Sunday 7 April 2019

SOKONGAN SEMBRONO RUU 1(2) AKAN MENJERAT SABAH SARAWAK


EPISOD cadangan pindaan Artikel 1(2) Perlembagaan Malaysia terus-terusan menjadi bualan hangat media-media rasmi dan warganet di Sabah dan Sarawak.  Ini kerana walau ia sesuatu yang dinanti-nantikan lebih-lebih lagi turut menjadi antara butiran di dalam manifesto Kerajaan Pakatan Harapan sewaktu PRU ke-14 yang cuba untuk ditunaikan, namun keputusan yang ditampilkan begitu mengecewakan bagi rakyat Sarawak dan Sabah sebagai pemegang taruh (stakeholder).

Bagi seorang MP Sarawak kerajaan PH, Tuan Chong Chien Jeng pula masih lagi belum memahami atau sengaja tidak memahami mengapa pindaan tersebut mendapat bantahan dan diminta penangguhan perbahasannya oleh ahli-ahli parlimen Gabungan Parti Sarawak di Dewan Rakyat minggu lepas.  Pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh beliau umpama “si tanggang anak derhaka” kepada ibu pertiwinya demi untuk menagih simpati daripada penyokong yang berbeza fahaman politik.  Pautannya adalah seperti berikut:


Dalam pada itu di pihak yang membawa usulan iaitu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pula telah tampil berani mengwar-warkan kepada media dan sosial media bahawa tindakan usulan mereka telah mendapat persetujuan sepenuhnya daripada Ketua Menteri Sarawak dan Sabah sendiri.  Dan ia sebenarnya adalah kenyataan bidaah sama sekali kerana menurut Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg, beliau malah Ketua Menteri Sabah TIDAK PERNAH menyetujui pindaan yang dilakukan ke atas RRU 1(2) seperti yang digembar-gemburkan.  Ianya telah dimasukkan di dalam kenyataan media beliau semalam malah turut mendapat liputan media seperti pautan ini:

https://www.nst.com.my/news/nation/2019/04/476774/sabahsarawak-cms-did-not-give-approval-amendment-article-12-abang-johari

Jika difikirkan tindakan Ahli-ahli Parlimen GPS itu ada sebabnya kerana ia melibatkan masa hadapan Sarawak selepas ini.  Apa yang disajikan melalui susunan ayat di dalam pindaan Artikel 1(2) Perlembagaan Malaysia yang diolah oleh Kerajaan PH langsung tidak kena pada gayanya.  Ini kerana ia tidak membuktikan apa-apa sekalipun walau Sabah dan Sarawak sudah dibezakan dengan kelompok  kelompok (a) dan (b) sahaja.  

Sedangkan di dalam membuat pindaan tersebut haruslah menepati apa yang terkandung di dalam Artikel 160(2) Perlembagaan Malaysia yang menafsirkan dengan jelas bahawa makna “Persekutuan” adalah satu persekutuan yang dibentuk melalui Perjanjian Persekutuan Malaya 1957.  Sekiranya dipersetujui maka sudah terang lagi bersuluh, Sabah dan Sarawak itu sudah menjadi mutlak taraf negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan bukannya rakan kongsi seperti yang tercatit di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Demi memperjelaskan bagaimana pindaan olahan Kerajaan PH ini langsung tiada impak malahan telah menekan Sabah Sarawak untuk setaraf dengan 11 buah negeri di Semenanjung Malaysia yang menandatangani Perjanjian Persekutuan Malaya 1957 yang memerdekakan mereka pada tanggal 31 Ogos 1957 sedangkan Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi apabila hanya menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 bersama-sama dengan Persekutuan Malaya dan Singapura.  Ianya telah diperjelaskan oleh seorang penasihat undang-undang Sarawak yang terkenal iaitu Dato Seri JC Fong.  Pautannya adalah seperti berikut:


Tindakan GPS ada sebabnya dan bukan aksi sembrono pada setiap langkah mereka lebih-lebih lagi ini merupakan perjuangan sejak di zaman Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem lagi.  Dek kerana kesilapan pada tahun 1976 menyaksikan pindaan Artikel 1(2) itu dipersetujui oleh wakil-wakil parlimen Sarawak yang lepas tanpa merujuk kepada pemegang taruh yang lain di Sarawak.  Tiada bukti hansard di Dewan Undangan Negeri Sarawak bahawasanya pindaan 1976 dibahaskan di dewan pada waktu itu melainkan kita hanya melihat tandatangan wakil-wakil parlimen Sarawak.  Sedangkan undang-undang tubuh Negeri Sarawak cukup memperjelaskan bahawa sebarang pindaan yang melibatkan Sarawak di peringkat pusat haruslah dipersetujui oleh Sarawak sebagai pemegang taruhnya.  

Dek kerana kesilapan ini yang menjadi sejarah hitam di dalam kronologi bersejarah Malaysia, menyaksikan ianya sentiasa dimain-mainkan sentimennya beribu-ribu kali oleh penyokong di pihak PH sendiri termasuklah Tuan Chong Chien Jeng suatu waktu dahulu.  Ketua WHIP GPS, Dato Seri Fadilah Yusuf terang-terangan menyatakan di dalam sidang akhbarnya sejurus selepas usulan di Dewan Rakyat pada 4hb April 2019 yang lepas bahawa mereka sehati sejiwa mahukan usulan tersebut dibawa ke Dewan Undangan Negeri Sarawak dahulu agar segalanya diperincikan dan diterangkan kepada ahli-ahli yang berhormat di Sarawak sebelum diusulkan di peringkat Parlimen.  Lagipun beliau menambah Steering Committee MA63 masih lagi di peringkat perbincangan dan sehingga ke hari ini kesemua pokok persoalan hak-hak yang terhakis, hak-hak yang tidak boleh dipertikaikan masih di dalam proses tanpa dimuktamarkan lagi.  

Jadi, apakah pula niat Chong yang seumpama ayam berak kapur, terkinja-kinja ke sana ke mari dengan menekan Sarawak untuk terus menerima pindaan tanpa mengetahui isi di dalamnya.  Menurut beliau itu merupakan langkah pertama untuk pengembalian status Sarawak sebagai rakan kongsi.  Sedangkan jika dari segi pemahaman dan setelah melihat draf cadangan yang hanya diserahkan 24 jam kepada ahli Parlimen GPS sebelum usulan di Parlimen betul-betul lari dari semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang sebenarnya.  

Tindakbalas daripada GPS bukan sembrono kerana mereka membawa harapan dan aspirasi rakyat Sarawak. Sudah terbukti GPS dengan kepimpinan DP Abang Jo belajar daripada kesilapan pemimpin terdahulu pada tahun 1976 yang menjadi kekesalan rakyat Sarawak hingga ke hari ini.   Buat apalah hendak menerima cadangan pindaan tersebut jika ianya seumpama pak kadok, ayam sabungnya menang TETAPI KAMPUNG TERGADAI.  Fikir-fikirkanlah.

#Sarawakdiutamakan 

No comments:

Post a Comment