Wednesday 31 May 2017

TINDAKAN NEKAD 11 PENUMPANG GAGALKAN CUBAAN MERAMPAS PESAWAT MH128





Penumpang dan krew penerbangan pesawat jenis Airbus A330 milik Sistem Penerbangan Malaysia MH128 yang di dalam perjalanan ke KLIA kira-kira jam 11.11 malam tadi menghadapi detik-detik cemas apabila salah seorang daripada penumpangnya dikatakan cuba untuk merampas dan merempuh secara paksa ke kokpit juruterbang sejurus selepas berlepas dari Melbourne. Turut dikatakan penumpang tersebut mengugut memiliki bahan letupan serta ditangannya turut mempunyai peranti elektronik.

Tidak mahu berpeluk tubuh, tindakan nekad daripada 11 penumpang dan krew penerbangan telah memungkinkan mereka berjaya menangkap penumpang lelaki tersebut tanpa ada mana-mana yang cedera. Oleh kerana tidak mahu mengambil risiko, juruterbang pesawat MH128 dilaporkan telah membuat penerbangan balik kecemasan ke Lapangan Terbang Tullmarine di Melbourne.

Bersedia dengan segala kemungkinan, pihak kakitangan di Tullmarine telah segera menutup lapangan terbang tersebut setelah dihubungi oleh juruterbang. Usai mendarat pihak pasukan beruniform Australia sudahpun siaga dan memasuki pesawat MH128 untuk mencari bahan letupan seperti yang diwar-warkan dan setelah melakukan pemeriksaan tiada bahan letupan dijumpai.

Episod ngeri cubaan rampasan pesawat MH128 ini akhirnya berjaya ditamatkan dengan penumpang lelaki itu diserahkan kepada pihak berkuasa Melbourne untuk urusan selanjutnya. Turut dilaporkan penumpang lelaki warga Sri Lanka itu di dalam pengaruh alkohol.

No comments:

Post a Comment