Wednesday, 3 August 2016

TRADISI “ANTING-ANTING LOYANG” SEMAKIN DILUPAKAN


DAHULU pemakaiannya adalah simbol kepada kecantikan wanita Kaum Orang Ulu Sarawak dan proses untuk mendapat “kecantikan” ini bukannya satu yang mudah malah memakan masa.  Inilah tradisi pemakaian anting-anting Loyang yang sering kita lihat ada pada warga emas di kalangan wanita Kaum Orang Ulu Sarawak sekarang.   
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Orang Ulu Sarawak dikatakan hanya beberapa ratus orang sahaja wanita Kaum Orang Ulu Sarawak yang masih lagi mempunyai cuping telinga yang panjang serta masih lagi memakai anting-anting Loyang.  Dan tidak dinafikan tidak lama lagi ianya akan pupus kerana tiada penerus kepada adat warisan ini daripada generasi muda sekarang.
Jika kita mengimbau tradisi ini sebenarnya sudah lama dipraktikkan di kalangan keluarga Kaum Orang Ulu Sarawak iaitu prosesnya bermula sejak masih bayi lagi.  Secara tradisi, ibubapa mula menebuk cuping telinga bayi mereka yang hanya berumur sekitar beberapa bulan dengan menggunakan buluh kerana pada suatu waktu dahulu sebatang jarum amatlah mahal harganya di pasaran.
Prosesnya bermula dengan meregang cuping telinga bayi mereka yang masih berumur beberapa bulan dengan memakai anting-anting loyang berat yang diperbuat daripada tembaga atau anting-anting lain. Berat anting-anting baru akan ditambah dari semasa ke semasa untuk terus meregangkan cuping telinga, selalunya sehingga ke paras bahu si pemakai.
Pada peringkat awal pemasangan anting-anting loyang digunakan sebagai pemberat dianggarkan seberat 100 gram. Beratnya kemudian diubah dari semasa ke semasa sehingga mencecah 500 gram sepasang. Anting-anting berkenaan akan dipakai pada waktu siang hari dan akan dibuka pada waktu malam.
Kebiasaannya, mereka menggunakan tembaga kerana ia kekuningan bersinar dan menyerupai warna emas. Saiz dan bentuknya pelbagai, ada yang menyerupai gelang dan ada juga berbentuk bulat dan bujur. Itulah tradisi pemakaian anting-anting loyang ini yang memerlukan kesabaran kerana prosesnya begitu memakan masa sehingga seperti adanya yang kita lihat di foto-foto vintage itu.
Sayang sekali tradisi yang unik dan mengetengahkan kekayaan budaya dan tradisi etnik di Sarawak ini hanya mampu kita lihat di gambar-gambar lama sedikit masa lagi memandangkan ianya semakin dilupakan dimamah waktu oleh dunia moden yang pantas ini. 

No comments:

Post a Comment