Tuesday 9 April 2019

BENGKENG SARAWAK, BENGKENG BERTEMPAT


- Sesi Perbahasan RUU 1(2) Perlembagaan Malaysia 2019


SESI perbahasan untuk pindaan RRU 2019 sudahpun bermula sekitar 2.30 petang tadi. Dan sehingga ke setakat ini ianya masih berlangsung dengan maha hebat daripada kesemua ahli-ahli Dewan Rakyat. Kedua-dua kem mempunyai ulasan tersendiri.


Setakat ini, pihak wakil Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak telah menjalankan tugas mereka begitu lancar dan berkesan di dalam menyatakan tuntutan Sarawak sebelum ini yakni tidak bersetuju dengan cadangan pindaan yang hanya melibatkan pengkelompokan (a) (b) di dalam perkara 1(2) yang hendak dipinda.


Bertindak daripada suara bantahan itu, pihak Persekutuan tampil dengan pindaan baru yang mana memasukkan frasa seperti yang asal sebelum pindaan dengan memasukkan negeri-negeri Borneo bagi menyatakan negeri Sarawak dan Sabah. Dan melalui keterangan daripada Perdana Menteri Malaysia pun menyatakan dengan mengkhusus bahawasanya Perkara 160(2) TIDAK AKAN DIPINDA kerana tiada keperluan.


Tegas dengan pendirian tersebut, wakil MP Petrajaya iaitu DS Fadillah Yusuf menyatakan sebarang pindaan haruslah menyatakan MA63 dan dek kerana itu beliau meminta agar frasa "pursuant to MA63" dimasukkan ke dalam pindaan kerana hanya dengan ini sahaja ianya boleh menjadi satu silang rujukan dengan MA63 yang ada.


Dan wakil GPS kedua iaitu MP Santubong. DS Wan Junaidi tampil bertenaga "menyekolahkan" sidang ahli Dewan Rakyat tentang kronologi penubuhan Malaysia melalui Suruhanjaya Cobbold dan seterusnya melalui Deklarasi Manila yang menyaksikan UN Secretary General mendatangi Sarawak dan Sabah untuk membuat pengesahan tentang apa yang dilakukan oleh Suruhanjaya Cobbold.


Yang diutarakan oleh MP Petrajaya dan MP Santubong sebenarnya adalah pembuktian betapa kefahaman dan celik mereka mengenai kedudukan Perjanjian Malaysia 1963 sebagai asas kepada penubuhan Negara Malaysia. Ketegasan ini penting kerana tanpa mencatatkan MA63 maka pindaan itu tidak akan membawa apa-apa makna. 


Begitu menarik penggulungan daripada MP Santubong yang menyatakan dengan cukup terang sehingga kesemua sidang dewan rakyat terdiam iaitu "Jika Perjanjian 57 boleh dimasukkan dalam Perlembagaan, kenapa MA63 tidak boleh dimasukkan sekali? Pindaan untuk mengembalikan status tidak akan bermakna jika elemen M63 tidak dimasukkan sekali".


Inilah ketikanya untuk wakil Sarawak menyatakan hakikat sebenarnya tentang maha pentingnya MA63 dan bukannya hanya sebegitu sehaja. MA63 adalah "ibu" kepada penubuhan Malaysia. Tanpa ianya dihormati dan dimartabatkan semula SEGALA PINDAAN ADALAH KOSONG SAMA SEKALI.


Bengkeng Sarawak, bengkeng bertempat. Itu sudah pasti.

No comments:

Post a Comment