Friday, 20 May 2016

PERLAKSANAAN HUKUMAN GANTUNG UNTUK JABING KHO, 20 MEI 2016


SETELAH pelbagai rayuan dan usaha undang-undang diusahakan akhirnya seorang anak Sarawak di perantauan iaitu Kho Jabing atau nama Islamnya Mohamad menjalani hukuman gantung sampai mati pada jam 3.30 petang di Kompleks Penjara Changi semalam. 

Kho Jabing, 31 tahun yang berasal dari Ulu Baram, Sarawak sebelum itu telah disabitkan dengan kesalahan membunuh seorang pekerja binaan warga China dalam cubaan merompak di Geylang Drive, Singapura sekitar tahun 2008.  Pada tahun 2010 beliau telah dikenakan hukuman gantung namun begitu berjaya mengelakkan perlaksanaannya setelah membuat rayuan demi rayuan dari tahun 2010 sehingga 2013. 

Di dalam proses rayuan itu juga Kerajaan Negeri Sarawak dibawah pentadbiran Datuk Adenan pernah mengutus surat rayuan kepada Kerajaan Singapura melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Yang Berbahagia Puan Hajjah Nancy Syukri bagi memohon sedikit bicara mengenai kes Jabing Kho.  Namun akhirnya tiada siapa yang boleh menidakkan undang-undang yang ketat di Singapura sehingga memungkinkan beliau menjalani juga perlaksanaan hukuman gantung tersebut.  Menurut keluarga Jabing, Kho, Jabing telah memeluk Islam sewaktu di penjara dan menggunakan nama Muhamad sebagai nama Islamnya. 

Demi merealisasikan pemintaan Allahyarham maka jenazahnya akan diterbangkan dari Singapura ke Miri setelah usai pemeriksaan di sebuah hospital di Singapura.  Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Islam, Batu 1, Jalan Kuala Baram, Miri iaitu dekat dengan kampung halamannya. 

Walau apa jua kesalahan allahyarham sewaktu hidupnya ianya bukan hak kita untuk mengadilinya disisi Allah SWT.  Apa yang berlaku ini sudah tentu menjadi pengajaran buat kita lebih-lebih lagi kepada anak Sarawak di perantauan untuk sentiasa menjaga etika dan tingkahlaku ketika mencari rezeki di Negara orang. 

Salam takziah untuk keluarga Allahyarham Mohamad @ Jabing Kho dan sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan dikalangan mereka yang beriman. 

Alfatihah. Amin.



No comments:

Post a Comment