Tuesday 8 November 2016

SK KAMPUNG BUDA AKAN DIBINA OLEH SWASTA

Tragedi 8 Jun 2016, 80% SK Kampung Buda, Spaoh runtuh dan ditelan Sungai Saribas 
MENGIMBAU tragedi yang menimpa pada 8 Jun 2016 yang mana struktur surau, tadika dan 80% SK Kampung Buda, Spaoh hilang ditelan ke dalam sungai apabila berlaku tanah runtuh akibat hakisan adalah sesuatu yang menyedihkan kita semua.  Sehingga sekarang hampir 73 pelajar dan 13 guru masih lagi menumpang di SK Spaoh untuk meneruskan pendidikan mereka. 
Sudah hampir menjengah tahun 2017 namun masih lagi tiada perkhabaran gembira daripada Kementerian Pendidikan yang berjanji untuk membinanya semula.  Dan sudah tentu kita tidak mahu ianya dibina di lokasi yang sama kerana ianya juga seperti mengundang padah yang sama.  Dan tindakan drastik Kerajaan Negeri Sarawak yang memberikan dana sebanyak RM1 juta bagi SK Kampung Buda adalah sesuatu yang amat kita hargai walaupun hakikatnya perbelanjaan pembinaannya dianggarkan sebanyak RM3 juta.    
Namun sudah ada berita gembira untuk para ibubapa dan pelajar serta warga pendidik SK Kampung Buda apabila dikatakan pembinaan sekolah  yang baru sudahpun di dalam proses.  Ini diperjelaskan oleh Menteri yang bertanggungjawab iaitu Datuk Fatimah Abdullah yang mana menyatakan sebuah syarikat swasta Sarawak bermurah hati untuk membina sekolah tersebut dengan menggunakan kaedah pembinaan Integrated Building System (IBS) bagi memenuhi tanggungjawab sosial mereka (CSR).
Walaupun begitu, kesemua kerja-kerja pembinaan hanya boleh bermula selesai sahaja Kementerian Pendidikan melangsaikan bayaran atas tapak baru yang sudahpun dikenalpasti.  Untuk rekod di Sarawak sahaja terdapat hampir 1,264 buah sekolah rendah dan 189 sekolah menengah yang rata-ratanya di kawasan pedalaman masih lagi dikategorikan sebagai sekolah daif dan juga tidak selamat untuk digunakan memandangkan ianya terletak di lokasi yang terdedah kepada merbahaya seperti di tepi sungai dan sebagainya.  

No comments:

Post a Comment