MASA itu berlalu terlalu cepat dan diam tidak diam sudah hampir setahun Kerajaan Malaysia diterajui oleh kerajaan Pakatan Harapan. Mei 2018 menjadi saksi tumbangnya satu kerajaan gabungan yakni Barisan Nasional yang ditubuhkan pada tanggal 1 Januari 1973 bagi menggantikan Parti Perikatan sejak zaman kemerdekaan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia pada tahun 1957. Dan penubuhan Negara Malaysia pada tahun 1963 menyaksikan Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) mempunyai parti-parti tempatan tersendiri sebelum beberapa parti tempatan bertindak menjadi gabungan Barisan Nasional pada tahun 1973.
Di dalam manifesto Kerajaan Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu menyatakan bahawa mereka sekiranya berkuasa akan mengembalikan status Sarawak dan Sabah. Ianya bukanlah satu hal yang luar biasa kerana sekiranya kita mendengar suara-suara rakyat Sarawak mahupun Sabah sememangnya ia begitu kuat berkumandang malah di ketika pemerintahan Allahyarham Pehin Sri Adenan lagi ianya menjadi visi dan misi Kerajaan Sarawak biarpun pada ketika itu parti pemerintah Sarawak merupakan gabungan Barisan Nasional itu sendiri.
Ketika itu Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional dibawah mantan Perdana Menteri iaitu Dato Seri Najib Razak sudahpun mengarahkan pembentukan “Jawatankuasa Kerja MA63” yang dianggotai oleh beberapa ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak dan Persekutuan. Dan tatkala Kerajaan Pakatan Harapan berkuasa dengan dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang pernah memerintah Malaysia selama lebih 22 tahun dan ingin mengembalikan status ini secara lebih teratur dan bukan hanya dengan mesyuarat demi mesyuarat maka ianya adalah satu berita yang begitu menggembirakan ramai pihak di Sarawak dan Sabah.
Ditambahlagi senario politik juga berbeza di Sabah dan Sarawak pada kali ini kerana kedua-duanya diterajui oleh parti tempatan. Sabah diperintah oleh Parti Warisan (pro-PH) dan Sarawak diperintah oleh Gabungan Parti Sarawak yang sebelumnya telah keluar dari Barisan Nasional dan menubuhkan parti politik gabungan yang berteraskan tempatan semata-mata. Dan sejak awal-awal penubuhan GPS melalui pengerusinya iaitu Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari sudah mengwar-warkan antara penyebab utama mereka keluar dari Barisan Nasional adalah untuk memastikan hak Sarawak di dalam Perjanjian Malaysia mampu dituntut tanpa bias.
Artikel 1(2) Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 & Inter-Governmental Committee
Artikel 1(2) Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 & Inter-Governmental Committee
Jika kita menggodek sejarah lama bagaimana bermulanya episod “penurunan” status Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) berlaku pada tahun 1976. Ianya berkaitan dengan Artikel 1(2) Perlembagaan Malaysia draf yang pertama yakni:
Article 2: The State of the Federation shall be:-
(a) The States of Malaya, namely Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Selangor and Trengganu.
(b) The Borneo States, namely, Sabah and Sarawak; and
(c) The State of Singapore.
Kemudian pada tahun 1976, ianya telah dibuat pindaan dan menjadi seperti berikut:
Article 2: The States of the Federation shall be Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor and Trengganu.
Article 2: The States of the Federation shall be Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor and Trengganu.
Sementara pada tanggal 9 Ogos 1965, Artikel 1(2) Perlembagaan Malaysia telah “diusik” sebegitu sahaja tanpa merujuk kepada entiti pembentuk yang lain iaitu Sarawak dan Sabah dengan hanya membuang 2 ( c ) berkenaan dengan “The State of Singapore” hanya kerana Singapura sudah keluar dari Malaysia pada masa itu.
Impak besar yang berlaku ke atas pindaan pada tahun 1976 itu menyaksikan status Sarawak dan Sabah sebagai rakan sejajar pembentuk Malaysia bersama Malaya (Semenanjung Malaysia) turut ditidakkan dengan menjadikannya negeri ke-12 dan ke-13 di dalam Malaysia. Sekaligus ianya langsung tidak menghormati roh sebenarnya Perjanjian Malaysia 1963 yakni satu perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh United Kingdom, Malaya, Singapura, Sarawak dan Sabah dengan nombor siri 10760 didaftarkan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tanggal 21 September 1970 iaitu hanya selepas tujuh tahun Negara Malaysia ditubuhkan.
Hakikatnya bila berbicara soal Perlembagaan Malaysia yang berkaitan dengan Sabah dan Sarawak itu sendiri adalah harus mempunyai refleksi dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan Inter-Govermental Committee (IGC).
Suara Ketidakpuasanhati Rakyat Sarawak dan Sabah Terhadap Persekutuan
Dari segi keluasan geografi, negara Malaysia ini 60% keluasannya adalah milik Sabah dan Sarawak yang kaya dengan sumber alam seperti minyak, gas, balak dan juga maritimnya. Dan kesemua ini menjadi penjana utama berhasilan ekonomi bagi Negara Malaysia. Namun hampir 55 tahun membentuk Malaysia, Sabah dan Sarawak mengungguli carta wilayah termiskin di dalam Malaysia malah kadar pembangunan baik dari segi infrastruktur seperti jalanraya, air bersih, elektrik dan sekolah-sekolah masih lagi begitu mendukacitakan. Ini adalah antara yang menjadi penyebab kepada ramai anak muda bangun menyatakan ketidakpuasan mereka.
Dahulu semasa proses awal pembentukan Malaysia, hal mengenai hasil-maksum dan peluang rakyat Sarawak dan Sabah untuk merasai segalanya ini menjadi antara yang difikirkan dahulu oleh orang tua-tua terdahulu. Dek kerana itulah awal-awal lagi mereka telah mengemukakan draf memorandum tersendiri yang dikenali sebagai Perkara 20 untuk Sabah dan Perkara 18 untuk Sarawak. Walaupun ada butiran di dalam Perkara 18/20 ini sudahpun diserapkan di dalam Perlembagaan Malaysia contohnya seperti Akta Imigresen 1959/1963 yang mana menyaksikan Sarawak dan Sabah mempunyai kuasa autonomi di dalam imigresennya tersendiri yang sehingga sekarang masih tidak difahami dan dipersoal oleh ramai rakyat Malaysia namun segalanya adalah untuk menjaga hak rakyat Sarawak dan Sabah dari diambil “orang luar” biarpun sesama rakyat Malaysia.
Hal seperti Borneonisasi iaitu hak peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak dan Sabah di tempat sendiri misalnya sentiasa dilaungkan dahulu sehingga memungkin mana-mana yang bukan rakyat Sarawak/Sabah harus mempunyai permit kerja. Dan apabila Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem meluaskan misi untuk mempunyai 90% tenaga pengajar di sekolah-sekolah di Sarawak adalah rakyat Sarawak ianya begitu dialu-alukan. Dan di dalam sejarah juga, Sarawak pernah mengeluarkan order untuk melarang sama sekali pengambilan tenaga kerja bukan rakyat Sarawak di dalam industri Petroleum bagi memartabatkan Borneosasi itu sendiri. Jika dikatakan rakyat Sarawak tidak mempunyai kepakaran maka ianya adalah bidaah sama sekali kerana rakyat Sarawak sudah lama di dalam eksplorasi minyak sejak zaman Brooke malah sehingga sekarang ramai menempa nama di luar Sarawak melalui syarikat carigali minyak dan gas antarabangsa.
Akta Pembangunan Petroleum 1974 pula merupakan satu akta yang menjadi duri dalam daging kerana akta ini membolehkan penghasilan minyak dan gas menjadi hak ekslusif kepada satu perbadanan kerajaan yang dinamakan Petronas. Selepas itu sebagai timbal balik hanya sekadar 5% yang diberikan sebagai bayaran royalti kepada negeri pengeluar manakala pihak persekutuan menikmatinya dengan jumlah yang lebih besar. Suara-suara untuk meminta pengkajian semula royalti mula kedengaran dan akhirnya Kerajaan Pakatan Harapan yang dalam manifestonya menyelitkan pemberian 20% royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak. Cuma bezanya bukan 20% royalti minyak daripada jumlah yang diambil sebaliknya 20% royalti minyak dari keuntungan bersih yang seperti yang diwar-warkan oleh mereka pada persidangan yang lalu lantas ditolak mentah-mentah oleh Sarawak dan Sabah kerana ianya jika didarab bahagi nescaya akan kurang jumlahnya dari 5% royalti yang digunapakai oleh Kerajaan sebelumnya.
Dan sekarang, Sarawak tampil dengan Oil and Mining Ordinance 1958 yang menyaksikan Sarawak mempunyai kuasa keatas hasil minyak dan gasnya dengan mengenakan cukai keatas sebarang hasil minyak dan gas yang dieksport ke luar negara. Menjelang September 2019 ianya akan dikuatkuasa yakni 5% cukai eksport dikenakan. Ini hanya permulaan malah baru-baru ini Ketua Menteri Sarawak pernah menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak tidak akan teragak-agak untuk menaikkan lagi cukai eksport petroleum sekiranya Kerajaan Persekutuan sekarang cuba bermain tarik tali untuk mengurangkan jumlah peruntukan bagi Sarawak.
Berbicara dari aspek peruntukan atau bajet untuk Sarawak, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa memberikan peruntukan yang secukupnya untuk pembangunan dan pentadbiran di Sarawak mahupun Sabah tanpa mengira siapakah pemerintah kerajaan itu samada satu pasukan atau tidak dengan kerajaan yang membentuk persekutuan adalah wajib. Sebagai berstatus rakan kongsi ianya tercatit begitu jelas di dalam Perkara 112C Pemberian Khas dan Penyerahan Hasil Kepada Sabah dan Sarawak dan Perkara 112D Kajian Semula Pemberian Kepada Sabah dan Sarawak di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Bayangkan sekiranya ia benar-benar ditepati baik ketika Barisan Nasional memerintah dan sehingga ke kerajaan persekutuan sekarang, Sarawak mahupun Sabah tidaklah seumpama mengemis akan hak sendiri. Ironinya jika kita melihat kepada frasa Perkara 112D itu sendiri menyatakan secara mengkhusus bahawa Kerajaan Persekutuan seharusnya membuat semakan semula setiap lima tahun sekali untuk menjadi peruntukan kepada Sabah dan Sarawak adalah mencukupi namun malangnya kali terakhir ianya dibuat semakan adalah pada tahun 1969. Kerajaan Persekutuan itu sendiri “berhutang” dengan Sarawak dan Sabah berbilion-bilion hingga sekarang.
2/3 undi menyokong untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan Malaysia
Telah diwar-warkan bahawa Kerajaan Persekutuan sekarang iaitu Pakatan Harapan akan mengusulkan pindaan untuk pengembalian status Sarawak dan Sabah pada persidangan parlimen yang sedang berlangsung sekarang. Dikatakan berkemungkinan besar ianya akan diusulkan samada pada minggu ini atau minggu hadapan yakni sebelum persidangan parlimen menutup tirainya. Dan dari awal-awal lagi, wakil Pakatan Harapan menyatakan mereka memerlukan ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak untuk menyokong usul ini kerana mereka masih belum mempunyai 2/3 suara majoriti bagi membenarkan pindaan artikel tersebut.
Jika ianya baik mungkin ianya akan disokong cuma masalahnya sehingga sekarang dikatakan ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak masih belum diberikan draf bil untuk mereka mengkaji apakah usulan tersebut. Jika difikirkan secara logik, mahukah kita umpama membiarkan pisang berbuah dua kali atas kesilapan masa lalu sehingga membenarkan status ibu pertiwi berubah sewenang-wenangnya tanpa mengkaji luar dan dalam natijahnya kelak. Ini kerana kesilapan itulah nanti yang akan dikenang anak cucu sehingga tujuh generasi seperti apa yang berlaku sekarang.
Selain itu jangan pernah kita lupa bahawa 2/3 majoriti turut dituntut di dalam Dewan Negara yang mana ahli-ahlinyA dikuasai sebahagian besar wakil-wakil daripada Barisan Nasional. Kita harus melihat bagaimana pada persidangan yang lepas, usul untuk memansuhkan Akta Sebaran Berita Palsu tidak menjadi kenyataan kerana wakil-wakil daripada BN tidak menyokong akta itu dimansuhkan. Dan apakah pula yang terjadi pada pindaan artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan ini kelak kerana sewaktu zaman BN ianya tidak diusulkan hanya dek kerana musyawarah antara rakan segabungan (Sarawak di dalam BN waktu itu) ianya direalisasikan tanpa menyentuh akta itu sekalipun. Nawaitu wakil BN di dalam Dewan Negara juga kita tuntut kerana adakah benar mereka mengiktiraf Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi pembentuk Malaysia atau sebaliknya.
Episod pengembalian status Sarawak dan Sabah sebagai pembentuk Negara Malaysia adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh rakyatnya. Ia seperti langkah pertama untuk satu perjalanan yang beribu-ribu batu jauhnya bagi mengapai destinasi terakhir. Kepincangan selama ini seharusnya diredakan di pihak pemerintah dengan cara yang terbaik sekali atau jiwa anak muda pewaris kepimpinan masa hadapan Sabah dan Sarawak akan terus bergelora dengan suara-suara ekstrim yang bercorak majoriti dan bukan lagi berkumpulan seperti sekarang. Masing-masing mempunyai hak untuk perjuangan memartabatkan tanahairnya.
“Anang Malaysia tuk sebaka tebu, manis di pun, taba di ujung”
Rujukan:
No comments:
Post a Comment