Sunday, 2 April 2017

TAMAN NEGARA SIMILAJAU, BINTULU


DIWARTAKAN pada tahun 1976 dan akhirnya dibuka kepada orang awam sekitar tahun 1996 menjadikan ianya antara taman negara yang wajib dikunjungi jika singgah di Bintulu. Taman Negara Similajau meliputi kawasan seluas 7,064 hektar hutan dara tepi pantai yang mana bermula dari Sungai Likau di bahagian selatannya sehingga ke Sungai Similajau di utara.  

Menurut rekod dinyatakan bahawa Taman Negara Similajau menjadi tumpuan kepada 24 spesis mamalia seperti ungka, langur berbelang, kera ekor panjang dan tidak lupa si sang bedal jenis Buaya Air Tawar.  Oleh kerana kawasan pantainya yang menghadap Laut China Selatan memungkin adakalanya ia juga sering dikunjungi oleh ikan lumba-lumba.

Manakala untuk kawasan pantai seperti Turtle Beach dan Golden Beach pula dijadikan santuari untuk pembiakan telur-telur penyu yang datang bertelur di kawasan ini saban tahun. Selain menyimpan keindahan alam semulajadi seperti tumbuhan hutan, Taman Negara Similajau ini juga menjadi habitat kepada 230 spesis burung seperti ikon burung bagi Negeri Sarawak iaitu burung kenyalang serta spesis “Storm Storks” iaitu burung-burung air yang gemar berhijrah dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

Tidak akan sempurna bercerita mengenai Taman Negara Similajau jika tidak memperkatakan mengenai pantai-pantainya yang memutih serta airnya yang kebiru-biruan.  Dengan pesisir pantainya iaitu seluas 30 km panjang dan dibarisi dengan terumbu karang serta teluk-teluk kecil yang menjadi sebahagian pembentuk pesisir pantainya menjadikan ia adalah antara salah satu tempat yang mampu menarik pelancong-pelancong yang gemarkan suasana pantai yang mendamaikan.

Untuk mereka yang mencari ketenangan dan ingin bercuti singkat bolehlah memilih untuk datang ke Taman Negara Similajau.  Jarak perjalanan untuk ke Taman Negara ini juga boleh dikatakan singkat iaitu kira-kira 45 minit dari Bandar Bintulu.   

No comments:

Post a Comment