Monday, 22 May 2017

SETIAP KATA AKAN DIKOTA – KM ABG JO


BUKAN hanya sekadar berjanji tetapi setiap yang dikata itulah yang akan dikota. Begitulah yang diperkatakan oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg ketika membuat ucapan pergulungan bagi sidang mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak yang berakhir semalam. Ini merupakan mesyuarat DUN untuk penggal kedua 2017 yang berlangsung dari 11 – 22 Mei 2017.

Berbicara mengenai pembangunan Sarawak pula, beliau akur sememangnya prosesnya agak perlahan kerana impak daripada keadaan ekonomi dunia sekarang. Namun begitu ini tidak bermakna bahawa Sarawak akan terus berdiam diri sebaliknya kerajaan pimpinannya akan memastikan proses pembangunan itu akan berjalan cepat dengan cara yang tersendiri. Contohnya E-Digital yang sedang diusahakan sekarang bukan hanya untuk masyarakat di Bandar malah juga kawasan pedalaman berkembang maju seperti penggunaan “e-learning, e-commerce, telemedicine” serta banyak lagi.

Selain itu, beliau juga turut berkata bahawa projek LRT yang Sarawak akan laksanakan adalah satu projek yang bukan sama sekali dibawah pembiayaan langsung pihak Persekutuan seperti yang cuba dimanipulasi oleh DAP Sarawak bahkan ianya adalah dibawah Kerajaan Negeri sendiri. Siapnya kelak akan memangkin segala kemudahan pengangkutan awam di Sarawak seperti Bus Rapid Transit, kemudahan teksi dan banyak lagi akan selaras seperti negeri-negeri yang lain di Malaysia.

Visi dan misi kerajaan pimpinan beliau turut melibatkan pembukaan kawasan perumahan baru sejajar dengan perkembangan populasi di Bandar-bandar besar. Segala kriteria sudah diambilkira bagi memastikan rakyat Sarawak mampu memiliki rumah sendiri pada masa hadapan. 

Di dalam sidang pergulungan tersebut, KM Abang Jo turut secara sinis berkata bahawa apa yang cuba dibawa oleh wakil DAP Sarawak seolah-olah cuba memperkotak-katikkan setiap cadangan yang cuba diimplementasi oleh BN Sarawak dibawahnya. Menurutnya lagi cara berpolitik seperti itu hanyalah seumpama politik kedai kopi yang sudah ketinggalan masa dan tidak mengikut peredaran zaman.
Walau apa pun yang diperkata oleh barisan pembangkang Sarawak tidak akan pernah menjadi satu halangan untuk kerajaan pimpinan beliau kerana ianya bukan janji kosong. Satu janji yang akan dikota tidak lama lagi iaitu secara berperingkat-peringkat dan kesemuanya akan menguntungkan rakyat Sarawak itu sendiri.

No comments:

Post a Comment