Friday 11 February 2022

DATO' IDRIS - DARI SARAWAK BORDER SCOUTS KE TIMBALAN SPEAKER DUNS


SARAWAK Bumi Kenyalang telah menerima Timbalan Speaker yang baharu hari ini setelah jawatan tersebut dikosongkan berikutan mantan Timbalan Speaker iaitu YB Dato Gerawat Jala dilantik sebagai Menteri Muda dalam barisan Kabinet Sarawak baru-baru ini. Baru sebentar tadi Timbalan Speaker yang baru dilantik iaitu Dato' Idris bin Haji Buang mengangkat sumpah jawatan di hadapan TYT Sarawak, Tun Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri.

Dato' Idris, 68 tahun bukanlah satu nama yang asing di dalam dunia politik Sarawak kerana beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang sejak di tahun 2016 lagi. Pada PRN Sarawak ke-12 tahun lepas, beliau mempertahankan kerusi Muara Tuang atas tiket GPS di dalam pertandingan enam penjuru.
Beliau yang dilahirkan pada 10 Mei 1954 di Kuching, Sarawak mendapat pendidikan di Sekolah St. Thomas. Berasal dari keluarga polis, jadi tidaklah menghairankan setelah menamatkan pendidikan telah memilih kerjaya Sarawak Border Scouts ditambahlagi beliau mendapat galakan sepenuhnya dari ayahandanya iaitu Allahyarham Haji Buang yang merupakan penjawat awam iaitu Sarawak Constabulary, pasukan polis yang didirikan ketika era Brooke. Sebagai Border Scouts, Dato' Idris telah terlibat dalam banyak dunia risikan sewaktu komunis bermaharajalela seperti Ops Jala Raja di Samarahan suatu waktu dahulu.
Berdasarkan pengalaman itu, beliau berjaya dipilih ke Polis Diraja Malaysia dengan pangkat Inspektor. Di dalam PDRM, beliau telah didedahkan dengan siasatan dan juga undang-undang. Setelah tujuh tahun menabur bakti sebagai anggota polis akhirnya beliau meninggalkan dunia kepolisian bagi menyambung pengajiann ke luar negara. Setelah empat tahun berkelana di England akhirnya beliau berjaya membawa pulang segulung ijazah yakni Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Barrister of Law dari Lincoln's Inn. Tatkala pulang ke tanahair, beliau terus mengorak langkah sebagai seorang Peguam dan berjaya membuka firma guamannya sendiri iaitu Idris Buang Advocates. Firma guamannya kekal aktif sehingga sekarang.
Pada tahun 1985, Dato' Idris telah berjinak-jinak di dalam politik dengan menganggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu. Sepanjang penglibatannya banyak jawatan penting telah beliau lakukan seperti Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak pada masa itu Tun Pehin Seri Taib Mahmud, Timbalan Ketua Pemuda PBB, Ahli Majlis Tertinggi PBB dan Ketua Penerangan PBB.
Melihat kepada keupayaan perundangannya dan pengalaman yang luas dalam selok-belok politik, Dato Idris telah menjadi sembilan kali 'Election Agent" kepada Tun Pehin Seri Taib iaitu lima kali bagi PRU dan empat kali untuk PRN. Selain itu beliau juga pernah dilantik sebagai Senator Dewan Negara selama dua penggal berturut-turut. Sejak dahulu lagi, Dato Idris merupakan salah seorang barisan peguam bagi PBB dan GPS maka beliau juga adalah salah seorang ADUN yang dilantik untuk menjadi Ahli Perundangan MA63 Sarawak.
Melihat kepada trek rekod perjuangan politik serta kelantangan Dato Idris di dalam perundangan maka tidak keterlaluan penulis menyatakan bahawa perlantikan beliau sebagai Timbalan Speaker adalah sesuatu yang tepat oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari. Dewan Undangan Negeri Sarawak yang diketuai oleh Datuk Amar Mohamad Asfia perlukan 'orang kanan' yang lantang dan peka perundangan Sarawak seperti Datuk Amar di dalam memastikan perundangan DUNS akan dijaga dan dimartabatkan.
Sekalong tahniah YB Dato' Idris bin Haji Buang atas perlantikan sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak. Semoga terus berkhidmat dengan jayanya untuk ibu pertiwi tercinta, Sarawak Bumi Kenyalang.

No comments:

Post a Comment