Wednesday 24 August 2016

SELAMAT PULANG WIRA SUKAN MALAYSIA


TIADA pingat emas tidak bermakna mereka dilupakan sebaliknya semangat juang mereka begitu membanggakan kita semua sebagai rakyat Malaysia.  Pulang dengan membawa 4 Perak dan 1 Gangsa merupakan pencapaian paling terbaik pernah kita ukirkan semenjak menyertai sukan Olimpik.
Semalam, tepat jam 2.23 petang pesawat EK408 yang membawa barisan olimpian kebanggaan Negara dan pegawai sukan Kontinjen Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.  Kepulangan mereka disambut dengan begitu meriah dengan “water salute” diadakan untuk pesawat yang membawa mereka dengan diiringi oleh 5 buah kenderaan yang membawa bendera Malaysia “Jalur Gemilang”.
Sambutan yang sungguh luar biasa dan diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia kerana ianya bersiaran langsung di semua kaca televisyen tempatan Malaysia.  Di Kompleks Bunga Raya pula hampir 3,000 peminat sukan mahupun keluarga para Olimpian menunggu dengan penuh sabar ketibaan perwira-perwira sukan tanahair kita. 
Dengan bersaksikan seluruh rakyat Malaysia juga menyaksikan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan pertambahan ganjaran kepada kesemua pemenang pingat pada Sukan Olimpik Rio 2016. Pertambahan RM200,000 untuk setiap pingat menyaksikan  Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem/Tan Wee Kiong (men’s doubles), Chan Peng Soon/Goh Liu Ying (mixed doubles) dan Pandelela Rinong/Cheong Jun Hoong (divers 10m platform) menerima RM500 ribu jumlah keseluruhan sebagai ganjaran mereka.  Gangsa tunggal yang dihadiahkan oleh Azizul Hasni Awang (Kierin) turut mendapat tambahan habuan yang berjumlah RM300 ribu semuanya. 
Selain daripada ganjaran berbentuk wang tunai, para Olimpian yang membawa pulang pingat turut akan menerima ganjaran berbentuk kereta apabila pihak Proton/DRB-Hicom sudahpun mengesahkan bahawa setiap Olimpian yang membawa pulang pingat Perak akan menerima kereta Proton Suprima S manakala untuk Gangsa pula akan dihadiahkan kereta Proton Iriz.
Jika diikutkan apalah sahaja ganjaran yang diberikan kepada mereka berbanding dengan segala keringat yang mereka korbankan untuk mengukir nama Malaysia di persada dunia.  Banyak pengorbanan mereka ini tidak diketahui orangramai tetapi bukan senang untuk melahirkan juara lagi-lagi di pentas sukan Olimpik, satu acara sukan yang paling berprestij di dunia. 
Untuk Pandelela Rinong anak Pamg, ratu terjun Negara Malaysia yang juga anak Sarawak sudah tentu kepulangannya ke tanahair Sarawak Bumi Kenyalang akan kita tunggu dengan penuh keriangan.  Dan diharap Kerajaan Negeri Sarawak juga turut memberikan “hadiah istimewa” kepada beliau kerana setakat ini beliaulah satu-satunya Olimpian kelahiran Sarawak yang berjaya membawa 2 pingat Olimpik iaitu pingat Gangsa (Olimpik London 2012) dan Perak (Olimpik Rio 2016). 
Selamat Pulang Ke Tanahair Wira Sukan Malaysia.  

No comments:

Post a Comment