Menteri Muda Kemudahan Awam (Electricity and Telecommunications) Dr. Abdul Rahman Junaidi sewaktu sambutan Hari Kebangsaan Malaysia peringkat DUN masing-masing semalam.   
Dan usulan ini sememangnya sesuatu yang baik memandangkan Sarawak mahupun Sabah juga sebenarnya mempunyai keunikan sejarahnya yang tersendiri yang ramai rakyat Malaysia tidak mengetahuinya. Dan alangkah baiknya jika matapelajaran Sejarah Malaysia sekarang juga harus dirombak bagi lebih memperkasakan sejarah Sabah dan Sarawak agar lebih difahami oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment