KITA sering mendengar mengenai nasib malang yang menimpa segelintir individu apabila mereka menjadi mangsa manusia berhati syaitan di negara luar. Manakan tidak, tenaga mereka dikerah tanpa mendapat imbuhan malah adakalanya di dunia moden ini masih lagi ada manusia yang menjadikan manusia lain seperti hamba abdi.
Dan semalam kita digemparkan dengan cerita 11 warga asing iaitu sembilan wanita dan dua lelaki berusia antara 23 hingga 44 tahun dikurung di sebuah bilik hampir tiga tahun di sebuah rumah di Taman Heng, Jalan Sebiew, Bintulu. Tindakan pantas PDRM yang melakukan penyerbuan telah berjaya membenarkan laporan daripada orangramai mengenai adanya kes pemerdagangan orang di rumah tersebut.
Bayangkan selama hampir tiga tahun kesemua warga asing ini bekerja umpama hamba abdi di zaman moden dengan diarahkan membuat pembersihan rumah burung tanpa ada gaji walau sesen pun dan adakalanya jika tidak kena di mata tuannya akan dipukul dan disepak terajang. Menurut sumber PDRM, tuannya iaitu pemilik kepada rumah di Taman Seabiew itu telahpun ditangkap iaitu pasangan suami isteri yang berusia 59 tahun dan 53 tahun.
Episod hitam di dalam diari penghidupan 11 warga asing itu mungkin sudah menemui penghujungnya apabila sejurus selepas diselamatkan mereka dihantar ke rumah perlindungan. Trauma mereka sudah tentu tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. Dan kita akan menantikan apakah pula episod untuk pasangan suami isteri yang berhati hitam ini kerana apa yang mereka lakukan sesungguhnya amat memalukan kita sebagai rakyat Sarawak. Tiada kompromi untuk mereka sebegini yang ada didalam masyarakat kita.
No comments:
Post a Comment