Thursday 4 April 2019

CADANGAN PINDAAN PERKARA 1(2) PERLU DIRESTUI DUN SARAWAK


GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) berpendapat bahawa cadangan Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan hanyalah bersifat kosmetik semata-mata dan ia langsung tidak memenuhi aspirasi serta hasrat sebenar rakyat Sarawak.
Ketua Whip GPS, Dato Sri Fadillah Yusof menerusi satu kenyataan, hari ini berkata, pindaan tersebut seharusnya diperhalusi sebaik mungkin dengan mengambilkira pandangan semua pihak atau pemegang taruh terbabit di peringkat Persekutuan, Sarawak dan Sabah.
Justeru, GPS mencadangkan supaya pindaan ditangguhkan sehingga perundingan di peringkat Jawatankuas Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimuktamadkan.
Jelas beliau, sebarang pindaan perlu dibawa ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terlebih dahulu sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
Ini kerana pindaan tersebut wajar dilakukan secara menyeluruh melibatkan hak-hak yang sepatutnya dikembalikan kepada Sarawak dan bukan setakat menukar status Sarawak sebagai rakan kongsi sahaja.
Dalam pada itu, Fadillah turut menegaskan persoalan pokok berkaitan hak-hak dan keistimewaan yang dituntut Sarawak termasuklah yang terhakis, tidak dimasukkan di dalam cadangan pindaan berkenaan.
Perkara tersebut adalah Perkara 160 mentakrifkan ‘persekutuan’ dengan merujuk kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, yang hanya melibatkan Semenanjung dan Bilangan Ahli Parlimen, wakil-wakil rakyat dan senator-senator serta ahli Jemaah Menteri Persekutuan, disemak semula bagi mencerminkan perkongsian sama taraf.
Jelas Fadillah lagi, pindaan mesti merangkumi semangat dan roh yang terkandung dalam MA63 dibaca bersama dengan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan.
Kredit: TVSarawak.com

No comments:

Post a Comment