Monday, 17 April 2017

SAYA CINTA KAPIT


PEMBINAAN Lebuhraya Pan Borneo yang akan siap kelak sudah tentu akan memberikan banyak impak ekonomi kepada kawasan luar bandar mahupun pedalaman di Sarawak.  Ini tidak terkecuali dengan Bahagian Kapit yang selama ini hanya boleh dihubungi dengan pengangkutan air seperti ekspress dari Sibu.  Pembinaan beberapa jajaran perhubungan darat menuju ke Kapit sedang rancak dibina sekarang.  
Apabila berkata mengenai peluang ekonomi sudah tentu banyak malah jangan dilupakan Kapit juga sebenarnya layak untuk menjadi destinasi pelancongan bagi Sarawak.  Selain keindahan panorama alam yang belum terusik, di Kapit juga tidak pernah kurang dengan tempat bersejarahnya yang mempunyai cerita yang unik di dalam memperkatakan Sarawak suatu waktu dahulu.  
Fort Sylvia atau Kubu Sylvia yang dibina pada tahun 1880 iaitu semasa Sarawak dibawah pemerintahan Brooke masih lagi dijaga dengan rapi oleh Yayasan Tun Jugah.  Yayasan ini menjadi Fort Sylvia sebagai muzium untuk menceritakan kepelbagaian kaum di Kapit yang kaya dengan kraftangan dan banyak lagi.  Kubu ini juga sebagai simbol pemerintahan dahulukala apabila kita berkata mengenai banyak perang-perang tempatan yang pernah berlaku di Kapit.  
Tidak cukup dengan itu di pekan Kapit sendiri mempunyai Muzium Kapit yang terletak di Dewan Suarah Kapit.  Disini berhimpun segala ceritera mengenai masyarakat Kapit yang boleh menjadi sumber informasi untuk semua.  Kemudian jangan lupa untuk mengunjungi beberapa tamu dan bazaar Kapit yang sudah tentu mempunyai keistimewaan dan keunikannya di dalam menyatakan sumber hutan yang “rare” bagi kita yang tidak pernah menjumpainya di pasar-pasar biasa.  
Selain daripada ada beberapa acara di Kapit sudahpun dimasukkan di dalam kalendar pelancongan Kapit seperti Safari Rakit Baleh Kapit yang menyaksikan ianya turut disertai oleh ramai penggemar sukan rakit di seluruh dunia bertandang ke Kapit setiap kali acaranya diadakan.  Selain itu turut ada Regatta Mini Boat Race yang turut tidak kurang meriahnya.  
Hanya menyebut beberapa tempat di dalam menyatakan betapa Kapit itu sebenarnya mampu menjadi destinasi pelancongan di Sarawak.  Potensinya sememangnya ada dan terpulang kepada kita untuk mempromosinya supaya diketahui oleh dunia.  

No comments:

Post a Comment