Thursday, 13 April 2017

KAPAL BROOKE “THE ROYALIST”


SIR James Brooke merupakan individu bangsa Inggeris yang pertama dinobatkan sebagai Tuan Rajah bagi Sarawak iaitu pada tahun 1842.  Dan ketibaannya ke Sarawak suatu masa dahulu dengan menggunakan sebuah kapal jenis schooner yang dinamakan “The Royalist”.  Kedatangan pertama Brooke ke Sarawak adalah pada tahun tahun 1839 yang mana beliau pada masa itu menjadi utusan Kerajaan British di Singapura untuk menghantar “hadiah” kepada Pengiran Muda Hashim yang telah membantu saudagar Inggeris di Sarawak.  
Kapal “The Royalist” dibeli oleh Brooke daripada seorang paderi Inggeris yang bernama Reverend T.L Lane pada tahun 1834.  Kapal ini dikatakan antara kapal perang tentera laut Inggeris yang pernah menyertai Perang Trafalgar 1805 .  Pada tahun 1837 dikatakan Brooke dengan Royalist telah berjaya mengembara di Kepulauan Mediterranean yang akhirnya membawa beliau sehingga ke Singapura. Pada tahun 1840, Brooke dengan “The Royalist” sekali lagi tiba di Sarawak dan kali ini beliau bersetuju untuk membantu Pengiran Muda Hashim memerangi pemberontakan di Sarawak.  Hasilnya pada tahun 1841, beliau dijadikan Gabenor oleh Sultan Brunei dan seterusnya pada tahun 1842 telah diiktiraf sebagai Tuan Rajah Sarawak.  
Dengan kapal “The Royalist” inilah juga, Brooke menggunakannya untuk memerangi pemberontakan di Sarawak samada atas permintaan Sultan Brunei mahupun atas nama perniagaan bagi Brooke.  Satu demi satu wilayah Brunei akhirnya menjadi pembentuk empayar besar Sarawak dibawah Brooke pada masa itu sehinggalah 3 orang Tuan Rajah menjadi pemerintah Sarawak dengan yang terakhir sekali adalah Rajah Charles Vyner Brooke pada tahun 1946.  
Kapal “The Royalist” buatan dari Crowes, England milik James Brooke ini dikatakan terakhir dilihat di pelabuhan Negara Brunei Darussalam yang mana dikatakan mengalami kerosakan pada sekitar September 1843.  Kemudian telah ditunda sehingga ke Singapura yang akhirnya dikatakan telah dijual oleh Brooke pada tahun 1844.  Sebuah kapal seberat 140 tan yang pada asalnya hanya mempunyai 6 buah meriam sebagai pertahanannya ketika pelayaran mempunyai signifikasi bersejarah dengan kewujudan Sarawak dibawah lebih 100 tahun pemerintahan dinasti keluarga Brooke suatu waktu dahulu.  

No comments:

Post a Comment