Sunday, 28 August 2016

BANTUAN PEMBAYARAN YURAN PENDAFTARAN UNTUK PELAJAR BARU UNIVERSITI AWAM


SEKARANG merupakan musim pendaftaran untuk pelajar-pelajar baru yang sudah terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading di universiti-universiti awam mahupun swasta di seluruh Malaysia.  Satu peluang yang dinantikan dan diidamkan oleh setiap insan di dunia kerana mendapat segulung ijazah mahupun diploma itu mampu memberikan peluang yang lebih cerah di dalam penghidupan kelak. 
Dalam pada itu, perlu kita ketahui bukan semua antara pelajar ini adalah dari golongan yang berada dan ada yang dari keluarga yang tidak berkemampuan.  Seringkali, faktor kewanganlah yang menjadi duri di dalam daging yang membantut keinginan anak golongan yang tidak berkemampuan untuk meneruskan pengajian mereka. 
Peka dengan permasalahan yang sering dialami oleh pelajar-pelajar baru dari golongan yang tidak berkemampuan di dalam melangsaikan yuran pendaftaran universiti menyaksikan pihak Kementerian Pengajian Tinggi menampilkan kaedah untuk membantu golongan ini.  Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri yang bertanggungjawab pada 28 Ogos 2016 iaitu YB Dato Seri Idris Jusoh dengan kerjasama daripada pentadbir universiti awam di seluruh Malaysia telah menyediakan satu kaunter khas untuk tujuan tersebut. 
Pelajar-pelajar baru dari golongan tidak berkemampuan yang terpilih di universiti awam hanya perlu ke kaunter khas yang disediakan sewaktu pendaftaran kelak. Dan pihak universiti akan memberi ruang kepada mereka dengan membantu sebaik mungkin bagaimana untuk melangsaikan yuran pengajian itu kelak. 
Sedikit sebanyak bantuan yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi ini akan menceriakan hati ibubapa dan anak-anak mereka untuk terus mengapai cita-cita belajar di menara gading kelak.  Selamat belajar kepada bakal graduan kita yang juga merupakan pelapis pemimpin Negara. 

No comments:

Post a Comment