Wednesday, 26 April 2017

DIARI “IMAM CILIK” SEBAGAI BUKTI



CERITANYA Allahyarham Mohd Thaqif Amin bin Mohd Gaddafie, seorang pelajar sekolah tahfiz persendirian di Johor Bahru tular beberapa hari ini.  Ini kerana keadaannya yang dikatakan tercedera teruk akibat adanya unsur-unsur penderaan sehingga menyebabkan beliau kehilangan kedua kakinya dan seterusnya semalam menyaksikan beliau yang sepatutnya menjalani pembedahan tangan pula tidak sempat dilakukan.  Imam “cilik” ini akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultan Ismail begitu meruntun hati kita semua sebagai rakyat Malaysia.  

Di media massa tempatan pula bercerita mengenai diari peribadi coretannya yang dikatakan mampu menjadi bukti untuk siasatan pihak yang berwajib bagi merungkai punca sebenar kepada kematiannya.  Apa yang dikongsi di dalam ruangan ini juga (menurut sumber) merupakan salah satu daripada helaian diari Allahyarham Mohd Thaqif yang ternyata menunjukkan bahawa beliau sebenar juga merupakan mangsa buli di sekolah berkenaan.  Tidak tertahan dengan deritanya mungkin beliau pernah mengusulkan kepada keluarganya untuk dirinya bertukar sekolah tetapi sayang tiada yang mendengar.   

Mungkin jika ada yang mendengar perkara seperti ini dapat dielakkan namun inilah suratan yang telah tertulis untuk beliau.  Mana-mana ibubapa harus peka kepada setiap luahan dan kehendak anak-anak kerana dunia sekarang amat berbeza.  Ditambahlagi bukan satu cerita biasa ada pihak pentadbir sekolah yang sengaja menyembunyikan cerita yang sebenar demi menjaga nama baik sekolah mereka. Dan kerana itulah mengapa pihak yang berwajib sekarang sudah dibolehkan menggempurkan “gangsterism” di sekolah berbanding dahulu.  

Pokok pangkalnya sekarang, peristiwa tragis yang menimpa Allahyarham Mohd Thaqif harus diadili dengan sebaik-baiknya.  “Si pendera” yang bertindak “gila” harus dibawa ke muka pengadilan dan sekiranya didapati bersalah harus dihukum seberat-beratnya.  Dan jangan pula dilupakan pelajar yang menjadi “raja pembuli” juga harus diambil tindakan kerana kita tidak mahu adalagi bakal imam-imam cilik kita menerima nasib yang sama seperti Allahyarham.  

Salam takziah untuk keluarga Allahyarham Mohd Thaqif Amin bin Mohd Ghadaffie. Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.  

Alfatihah. Amin.  

No comments:

Post a Comment