Thursday, 2 March 2017

ISTIMEWANYA ANAK MALAYSIA INI DIKACAMATA RAJA SALMAN

KUNJUNGAN Raja Salman ke Malaysia beberapa hari yang lepas sememangnya sesuatu yang bersejarah bagi kita semua.  Disebalik cerita ceriti lawatan bersejarah ini, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa ada seorang anak Malaysia yang terlalu istimewa di kacamata Raja Salman.  Entah berapa ramai antara kita yang diberikan peluang keemasan serta penghormatan yang besar untuk mengucup kening seorang penjaga 2 kota suci umat Islam ini.
Anak Malaysia yang dimaksudkan ini bernama Sheikh Hussain Yee bin Abdullah, seorang pendakwah yang terkenal namanya seantero dunia Islam.  Lahir pada tahun 1950 di kalangan keluarga Cina yang mana akhirnya beliau memeluk Islam pada tahun 1968 iaitu ketika berusia remaja lagi, 18 tahun.  Bukan calang-calang orangnya walaupun seorang mualaf tetapi mempunyai latar pendidikan Islam yang mengkagumkan.
Jauh perjalanan luas pandangan maka begitulah Sheikh Hussain apabila sekitar tahun 1978 menamatkan pengajian jurusan Hadith di Islamic University of Madinah, Arab Saudi.  Antara gurunya adalah seorang intelektual dunia Islam yang terkenal iaitu Sheikh Mohammad Nasiruddin Al-Albani.  Tamat pengajian di Arab Saudi, beliau pulang ke tanahair dan terus melibatkan diri di dalam PERKIM.  Kecemerlangannya di PERKIM membawa dirinya dilantik sebagai Pengarah di sebuah pusat Islam di Hong Kong.  Dengan pengalaman beberapa tahun di luar Negara akhirnya beliau mengasaskan sebuah organisasi yang dinamakan Al-Khadeem pada tahun 1984. 
Nama Ustaz Sheikh Hussain Yee mungkin tidak begitu popular di Malaysia namun tidak di pentas dunia antarabangsa.  Inilah antara penceramah anak Malaysia yang lantang bersuara memberikan pendapatnya di pentas dunia.  Beliau jugalah antara penceramah yang menghiasi jemputan di kem-kem musim panas di Eropah. Pada tahun 2015 misalnya iaitu di ketika satu persidangan yang dihadiri oleh pemimpin agama Yahudi dan Kristian iaitu Australian Islamic Peace Conference (AIPC), beliau sebagai salah seorang speaker utama lantang bersuara mengatakan bahawa “Muslim Bukan Pengganas” seperti yang barat gembar-gemburkan dengan mengaitkan umat Islam dengan Peristiwa 11 September. 
Inilah ceritanya seorang anak Malaysia yang langsung kita sebagai rakyat Malaysia sendiri tidak mengetahuinya. Rakyat dari sebuah negara kecil tetapi mempunyai signifikasinya tersendiri di dalam suara-suara dunia Islam sejagat.  Mungkin kerana itulah juga, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud, seorang Raja Negara Arab Saudi dan penjaga 2 kota suci umat Islam turut mengkagumi beliau. Begitu istimewanya seorang mualaf bernama Ustaz Sheikh Hussain Yee.

No comments:

Post a Comment