Sunday, 14 August 2016

PARTI BERSATU UNTUK ORANG ASLI DAN BUMIPUTERA SABAH SARAWAK


SUDAH menjadi lumrah apabila ada sahaja golongan yang tidak sehaluan maka muncullah parti politik baru lebih-lebih lagi menjelang musim pilihanraya.  Dan ada satu parti politik baru yang ditubuhkan minggu lepas yang dikenali sebagai Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang baru didaftarkan dan ianya dikatakan parti serpihan UMNO. 

Dikhabarkan keahlian untuk menganggotai parti baru ini dikhaskan untuk orang asli dan bumiputera Sabah dan Sarawak.  Dan yang lebih seronok untuk didengar dikatakan juga buat sementara keahlian automatic adalah untuk semua ahli PERKASA yang kita diasaskan oleh Datuk Ibrahim Ali. PRIBUMI sudah mencanangkan bahawa mereka sudahpun mempunyai 2 juta ahli setakat ini sememangnya sesuatu yang diluar pemikiran kita sebagai satu parti baru. 

Untuk konteks Sarawak Bumi Kenyalang, sememangnya tidak diketahui adakah bumiputera Sarawak yang mempunyai lebih daripada 40 etnik akan menyokong parti baru ini memandangkan ianya adalah parti berorientasikan Malaya.  Ini kerana cara orang Sarawak berpolitik agak matang lebih-lebih lagi banyak perkara sensitif yang masih segar di ingatan rakyat Sarawak bagaimana mereka yang mendokongi parti baru ini mempunyai sejarahnya sendiri di dalam memperkatakan isu perkauman dan kebebasan beragama yang didukung oleh rakyat Sarawak selama ini. 

Di samping itu kita juga tidak boleh memperlekehkan kewujudan parti baru seperti ini kerana walau kita cuba untuk menyangkalkan yang ianya tidak akan mendapat sambutan, harus kita ingat sentiasa ada mereka yang menangguk di air yang keruh terutama sekali mereka yang “kecewa” akan senang dibeli jiwanya untuk menyertai parti baru seperti ini. 

Yang pasti, parti-parti politik yang ada di Sarawak sekarang sudah cukup sebenarnya untuk menjadi suara rakyat.  Ini kerana hanya orang Sarawak yang lebih mengenal apa itu Sarawak. 

No comments:

Post a Comment