Friday 19 August 2016

PERLAWANAN BADMINTON OLIMPIK YANG PENUH EPIK

DUA perlawanan badminton yang penuh epik pernah kita saksikan itulah yang mampu diperjelaskan apabila kita berbicara mengenai 2 perlawanan badminton sukan Olimpik pagi ini. Acara badminton separuh akhir antara Datuk Lee Chong Wei dan juga Lin Dan diikuti dengan peringkat final antara Goh Victory Shem-Tan Wee Kiong dan Fu Haifeng-Zhang Nan merupakan dua perlawanan yang sungguh dramatik. 
Kedua-dua perlawanan tersebut diheret sehingga ke perlawanan penentuan rubber set dan sudah tentu ianya cukup mendebarkan bagi setiap yang menyaksikannya. Datuk Lee telah mengotakan janjinya apabila berjaya menidakkan keangkuhan Lin Dan untuk mara ke final. Bagi pasangan Goh dan Tan yang telah mengerah keringat sehingga ke titisan terakhir ditidakkan impian emasnya oleh Fu Haifeng-Zhang Nan.
Pemburuan emas pertama di Olimpik bagi Malaysia sekarang bersandarkan sepenuhnya kepada Datuk Lee yang akan cuba meroboh Tembok Besar China apabila berhadapan dengan Cheng Long pada malam ini. Untuk Goh dan Tan tiada apa yang harus dikecewakan kerana kedua-duanya telah mempamerkan semangat juang yang tinggi dan rakyat Malaysia tetap berbangga dengan pencapaian yang telah mereka tunjukkan di sepanjang Sukan Olimpik Rio 2016 ini. 
Yang pasti, dari Perlis sehingga ke Johor kemudian membelah Laut China Selatan dari Sarawak hingga ke Sabah, semangat MALAYSIA BOLEH meresap di dalam setiap jiwa rakyat Malaysia apabila menyaksikan 2 perlawanan yang penuh epik ini. Sokongan yang tidak berbelah bahagi menyaksikan perbezaan bangsa dan agama mahupun ideologi politik dilupakan seketika dan seterusnya MALAYSIA BERSATU DI DALAM SUKAN pada hari ini. 
Tahniah kepada pasangan beregu badminton Malaysia Goh Victory Shem-Tan Wee Kiong untuk pingat Perak ke-3 bagi kontinjen Olimpik Malaysia dan semoga beroleh kemenangan kepada Datuk Lee untuk final nanti.  
Walau apa jua kilauan pingatnya, kalah atau menang rakyat Malaysia tetap berbangga dengan para Olimpian kita.  
#ayuhMalaysiaKu

No comments:

Post a Comment